14 Jul 2010

Buku Bunga-bunga

Sewaktu Paul, Sang Sotong dari Jerman, masih berdebar-debar menanti pertarungan antara pasukan Belanda dan Sepanyol untuk menentukan juara Piala Dunia 2010 – sekali gus, mungkin nasibnya juga! – pada pukul 12:15 tengah malam, 12 Julai 2010, saya memutuskan untuk memperuntukkan 60 minit untuk membaca novel Buku Bunga-bunga karya Izan Ali.
.

Judul: Buku Bunga-bunga

Penulis: Izan Ali
Editor: Nuridah & Izan Ali
Tahun terbit: 2010
Pengedar: Book Station
.

Saya menerima senaskhah novel ini daripada Izan Ali sewaktu bertemu pada Program Gerakan Membaca Perdana di Taman Tasik Shah Alam pada 26 Jun 2010. Bagaimanapun, saya membaca novel Pembunuhan di Universiti Hagoromo jauh lebih awal sebelum membaca Buku Bunga-bunga.

.

Dalam masa sejam, saya hanya sempat membaca 33 halaman; iaitu Bab 1 dan Bab 2. Hal ini tidaklah menghairankan kerana saya membaca secara teliti, sambil membuat catatan pada halaman novel itu sendiri.

.

Saya memutuskan untuk memberi sedikit komen yang mungkin pedas tetapi sebenarnya ikhlas dan tidak berniat jahat. Sasaran komen ini bukan Izan Ali tetapi saya tujukan kepada sesiapa yang berminat menulis karya kreatif; khususnya cerpen dan novel.

.

Nampaknya penggunaan bahasa yang tidak betul dan bercampur-aduk sudah menjadi satu amalan dalam kalangan penulis (dan penerbit). Alasan yang biasa diberikan adalah bahawa penggunaan bahasa yang “tidak bermaruah” itu adalah gambaran realiti dalam masyarakat.

.

Lalu, apakah tanggungjawab penulis dan penerbit bagi mengatasi “penyakit bahasa” dalam kalangan masyarakat? Berusaha mendidik dan membetulkan, atau turut terjun ke dalam mangkuk tandas bersama khalayak?

.

Sekadar contoh, walaupun dalam realiti, seorang bapa mungkin berkata, “Kalau kat KL boleh sekolah elok-elok, then you should do the same here” tetapi saya tidak nampak mengapa penulis tidak boleh memurnikan dialog si bapa itu dalam karya.

.

Saya amat pantang membaca penggunaan kata sendi “dari” dan “daripada” yang dilakukan sambil lewa. Saya sarankan mana-mana penulis (atau manusia biasa) merujuk Kamus Pelajar Bahasa Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengetahui cara betul penggunaan kata sendi berkenaan. Atau jika terlalu malas atau tidak tahu menggunakan kamus, sila KLIK DI SINI untuk mendapatkan panduan mudah.

.

Malah, ada beberapa lagi panduan berguna mengenai aspek bahasa dan penulisan di blog saya: CUMA KLIK DI SINI jika berminat untuk belajar. Bagaimanapun, jangan terlalu sedih kerana ada juga kolumnis akhbar yang dibayar beratus-ratus ringgit langsung tidak tahu menggunakan bahasa dengan betul! Sila KLIK DI SINI untuk kisah itu.

.

Kisah awal dalam novel Buku Bunga-bunga adalah mengenai Tiara, seorang remaja perempuan berumur 17 tahun dan bakal menduduki SPM; adiknya, Faiz yang rupa-rupanya adalah seorang lelaki dan mungkin pelajar Tingkatan 4; serta bapa mereka yang tegas, Encik Farid, pengurus cawangan Maybank yang berpindah dari Kuala Lumpur ke Ipoh, dan ibu mereka, Puan Kasmah yang suka memasak dan mengemas rumah.

.

Tiada orang gaji dan tiada apa-apa binatang peliharaan. Tahniah!

.

Ayat “Mak malam ni nak makan kat mana?” dan “Abah nak makan kat mana malam ni?” membawa makna yang jauh berbeza apabila ditambah koma (,) supaya menjadi “Mak, malam ni nak makan kat mana?” dan “Abah, nak makan kat mana malam ni?” Kepentingan tanda baca boleh dirujuk DI SINI.

.

Sudut pencerita yang digunakan Izan Ali adalah “pencerita serba tahu”. Bagaimanapun, selalu juga saya terkeliru dan bertanya pada diri: “Siapa yang memikirkan perkara ini?” Penggunaan tanda pembuka/penutup kata (“...”) bagi perkara-perkara yang difikirkan watak tidak konsisten sehingga mengelirukan pembaca (baca: saya).

.

Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa Tiara dan Faiz tidak mempunyai nama penuh selain daripada sekadar “Tiara” dan “Faiz” sahaja. Hal ini amat nyata apabila mereka memperkenalkan diri di sekolah baru.

.

Penggunaan kata sendi “ke” juga membawa makna yang amat berbeza dalam konteks novel ini; iaitu menggantikan “kah”. Pasti sahaja penulis, editor dan penerbit akan/boleh memberi alasan bahawa mereka “ukur” pada tuntutan pembaca yang “terjun ke dalam mangkuk tandas”.

.

Selepas “dah dekat dua minggu lebih” Tiara dan Faiz berada di sekolah baru (di halaman 23), Tiara digambarkan baru “semalam” duduk di sebelah Anuar (di halaman 28); sedangkan Tiara diarah oleh cikgu (tidak bernama) duduk di sebelah Anuar pada hari pertama dia masuk ke kelas.

.

Keluarga itu dikatakan berpindah pada cuti sekolah; tetapi tidak pasti adakah pada bulan Disember atau pada bulan Mac. Hal ini mungkin kecil tetapi amat penting diperhatikan dari segi logik kerana watak Tiara bakal menduduki SPM dan tentu sahaja perlu mendaftar lebih awal.

.

Penulis juga melakukan kesilapan pemilihan perkataan. Misalnya, “muka yang mencebik” (halaman 29), “diam tak bersuara” (halaman 9) dan Tiara “bertandang” ke bilik adiknya (halaman 22).

.

Saya juga hairan bagaimana Tiara boleh dengan begitu mudah – tanpa mendapat kebenaran sesiapa – boleh memutuskan untuk pulang ke rumah pada waktu rehat.

.

Kisah mengenai “buku bunga-bunga” muncul di halaman 32 dan pasti menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada pembaca. Malah, walaupun saya hanya memperuntukkan masa 60 minit untuk membaca novel Buku Bunga-bunga, saya tetap “mencuri lihat” beberapa halaman di Bab 3 dan Bab 4.

.

Bagaimanapun, saya sedikit menyesal kerana selepas itu, saya sudah boleh mengagak keseluruhan cerita.

.

Izan Ali menulis novel ini semasa berumur lebih kurang 15 tahun; iaitu sekitar tahun 2000. Maka, tidak hairanlah jika timbul kemusykilan dalam diri Tiara tentang kemungkinan Anuar seorang gay. Apa tidaknya, pada sekitar waktu manuskrip asal novel ini ditulis, media cetak dan elektronik semacam diwajibkan memberi pendedahan kepada masyarakat (termasuk kanak-kanak) mengenai “liwat” dan “homoseksual”.

.

Pada saya, Buku Bunga-bunga sebuah novel ringan yang sesuai dijadikan bacaan santai. Kisah cinta? Tentulah ada! Kisah remaja mahu pergi ke luar negara untuk mengejar cita-cita? Tentulah ada!

.

Anda berminat belajar memasak sambil membaca? Dapatkan Buku Bunga-bunga. Lebih seronok jika anda tidak menjadi seperti saya: membaca setiap buku dengan terlalu teliti!