[Klik beta untuk besarkan] |
Lorong B, Aulong Lama, Taiping, Perak amat bermakna bagi saya kerana saya tinggal di sana (rumah nombor 176) sejak lahir (1972) hingga hujung tahun 1991; sebelum berpindah ke Klang, Selangor – dan seterusnya ke Taman Sri Muda, Shah Alam pada tahun 2000.
Jiran yang
tinggal di sepanjang Lorong B menjadi sebahagian daripada hidup keluarga
saya. Yang kecil sudah besar; yang muda sudah tua. Ramai yang sudah berpindah
dan berhijrah. Malah, ramai yang sudah tiada (meninggal dunia).
Pada 23 Mei 2024, saya mengunjungi Puan Janakee Sinniah. Keluarga beliau antara peneroka terawal di Lorong B. Sempat mewawancara beliau untuk merakam kenangan lama.
Sesungguhnya,
suasana dan keadaan fizikal di Lorong B sudah jauh berbeza. Generasi muda
mungkin tidak tahu mengenai kisah-kisah tahun 1970-an dan 1980-an. Kandang
lembu, bekas lombong bijih timah, landasan kereta api, dan pelbagai perkara
lain (rujuk peta) sudah lenyap.
Pengalaman
menyertai Festival
Filem Raintown (13-15 September 2024) di Taiping turut
menyedarkan saya betapa perlu dokumentasi dibuat segera tentang sejarah, suasana,
pengalaman, dan kenangan penduduk Lorong B, Aulong Lama pada tahun 1970-an dan 1980-an.
Selain melakukan dokumentasi secara bertulis (rencana, fiksyen), saya juga mahu mengusahakan rakaman video (wawancara, lakonan semula) bersama penduduk (dan bekas penduduk) Lorong B.
Foto-foto lama juga pasti amat membantu. (Foto akan disalin
secara digital. Foto asal tidak akan diambil daripada pemilik.)
Promosi di Facebook [di sini], Twitter [di sini]. Teaser di YouTube: [Promosi Umum] – [Jalan Berpasir] – [Janakee Sinniah] – [Suntheresvary Kasaban] – [Sivasankar Narayanan] – [Packiam Marimuthu] – [Krishnan Muniandy] – [Magesvary A. Balan] – [Moganabal Joseph Albert] – [Nour Roshima Abd. Malek] – [Satiaveni Krishnan] – [Teaser Utusan Malaysia] – [Landasan Kereta Api] – [Kandang Lembu]
Wawancara dalam Bahasa Malaysia, Tamil, dan Inggeris. Rakaman menggunakan peralatan mudah seperti telefon bimbit dan komputer riba; bukan peralatan canggih krew perfileman profesional.
Perbincangan,
wawancara, dan rakaman visual akan cuba dilakukan secara berperingkat pada Oktober dan November 2024. Sama ada secara bersemuka (pilihan terbaik) atau
menerusi Google Meet. Kemudian,
disunting secara amatur untuk didokumentasi di YouTube.
Bahan
terkumpul juga akan digunakan dalam penulisan (rencana, catatan, blog).
Semuanya dilakukan supaya kenangan lama dapat dirakam dan didokumentasi sebelum
lenyap daripada ingatan dan lipatan sejarah.
Kisah adalah
khusus tentang Lorong
B, Aulong Lama – penduduk, pengalaman, kenangan, sejarah, harapan, peristiwa
penting/unik, dan apa-apa yang berkaitan.
Saya sudah mula menghubungi individu yang saya masih kenal. Saya mengunjungi beberapa penduduk asal Lorong B pada 27 September 2024 dan mereka juga berminat dengan cadangan yang saya usulkan iaitu mendokumentasi kenangan penduduk asal Lorong B. Sesi pertemuan dan wawancara di Lorong B dijadualkan pada 16-17 November 2024.