Insiden ini berlaku pada hari sambutan hari jadinya. Tetamu
dan kaum keluarga sudah berkumpul bersama-sama hadiah yang mahu diberikan. Ada
yang membawa barangan yang difikirkan sesuai bagi kegunaan remaja berkenaan.
Dan ada pula yang membawa hadiah yang dikitar semula. Tidak kurang juga yang
datang untuk menikmati jamuan.
Pada waktu itulah seorang ahli keluarga melaporkan ternampak
remaja berkenaan berlari masuk ke dalam sebuah almari di penjuru ruang tamu.
“Saya nampak sekilas dia berlari dan terus masuk ke dalam.
Saya tak sempat berbuat apa-apa,” lapornya kepada bapa remaja berkenaan.
Dalam keadaan penuh kehairanan, si bapa dan si ibu segera
menghampiri almari antik itu sambil menyeru nama anak mereka.
“Apa engkau buat di dalam? Tetamu sedang menunggu,” kata si
ibu sambil mengetuk pintu almari dan mengawal gementar dalam suara.
Si bapa pula tidak mahu membiarkan sebarang sentimen menguasai jiwa. Tambahan pula, beberapa tetamu sudah menghidu apa yang sedang berlaku dan sudah mula berkerumum seolah-olah tidak sabar mahu menyaksikan persembahan drama bersiri di televisyen.
“Buka pintu ini!” Bentak si bapa seraya mengetuk — menepuk —
daun pintu dengan tapak tangan. “Engkau jangan mati terkunci di dalam almari!”
Para tetamu terkejut mendengar kata-kata seperti itu yang
dianggap kurang sopan dan tidak sesuai diucapkan, apatah lagi pada hari
sambutan hari jadi seorang anak.
“Hei, kau!” Seru seorang rakan yang segera berdiri di sisi
almari dan menekapkan telinga pada papan kayu antik. “Keluarlah. Hari ini hari
jadi kau.”
Kisah penuh boleh dibaca dalam antologi Landasan Hidup (2020).
[Cereka ini ditulis pada 9 Oktober 2018 — sebelum Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson
pada 13 Oktober 2018 — dan disiarkan di Cukaria dengan judul “Remaja Dalam Almari”
pada 18 Oktober 2018. © Uthaya Sankar SB 2018. Harap maklum bahawa anda
membaca mana-mana paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Baca juga — Hari Kesihatan Mental Sedunia — Anwar Mahu Bersihkan Nama — Anwar, LGBT dan Super Liberal — Anwar dan Ketuanan Melayu — Saiful and Anwar — Punca Anwar Dipecat — Mahathir Daakwa Anwar Liberal]