Ramai yang mungkin sudah pun lupa akan apa
yang ditulis oleh Ridhuan Tee Abdullah (Tee Chuan Seng) menerusi rencana
bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” (Sinar Harian, 18 Februari 2013).
Pelbagai pihak pada mulanya tampil menyelar
keceluparan lelaki ultra kiasu itu menghina agama Hindu dan penganut agama berkenaan;
sekali gus memberi imej negatif mengenai penganut agama Islam. Rencana susulan yang masih
juga celupar, menghina agama Hindu dan membuktikan realiti sikap ultra kiasu
yang dimilikinya tidak disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada 25 Februari 2013 kerana dianggap sensitif.
Bagaimanapun lelaki bermulut celupar itu
menyiarkan rencana berkenaan di laman umum Goodreads pada 24 Februari 2013,
kononnya “atas permintaan semua”.
Tidak setakat itu, wakil akhbar Sinar Harian yang kononnya berjanji akan
meminta lelaki ultra kiasu itu memohon maaf atas keceluparannya ternyata tidak
mampu berbuat apa-apa memandangkan Ridhuan Tee lebih berkuasa daripada penerbit
akhbar berkenaan.
Buktinya adalah apabila tulisan lelaki
ultra kiasu yang “lebih Melayu dari Melayu dan merosakkan imej Islam” (Sinar Harian, 25 Mac 2013) masih
disiarkan di akhbar berkenaan secara mingguan tanpa sebarang sekatan.
Ketua Publisiti dan Perhubungan MIC, Vell Paari sebelum ini lantang
bersuara menentang tindakan Ridhuan Tee serta mengancam (kononnya) akan
berkempen meminta orang ramai tidak mengundi calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika
tiada tindakan diambil ke atas lelaki ultra kiasu itu. Bagaimanapun, dia
seolah-olah sudah berpuas hati dan selesa selepas wawancara dua halaman penuh
bertajuk “Elak guris hati mana-mana kaum”
disiarkan di akhbar Sinar Harian pada
27 Februari 2013.
Berdasarkan apa yang berlaku sejak dahulu,
tidak salah apabila dikatakan bahawa orang “Bukan Hindu” sering mempersenda dan
menghina agama Hindu. Soalnya, mengapa perkara ini berlaku di Malaysia?
Mungkinkah disebabkan kelemahan penganut agama Hindu sendiri? Maknanya,
penganut agama Hindu sendiri kurang memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran
agama Hindu, lalu tidak mampu tampil mempertahankan agamanya apabila dihina
atau dipersenda orang lain.
Atau adakah perbuatan menghina agama Hindu
menunjukkan bahawa orang “Bukan Hindu” tidak memahami agama Hindu serta orang
itu sebenarnya tidak memahami agamanya sendiri. Saya berani mengatakan bahawa
orang yang ada pegangan agama pasti tidak akan menghina mana-mana agama.
Atau adakah penganut agama Hindu sendiri
yang menghina agama Hindu? Atau sikap penganut agama Hindu sendiri yang memberikan
imej negatif mengenai agama Hindu sehingga sanggup dipersenda dan dihina orang
“Bukan Hindu”?
Demikian pelbagai persoalan yang muncul
dalam minda; khususnya selepas klip video melibatkan Naib Presiden Pertubuhan
Pribumi Perkasa (Perkasa) Malaysia, Zulkifli Noordin menghina agama Hindu
tersebar luas di ruang siber pada penghujung Mac 2013.
Reaksi ikhlas rakan-rakan
Mantan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu
itu mengaku membuat kenyataan itu “sepuluh tahun dahulu” kerana kononnya
terpengaruh dengan “politik sempit, sifat jumud, ekstremis dan cauvinis” yang
dimilikinya semasa bersama-sama PAS dan PKR. Agaknya pegangan agama lelaki itu
begitu lemah sehingga dia “yang berpendidikan undang-undang di Eropah” boleh
turut menjadi ultra kiasu sehebat Ridhuan Tee.
Selepas Zulkifli “menyusun sepuluh jari
saya mohon maaf sekiranya saya mengguris hati mereka (penganut agama Hindu)
kerana saya tak berniat nak menghina agama Hindu” (Free Malaysia Today, 3 April 2013),
keluar pula satu lagi klip video mengenai tindakannya menuturkan ayat-ayat
seperti “entah k** mana bawa kitab Hindu dia” dan “k** ni bawa kitab Hindu
sumpah” pada 6 Mac 2013 (The Malaysian Insider, 5 April
2013).
Saya membuka perbincangan (dialog) mengenai
isu ini di Facebook untuk mendapatkan
komen ikhlas daripada rakan-rakan pelbagai kaum dan agama. Sekurang-kurangnya
boleh berlaku dialog antara agama secara sihat dan membina.
Gaijin
Rurouni Kenshin berpendapat bahawa orang yang suka
mempersendakan agama penganut agama lain “sebenarnya tidak beragama kerana jika
dia beragama, dia tidak akan sesekali memperkecilkan agama lain kerana ajaran
agama masing-masing cukup jelas iaitu menghormati mana-mana agama.”
Seorang rakan penulis yang dikenali
menerusi nama pena Chulan Chin Priaprai
bersetuju dengan pandangan di atas. Malah, beliau memberikan contoh terbaik
daripada terjemahan ayat 6, Surah al-Kafirun dalam Quran iaitu “untukmu agamamu, untukku agamaku”.
“Malahan, bagi orang Islam yang mengamalkan
ajaran Islam yang benar, banyak larangan untuk mempersendakan agama lain.
Mempersendakan di sini bermaksud mengejek, mengeji atau mempermainkan tanpa
hujah dan dalil. Perkara ini memang terkutuk,” kata Mohd Shah Rizal Samsudin.
Dalam komennya yang agak panjang di Facebook, beliau turut menyingkap
sejarah bagaimana Nabi Muhammad SAW sentiasa melarang umatnya
menghancurkan rumah ibadat, membunuh tawanan (kanak-kanak, wanita dan orang
tua), serta melarang menebang tanaman dan sebagainya kerana melanggar norma
peperangan.
“Akhlak Islam juga mengajar untuk jangan
mengeji atau menghina orang lain tanpa asas dan dalil, kerana boleh jadi orang
yang dihina itu lebih baik daripada orang yang menghina secara serkap jarang. Allah SWT dalam kitab yang diturunkan
melalui Nabi Muhammad SAW menegaskan hal ini dalam salah satu ayat,” katanya.
Mohd Shah mengemukakan ayat ke-108 daripada
Surah Al-Anam di mana terjemahannya adalah seperti berikut:
“Dan
janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana
mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.
Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian
kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa
yang dahulu mereka kerjakan.”
Rakan itu turut berpesan menerusi komennya:
“Jika tuan melihat, membaca atau mendengar seseorang yang menghina Tuhan agama-agama lain tanpa dalil dan
asas, ketahuilah bahawa mereka itu lemah iman akibat jahil dan Islam berlepas
diri daripada kejahilan mereka.”
Usah persenda mana-mana agama
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa
rakan-rakan beragama Islam turut tampil memberikan penjelasan dalam isu-isu
ini. Pasti mereka tidak mahu tindakan ultra kiasu seperti Zilkifli dan Ridhuan
Tee mencemarkan kesucian dan kemurnian Islam.
Seorang lagi rakan penulis, Abdullah Abdul Rahman (Tabir Alam)
mengingatkan tentang peraturan penting (golden
rule) iaitu “Do onto others as you
would have them do onto you” (berbuatlah kepada orang sebagaimana kamu mahu
orang berbuat terhadap kamu).
“Persoalannya, mengapa kita harus
mempersendakan agama anutan orang lain? Diri sendiri belum pasti lebih baik
atau alim berbanding orang lain. Semua kebaikan dan keburukan adalah dalam
pengetahuan Tuhan,” kata anak jati Ipoh, Perak itu.
Dalam pada itu, Abdullah turut memberikan
sedikit nasihat penuh ikhlas kepada rakan-rakan beragama Hindu: “Elakkan adegan
memarahi dan memaki Tuhan apabila berada dalam keadaan kritikal dan bermasalah;
seperti sering dipaparkan dalam filem-filem Tamil. Adegan seperti itu mungkin
diambil oleh penganut agama lain sebagai contoh dan peluang untuk mengesahkan
sendaan yang mereka lakukan.”
Saya
menganggap pandangan Abdullah sebagai teguran membina yang bersifat positif dan
berniat murni. Dalam pada itu, dialog antara agama juga perlu diperbanyakkan,
seperti diingatkan oleh Isadli Al-Lanasi,
“untuk mewujudkan masyarakat berpengetahuan dan saling menghormati”.
Apabila
bercakap mengenai tokoh agama Islam, satu-satunya tokoh Islam yang paling saya
kagumi ialah Nabi Muhammad SAW. Maka, saya amat bersetuju apabila Samsudin Jidin mengemukakan pandangan:
“Cuba ambil sumber lain untuk memperkukuh hujah. Contohnya, bagaimana
Rasulullah SAW melayani ketua mubaligh Kristian di Masjid Madinah dan
sebagainya.”
Perlu
diakui bahawa individu Bukan Islam di Malaysia “boleh belajar dengan mudah
kepercayaan dan falsafah Islam yang diajarkan di sekolah, serta terdedah pada
media RTM yang banyak mempromosi Islam” seperti dinyatakan oleh Cikgu Suguz dari Kota Kemuning, Shah
Alam.
Guru
swasta itu yang berasal dari Bedong, Kedah menegaskan realiti orang
Melayu/Islam kurang peluang untuk mengetahui hal-hal berkaitan kepercayaan sebenar
penganut agama-agama lain, terutama agama Hindu.
“Pelajar
beragama Hindu dari sekolah kebangsaan – termasuk saya – tiada masalah memahami
agama Islam tetapi orang Melayu/Islam tidak ada peluang atau tidak diberikan
peluang yang sama. Malah, saya berani mencabar mana-mana orang Islam bahawa
saya lebih mengetahui agama anda (Islam) berbanding kamu mengetahui agama saya
(Hindu),” katanya.
Bagi Sham Dharma pula, beliau berpegang pada
Hukum Karma; iaitu apabila seseorang (tanpa
mengira kaum, agama atau etnik) melakukan keburukan terhadap orang lain, maka
orang itu akan menerima hukuman (balasan) yang setimpal.
Penganut Hindu juga perlu akui
kelemahan
“Pada
penelitian saya, sikap bertolak-ansur lebih tinggi dalam kalangan penganut
agama Hindu. Kita menghormati dan memahami budaya lain serta selalu bersikap
memberi laluan kepada orang lain. Mungkin sebab itulah kita selalu
diperlekehkan dan tidak dihormati seperti yang sepatutnya. Saya benar-benar
hairan mengapa situasi seperti ini masih berlaku hari ini walaupun kita ada
sistem pendidikan yang menerapkan pendidikan moral dan nilai-nilai murni,”
katanya.
Pensyarah,
penyelidik dan aktivis dari Bandar Baru Bangi, Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir menyatakan bahawa beliau berusaha
memahami ajaran dan budaya Hindu menerusi pembacaan dan kajian. Saya sendiri
ada ramai kenalan “Bukan Hindu” yang mengamalkan sikap terbuka seperti ini yang
sebenarnya selaras dengan ajaran sebenar Islam dan Sunah Rasulullah SAW.
Pada
penelitian Jas Guna Senggani dari
Sungai Petani, Kedah, ramai orang “Bukan Hindu” tiada pendedahan mengenai agama
itu serta diberikan pula fakta yang amat negatif mengenai agama Hindu oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Manakala
bagi orang Hindu pula, mereka gagal meletakkan diri mereka pada sudut pandangan
yang positif dalam kalangan masyarakat daripada agama-agama lain,” kata pakar
perancang kewangan Islam itu menerusi mesejnya.
Seorang
lagi rakan dari Negeri Jelapang Padi, Revathi
menambah pandangan bahawa masalah juga timbul berikutan penganut agama Hindu
sendiri yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai agama mereka
berikutan tidak diberi pendidikan dan penekanan sejak kecil.
“Di
sekolah pula, pelajar Islam diwajibkan belajar subjek agama Islam tetapi sistem
pendidikan di Malaysia tidak menggalakkan pengajaran dan pengajaran agama-agama
lain kepada pelajar Bukan Islam. Sistem agama Hindu yang kompleks juga sering
disalah tafsir oleh ramai orang. Selain itu, sikap lebih mengutamakan budaya,
adat dan ritual berbanding agama menyebabkan mereka terlepas pandang ajaran
sebenar dan ilmu sains dalam ajaran agama Hindu,” kata siswazah undang-undang
(LLB) itu yang kini tinggal di Kuala Lumpur.
Turut
terlibat dalam dialog terbuka di Facebook
ialah Mohd Hafiz Andrew Kusairi yang
lahir di Kuching, Sarawak dan kini menetap di Pekan, Pahang.
“Saya
tidak tahu agama Hindu secara mendalam tetapi saya suka fahami dialog antara
agama. Ajaran dalam Islam adalah supaya sentiasa menghormati agama-agama lain
selagi pihak Bukan Islam menghormati agama Islam,” kata guru berkenaan.
Pada
penelitian Dr Roland Victor (Diego
Garcia) dari Kuala Lumpur, fenomena yang berlaku sebenarnya tidak asing bagi
mana-mana agama. “Ia berlaku apabila penganut diajar untuk menilai agama dari segi
dogma; bukan berasaskan nilai dan prinsip hidup,” katanya.
Mungkin
sahaja perbincangan yang berlaku di ruang siber tidak mampu mengatasi “aura
negatif” yang disebarkan secara meluas oleh golongan etnosentrik, rasis,
fanatik dan ultra kiasu. Sekurang-kurangnya memberikan harapan kepada kita
bahawa dialog antara agama masih ada ruang dan tempat dalam kalangan rakyat
pelbagai kaum, etnik dan agama di negara bertuah ini. TONTON VIDEO BERKAITAN DIALOG ANTARA AGAMA - [UTHAYA SANKAR SB] [AMANDA LEONIE] - [EDIN KHOO] - [DR ASRI] - [LAGI DR ASRI] - [SHABERY CHEEK] - [APABILA AGAMA DIPOLITIKKAN] - [PELBAGAI MAKLUMAT TAMBAHAN] -- Baca juga: Konvoi Rumah Ibadat IV.
[Kumpulan
Sasterawan Kavyan merancang sesi dialog antara agama
dalam skala kecil mulai Mei 2013. Hubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk maklumat
lanjut. Makalah ini ditulis pada 9 April 2013 dan disiarkan di Projek Dialog pada 10 April 2013. Sila KLIK DI SINI untuk beberapa lagi
makalah berkaitan Melayu dan Islam; serta KLIK DI SINI untuk maklumat berkaitan
kaum India. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]