Saya menggunakan laman rangkaian sosial Facebook bukan untuk berbual-bual kosong
(chatting) atau berkebun secara maya di
Farmville. Sebaliknya untuk membuka
ruang dan peluang ke arah mewujudkan suasana yang menggalakkan dialog,
interaksi, perbincangan dan perkongsian pandangan berhubung soal-soal berkaitan
bahasa, sastera, filem, budaya, agama, politik dan sosial.
Rata-rata rakan-rakan pelbagai agama,
etnik, kaum, budaya, kepercayaan, latar belakang dan ideologi terlibat sama
dalam dialog yang diadakan. Seperti diakui seorang sahabat, Ananth Kumar, dialog antara agama perlu
digalakkan sebagai usaha memecah pemikiran kolot dan tembok penghalang
perpaduan. [Topik berkaitan: Konvoi Rumah Ibadat]
Bagaimanapun, apabila saya membuka topik
berkaitan “Assalamualaikum” pada 28
Disember 2012, beberapa individu memutuskan untuk mengeluarkan (unfriend) saya daripada senarai rakan.
Beberapa lagi individu berbuat demikian – unfriend
dan block – selepas saya menulis
makalah mengenai topik sama di The
Malaysian Insider (31 Disember 2012).
Topik yang saya dan rakan-rakan bincangkan
di Facebook sejak minggu lalu adalah
mengenai penggunaan kalimah/perkataan “Allah” oleh orang Tidak Islam (atau
selalu disebut “Bukan Islam”). Seperti dijangka, beberapa lagi individu mula
memanfaatkan butang unfriend dan block pada Facebook.
Memanglah menyedihkan kerana kelompok
berkenaan yang sebelum ini bersemangat mahu menambah saya sebagai rakan untuk
berkongsi idea dan pandangan mengenai pelbagai topik, tiba-tiba memilih untuk
tidak terlibat dalam dialog antara agama (inter-faith
dialogue). Tidak mengapalah; good
riddance to bad rubbish.
Isu lama yang kini muncul kembali adalah
mengenai “larangan” penggunaan kalimah “Allah” oleh orang Tidak Islam. Sejak
dahulu, saya sering berkongsi pandangan mengenai isu ini bersama-sama
rakan-rakan pelbagai kaum dan agama.
Pada pandangan peribadi saya – dan saya
bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pandangan ini – mana-mana pihak yang
mengatakan bahawa orang Tidak Islam tidak berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk merujuk kepada “Tuhan” adalah golongan yang mengamalkan
cara dakwah yang salah; malah anti-dakwah.
Semasa isu novel Interlok: Edisi Murid (2010) sedang
hangat, saya turut dilantik oleh Menteri Pelajaran menganggotai panel bebas
yang ditugaskan khas untuk meminda novel itu untuk dijadikan teks Komponen
Sastera Dalam Mata Pelajar Bahasa Malaysia (Komsas).
Suatu isu timbul apabila perkataan “Tuhan” (dengan “T” huruf besar) dalam
naskhah/edisi asal Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain ditukar sesuka hati
oleh editor/penerbit kepada “tuhan” (dengan “t” huruf kecil) pada edisi murid.
Alasan yang diberikan oleh beberapa anggota panel adalah bahawa “Tuhan” hanya boleh
digunakan apabila merujuk kepada “Tuhan Islam” manakala “Tuhan Bukan Islam”
mesti ditulis sebagai “tuhan”. [BACA LAGI DI SINI]
Perkara sama – kejahilan, kekhilafan, munafik,
syirik – bagaikan sedang berulang. Kalau kita perhatikan, hujah berupa tindakan
menegakkan benang basah yang hangat diperkatakan sekarang adalah bahawa “Allah”
hanya boleh digunakan bagi “Tuhan Islam” manakala “Tuhan Bukan Islam” perlulah
menggunakan nama-nama lain (apa sahaja) selain daripada “Allah”.
Saya dilahirkan beragama Hindu tetapi pengetahuan saya terhadap
agama-agama lain sejak kanak-kanak berada pada tahap yang membanggakan. Cuma,
saya sentiasa sedar bahawa Tuhan menciptakan saya sebagai individu kaum India beragama Hindu dan saya
tidak akan mengubah ketetapan Pencipta demi mengejar apa-apa “gula-gula” yang
ditawarkan mana-mana pihak.
Ada Tuhan Islam dan Tuhan Bukan Islam?
Apa pun, apabila seseorang mengatakan
bahawa hanya “Tuhan Islam” boleh digelar “Allah” manakala “Tuhan Bukan Islam”
perlu diberi apa-apa nama lain selain “Allah”, maka orang itu sebenarnya bagaikan
sudah terpesong daripada ajaran Islam kerana berpendapat dan berpendirian
bahawa ada lebih daripada satu Tuhan!
Dalam agama Hindu, konsep “Eka Aneka” (Sanskrit) digunakan untuk
mengakui keesaan Pencipta atau disebut tauhid
dalam Bahasa Arab. Konsep “eka” (Sanskrit) sering disebut sebagai “esa” atau
“tunggal”. Muncul konsep “ekan anekan” (Tamil) – Tuhan yang eka (tunggal) tetapi dikenali dalam aneka (pelbagai) bentuk dan nama
berdasarkan sifat-sifat-Nya yang infinitif.
Malah, usah kita lupa pada hakikat bahawa
agama Hindu adalah antara agama yang paling awal berbicara tentang tauhid (keesaan Tuhan), seperti turut
diakui Muhammad Fitri Abdullah dari
Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia dalam suatu seminar di Shah
Alam pada 30 Mei 2009.
Penganut agama Sikh berkongsi ucapan “Sat
Sri Akaal” serta tidak keberatan menerima ucapan itu daripada orang Bukan Sikh.
Guru kesepuluh dalam agama Sikh iaitu Guru Gobind Singh menekankan konsep dan
prinsip ini. Dalam Bahasa Punjabi, “sat” bermakna “kebenaran” (truth) dan “Akaal” merujuk kepada Tuhan,
iaitu “Pencipta yang tiada mula dan tiada akhir” atau “hakiki”.
Ucapan “Sat Sr Akaal” membawa makna “Tuhan
adalah Kebenaran Hakiki”. Dalam kalangan penganut agama Islam, frasa/ucapan
yang sering diberikan adalah “Allahu Akhbar” yang membawa makna “Allah Maha
Besar” dalam Bahasa Arab.
Maka, apabila ada pihak tampil mengatakan
bahawa ada “Tuhan Islam” (Allah) dan
ada “Tuhan Bukan Islam”, maka sangat
memeranjatkan bagi saya sebagai seorang penganut agama Hindu yang berpegang
teguh pada konsep Tuhan Yang Maha Esa.
Malah, sebagai seorang individu yang
mendalami agama Islam, Kristian, Sikh, Buddha dan sebagainya sejak usia
kanak-kanak, saya berasa hairan, pelik, terkejut dan terkedu apabila ada pihak
yang kononnya “pakar agama” tetapi tampil mengeluarkan kenyataan menidakkan
keesaan Tuhan.
Seorang sahabat lama yang menggunakan nama Abang Long di Facebook berkongsi pengalaman: “Rakan dan sahabat saya yang Bukan
Islam, sejak dahulu apabila mereka susah hati, selalu menyebut ‘Tuhan Allah
banyak baik, kita minta macam-macam daripada Dia’. Adakah saya perlu menegur
percakapan mereka?”
Shamsinor
Zaman mengemukakan pandangan yang berlainan tetapi
wajar difikirkan secara serius. Katanya, “isu kalimah Allah tidak sepatutnya
dibincangkan oleh pakar agama semata-mata. Ini masalah sosio-budaya dan masalah
bahasa. Kenapa tokoh kedua-dua bidang berkenaan diam?’
Dalam pada itu, ada pula “pakar agama” yang
membuktikan lagi kejahilan dan sikap anti-dakwah dengan menegaskan bahawa sekiranya
orang Tidak Islam mahu menggunakan perkataan “Allah” maka mereka wajib memeluk
Islam terlebih dahulu. Saya tidak tahu jika wujud manusia yang “kurang cerdik”
daripada kelompok manusia seperti itu. Dalam keghairahan kononnya “berdakwah”, orang seperti itu
mencemarkan kesucian dan keindahan Islam. – Bersambung [BACA DI SINI]. Topik berkaitan: Assalamualaikum.
[Uthaya
Sankar SB sedar bahawa mungkin lebih ramai orang akan memanfaatkan butang unfriend dan block pada Facebook
selepas membaca makalah ini. Makalah ini ditulis pada 10 Januari 2013 dan
disiarkan di The Malaysian Insider pada 14 Januari
2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]