Dr N S Rajendran, Krishnabahawan dan Uthaya Sankar SB tidak bertanggungjawab atas apa-apa tindakan atau perlakuan rakyat pelbagai kaum yang tidak berpuas hati berikutan “kegagalan” pihak terbabit menyelesaikan isu.
Uthaya yang juga presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berkata, jalan penyelesaian terbaik sudah pun diperakukan secara konsensus oleh Panel Bebas pada 4 Mac 2011 dan diserahkan kepada Menteri Pelajaran.
“Tugas kami (Panel Bebas) sudah selesai pada 4 Mac lalu. Kalau pemurnian terhadap novel Interlok edisi murid dilakukan seperti cadangan yang diperakukan, selesai masalah dan kalaulah selepas itu masih ada bantahan daripada rakyat, barulah kami (Panel Bebas) boleh dipersalahkan,” katanya dalam suatu kenyataan bersama mewakili ketiga-tiga wakil kaum India terbabit menerusi blog (www.uthayasb.blogspot.com) pada pagi 20 Mac 2011.
Katanya, tiga wakil kaum India juga tidak boleh dipersalahkan atas tindakan mereka berundur secara baik semasa perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri di Menara Parlimen pada 16 Mac 2011.
“Seperti yang sudah dijelaskan, kami bertiga terpaksa berundur berikutan tindakan beberapa ahli Panel Bebas ‘berpaling tadah’ dengan tiba-tiba mahu hanya meminda perkataan ‘paria’ dan mula menolak setiap cadangan pindaan lain yang sebenarnya sudah diperakukan secara konsensus pada 4 Mac lalu,” katanya. (BACA LAGI)
Uthaya juga secara peribadi sebagai seorang penulis tidak faham mengapa ada pihak yang bertegas mahu mengekalkan novel Interlok edisi murid walaupun selepas dibuktikan terdapat begitu banyak kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara yang menyentuh sensitiviti kaum Melayu, Cina dan India. (Lihat contoh DI SINI)
“Sejak taklimat khas Kavyan di Shah Alam pada 16 Januari lalu, kami (Kavyan) menegaskan bahawa novel Interlok edisi murid perlu ‘dimurnikan’ demi memulihkan maruah Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) yang tercalar berikutan sebuah novel edisi murid (abridged; student edition) dengan begitu banyak kelemahan ketara diedarkan kepada semua pelajar Tingkatan Lima di Zon 2 sebagai teks wajib Komsas.
“Generasi muda yang membaca Interlok edisi murid sebagai teks Komsas (2011-2020) sepatutnya berasa bangga dengan kemampuan Pak Lah menggambarkan semangat perpaduan kaum selaras gagasan 1Malaysia dalam karya yang dihasilkan lebih 40 tahun lalu.
“Malangnya, berikutan ‘kegagalan’ pihak tertentu, novel edisi 2010 terbit dalam bentuk yang sebaliknya, iaitu penuh dengan unsur bertentangan nilai persefahaman dan perpaduan kaum serta gagasan yang dibawakan Perdana Menteri.
“Panel Bebas memperakukan pindaan yang sepatutnya berjaya memurnikan novel Interlok edisi murid sebelum terlewat, sekali gus memulihkan maruah Pak Lah. Malangnya, ada semacam usaha berpaling tadah dan membelot terhadap usaha murni itu oleh pihak tertentu sejak 16 Mac lalu,” kata Uthaya.
Mengenai tindakan pelbagai pihak, termasuk NGO India dan Cina, yang kini kembali mendesak Interlok edisi murid dikeluarkan terus daripada dijadikan teks Komsas, Uthaya berkata, ketiga-tiga wakil kaum India tidak boleh dipersalahkan kerana segala tindakan itu adalah tanda bantahan rakyat terhadap edisi yang ada sekarang (edisi 2010) dan bukannya terhadap edisi dimurnikan (edisi 2011) yang sepatutnya terbit jika saranan yang diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011 dilaksanakan.
“Saya juga secara peribadi hairan mengapa ada pihak yang masih bertegas tidak mahu memurnikan (menyunting) sebuah novel yang sudah dibuktikan ada kekurangan dalam edisi murid yang sepatutnya sudah melalui pelbagai peringkat saringan, penilaian, penyuntingan dan pemurnian sebelum buku diluluskan untuk dicetak.
“Salah satu teori konspirasi yang saya mula dengar dalam kalangan rakyat sejak 19 Mac 2011 adalah bahawa terdapat ‘tangan-tangan halus’ yang mahu ‘membunuh’ Pak Lah dan seorang tokoh lain dengan menjadikan novel Interlok edisi murid yang sengaja tidak dimurnikan ini sebagai senjata,” kata Uthaya tanpa mendedahkan siapa seorang lagi tokoh yang dimaksudkan.
Bagaimana jika selepas ini, segala pindaan yang diperakukan Panel Bebas secara konsensus pada 4 Mac 2011 dilakukan dan Interlok edisi ‘dimurnikan’ diterbitkan?
“The damage has already been done,” kata Uthaya.