Pada masa yang sama, adik-adik mungkin terus berdebar-debar memikirkan keputusan yang bakal diperoleh. Sepatutnya adik-adik tidak perlu risau jika sudah melakukan yang terbaik semasa berada di dewan peperiksaan.
Sebaliknya, adik-adik perlu memikirkan pula “dunia” baru yang bakal adik-adik teroka tahun hadapan. Ya, adik-adik akan melangkah ke Tingkatan Satu di sekolah menengah. Mungkin ada dalam kalangan adik-adik yang akan ke sekolah berasrama penuh.
Adik-adik bakal bertemu rakan-rakan baru dari sekolah-sekolah lain. Adik-adik juga akan melangkah ke alam remaja yang menjanjikan pelbagai perubahan secara fizikal dan mental.
Tidak mustahil juga bahawa ramai dalam kalangan adik-adik akan beralih daripada membaca majalah e-baca kepada membaca majalah Fokus SPM terbitan Kumpulan Media Karangkraf yang memfokus kepada pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.
Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna adik-adik perlu melupakan terus e-baca yang menemani adik-adik selama hampir enam tahun di sekolah rendah. Pasti sahaja ada pelbagai pengalaman manis adik-adik bersama majalah ini. Tentu banyak ilmu dan pengalaman baru yang adik-adik peroleh melalui majalah ini.
Jadi, apabila sudah melangkah ke Tingkatan Satu, adik-adik jangan melupakan terus majalah e-baca. Kata orang tua-tua, carilah sahabat baru tetapi hargai sahabat lama. Begitulah juga halnya dengan majalah ini.
Adik-adik tentu menyimpan koleksi majalah e-baca keluaran lalu. Apa yang akan adik-adik lakukan pada majalah itu? Apabila ada masa lapang, cuba baca semula koleksi majalah-majalah itu. Tentu ada pelbagai fakta dan ilmu yang boleh adik-adik timba sebagai bekalan sebelum melangkah ke sekolah menengah.
Segala panduan yang diberikan dalam ruangan “Cereka UPSR” sejak Mei 2010 tentu sahaja bukan hanya berguna untuk menulis karangan bermutu semasa UPSR. Sebaliknya, panduan-panduan ini bolehlah adik-adik manfaatkan semasa menulis karangan berbentuk cereka atau pun cerita rekaan di sekolah menangah nanti.
Selepas tamat UPSR, adik-adik mungkin ada lebih banyak masa untuk menulis karangan berbentuk cereka, iaitu apa yang kita sebut sebagai cerpen atau pun cerita pendek. Selain menajamkan kreativiti, adik-adik juga boleh mengasah kemampuan penulisan kreatif yang sangat berguna sepanjang hayat.
Bagaimana pula dengan adik-adik yang berada di Tahun Empat dan Tahun Lima? Jangan lupa bahawa adik-adik sedang melangkah lebih dekat menghampiri UPSR. Peringatan ini bukan bertujuan mahu menakutkan adik-adik. Sebaliknya untuk membantu adik-adik lebih bersedia dan bersemangat menghadapi UPSR.
Bermula sekarang, adik-adik bolehlah melipat-gandakan usaha mendalami teknik menulis karangan berbentuk cereka berpandukan nota dan panduan yang diberikan sejak keluaran Mei lalu.
Maknanya, apabila adik-adik melangkah semula ke sekolah pada Januari 2011, adik-adik sudah memiliki kemampuan dan kemahiran tambahan apabila diminta menulis karangan berbentuk autobiografi, biografi, gambaran, menyambung cerita dan seumpamanya.
Adik-adik juga boleh menyertai Bengkel Cereka UPSR anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Adik-adik bolehlah melayari blog di www.kavyan.blogspot.com dari semasa ke semasa untuk maklumat bengkel berkenaan.
Selain daripada itu, adik-adik juga perlu banyak membaca buku cerita dan cuba menulis karangan berbentuk cereka. Adik-adik boleh merujuk tajuk-tajuk yang diberikan dalam ruangan “Cereka UPSR” di majalah e-baca keluaran Ogos dan September 2010.
Adik-adik masih boleh menulis karangan berpandukan tajuk-tajuk itu untuk dikirim kepada Abang Uthaya. Sekiranya karangan itu menarik dan bermutu, maka akan disiarkan di ruangan ini.
Sebuah karangan akan menjadi lebih menarik dan sedap dibaca sekiranya adik-adik menggunakan perbendaharaan kata yang kaya dan luas.
Soalnya, bagaimana mahu meluaskan perbendaharaan kata? Cara yang paling mudah adalah dengan membaca akhbar, majalah dan buku. Adik-adik boleh memilih bahan bacaan mengikut bidang yang adik-adik suka.
Adik-adik perlu menyediakan sebuah buku khas untuk mencatatkan perkataan, frasa dan ayat baru yang adik-adik temui dalam akhbar, majalah dan buku. Catatkan “Perbendaharaan Kata” pada kulit hadapan buku nota yang digunakan bagi tujuan ini.
Setiap kali adik-adik menemui perkataan atau frasa yang baru dan menarik, segera catatkan dalam buku berkenaan. Adik-adik juga boleh menggunakan kamus untuk mencari makna yang tepat bagi perkataan itu.
Mari kita membuat pengiraan yang mudah. Andaikan bahawa adik-adik menambah hanya sepatah perkataan atau sebaris frasa baru setiap minggu ke dalam buku “Perbendaharaan Kata” dari Oktober 2010 hingga September 2011.
Maknanya, dalam tempoh setahun, adik-adik sudah mengetahui, memahami, mengenali dan menguasai 48 perkataan atau frasa baru. Betullah kata orang tua-tua: sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Akan tetapi, bak kata peribahasa Cina: perjalanan sejauh seribu kilometer bermula dengan langkah pertama. Jadi, mulakan segera!
..