7 Jan 2011

Interlok Edisi Murid Kurang Sesuai: MIC

SHAH ALAM - Kepimpinan Pemuda MIC akan bertemu dengan Kementerian Pelajaran dalam masa terdekat untuk membincangkan isu teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Malaysia (Komsas) Tingkatan Lima, Interlok yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum India di negara ini.
.

Ketua Pemuda MIC, T Mohan berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai pendapat, keluhan dan pandangan masyarakat India mengenai pengisian teks tersebut kepada kementerian.

.

Katanya, Pemuda MIC tidak mahu isu itu terus dipermainkan pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan.

.

“Isu penggunaan istilah ‘pariah’ memang menyentuh sensitiviti kaum India. Bagaimanapun sistem kasta sudah tidak wujud lagi dan ia tidak relevan dimasukkan dalam teks Komsas di sekolah.

.

“Kebanyakan masyarakat India meminta supaya isu ini tidak perlu diketengahkan dalam buku edisi murid di sekolah kerana sistem kasta tidak berlaku di negara ini. Yang cetus kontroversi berkenaan buku ini, ia tidak memberi satu gambaran tepat tentang keadaan dan fikiran masyarakat India pada masa sekarang,” katanya.

.

Mohan berkata, lebih malang fakta yang dikemukakan tidak tepat dan ada yang tidak benar, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat India.

.

Novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain memaparkan tema integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka.

.

Kontroversi timbul apabila novel itu dalam edisi murid mengekalkan petikan bahawa kaum India yang datang menaiki sebuah kapal ke Tanah Melayu terdiri daripada kasta pariah dan pasangan beragama Hindu yang berkahwin dikatakan menyembah Dewa Kama, iaitu ‘Dewa Nafsu’.

..

[Berita ini disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 4 Januari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk lebih banyak berita berkaitan isu ini.]