13 Dec 2010

Bukit Larut & Zoo Taiping

Sekitar pukul 8:30 pagi, 11 Disember 2010, saya dan Devishi memandu ke kaki Bukit Larut. Keluarga Azura Kasim (termasuk ibunya dan keluarga dua adiknya) sudah sedia berada di sana. Kami semua bercadang menaiki Bukit Larut. Keluarga Azura sudah menyediakan pelbagai masakan dan makanan manakala Devishi dan saya sempat membeli kacang, asam dan gula-gula.
.

Malangnya, tiket bagi jip sudah habis. Tiket seterusnya hanya pada pukul 2:00 petang. Cuaca pula amat redup tentu sahaja huja akan turun sebentar lagi. Maka, kami semua memutuskan untuk berkumpul di pondok di hadapan Zoo Taiping.

.

Di pondok berkenaan, kami berbual-bual sambil makan dan minum. Kanak-kanak pula bermain dengan gembira. Hujan mula turun seperti yang dijangka. Sila KLIK DI SINI untuk melihat foto-foto berkaitan.

.

Apabila hujan reda, kami semua berjalan ke Zoo Taiping. Satu kenderaan khas yang disediakan untuk membawa pengunjung penuh apabila kami semua naik. Kanak-kanak ternyata amat seronok apabila dibawa mengelilingi zoo berkenaan yang merupakan zoo pertama dan tertua di Malaysia.

.

Selepas mengucapkan selamat tinggal, Devishi dan saya ke bandar Taiping. Kami membeli sepasang kasut untuk saya dan sepasang untuk Devishi. Kami juga membeli cendol untuk dibawa pulang. Di rumah neneknya, kami juga makan buah nona yang dibeli semasa dalam perjalanan pulang dari Parit Buntar, semalam.

.

Pada pukul 8:00 malam, saya dan Devishi menyertai Jeffry Mohd Rejab ke rumah Zubir Ahmad Ghulam Kadir yang kini bergelar “Haji”. Kami berbual-bual kisah lama memandangkan kami pernah sama-sama belajar di Sekolah Menengah King Edward VII (SMKEVII) selepas saya tamat Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Darul Ridwan (SMDR). Izham Rusyadi yang berada di Kelantan dan Muhammad Amin yang berada di Johor pada hujung minggu ini tidak dapat menyertai kami pada kunjungan ini.

.

Jeffry mengutarakan cadangan mengadakan pertemuan bekas pelajar SMKEVII pada skala kecil; melibatkan beberapa keluarga bekas pelajar. Bagus juga jika dapat dilaksanakan.