30 Oct 2010

Trivia Cat

Nama saintifik bagi kucing peliharaan adalah Felis catus atau Felis silvestris catus. Istilah “cat” dalam Bahasa Inggeris juga boleh merujuk kepada harimau, puma dan kucing liar.
.

Kedudukan arnab sebagai binatang keempat dalam zodiak Cina digantikan dengan kucing dalam budaya Vietnam. Dalam legenda Cina, kucing tersingkir daripada senarai selepas diperdayakan tikus. Lagu dan album Year of the Cat (1976) oleh Al Stewart dikatakan mendapat inspirasi daripada zodiak ini.

.

Domain .cat mula digunakan sejak September 2005. Pendaftaran terhad dilakukan dari 13 Februari hingga 21 April 2006 sebelum dibuka kepada sesiapa sahaja yang berminat mulai 23 April 2006. Domain Internet itu khusus untuk mengembangkan bahasa dan budaya Catalan yang digunakan secara meluas di Catalonia, Sepanyol.

.

Ada juga beberapa individu terkenal yang menggunakan nama “cat”, misalnya Cat Cora (Catherine Cora), Cat Whitehill, Cat Osterman dan Cat Stevens (Yusuf Islam).

.

Sitcom sains fiksyen Red Dwarf yang disiarkan di Britain dari 1988 hingga 1999 menampilkan watak “Cat” iaitu humanoid terakhir daripada spesis Felis sapiens yang berevolusi daripada kucing peliharaan biasa dalam tempoh 3,000,000 tahun.

.

Dalam filem komedi romantik Breakfast at Tiffany’s (1961) berdasarkan karya Truman Capote, kucing peliharaan Holly Golightly bernama “Cat”. Watak itu dilakonkan kucing bernama Orangey yang dilatih oleh Frank Inn. Orangey adalah kucing belang yang menang Anugerah Patsy (versi Oscar untuk binatang) bagi filem Rhubarb (1951) dan Breakfast at Tiffany’s (1961).

.

Terdapat juga permainan indie ciptaan John Wick pada 2005 dinamakan Cat manakala dalam legenda di Scotland, terdapat kisah mengenai Kerajaan Cat yang diasaskan di kawasan yang kini dikenali sebagai Caithness.

.

Muzikal Cats (1981) oleh Andrew Lloyd Webber digubah berdasarkan kisah dalam buku Old Possum’s Book of Practical Cats (1939) karya T S Eliot. Muzikal itu difilemkan pada 1998 dengan mengekalkan teknik persembahan teater muzikal.

.

Siri televisyen C.A.T.S Eyes disiarkan di Britain dari 12 April 1985 hingga 6 Jun 1987. Judulnya adalah akronim bagi Covert Activities Thames Section iaitu sebuah agensi penyiasat peribadi yang dinamakan “Eyes”. Program pendidikan di televisyen Britain pada 1994 dinamakan Cats’ Eyes dan bertujuan mendidik kanak-kanak mengenai asas sains.

.

Filem Cat’s Eye (1985) dibuat berdasarkan tiga cerpen Stephen King manakala Margaret Atwood menghasilkan novel dengan judul sama pada 1988.

.

Cat dalam Bahasa Inggeris merujuk kepada “kucing” dalam Bahasa Malaysia; lalu menghasilkan juga frasa seperti tom-cat, hunting-cat, hell-cat, copy-cat, alley-cat, scaredy-cat dan bear-cat. Manakala “cat” dalam Bahasa Malaysia merujuk kepada paint dalam Bahasa Inggeris; misalnya cat minyak, cat air, cat emulsi, cat kilat dan cat bakar.

.

Cerpen “Cat” yang disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia (21 Disember 1997) serta dimuatkan dalam Rudra Avatara (2008) adalah mengenai seekor kucing bernama Cat yang dimasukkan ke dalam balang berisi cat.

.

Cerpen “Cat2” yang disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia (11 Mei 2003) serta dimuatkan dalam Rudra Avatara (2008) adalah mengenai kucing bernama Cat yang muncul kembali enam tahun kemudian dan cuba “mencatu” kuasa menulis seorang pengarang.
..
Sila KLIK DI SINI untuk Trivia Liar.