9 Oct 2010

Roti Chennai & Teh Botol

Sebelum ini, saya ada membuat catatan ringkas mengenai asal-usul nama beberapa tempat untuk dipaparkan pada ruangan status di Facebook. Koleksi catatan itu boleh dibaca DI SINI.
.

Pada pagi 6 Oktober 2010, saya mencari trivia (maklumat yang kurang penting tetapi menarik) mengenai beberapa makanan dan minuman yang lazim di Malaysia. Maklumat itu juga dikongsikan pada ruangan status di Facebook sebelum didokumentasikan di blog ini.

.

ROTI CANAI yang sudah sinonim dengan rakyat Malaysia berasal dari Chennai, India apabila pekerja dari sana memperkenalkan menu makanan yang sama di Malaysia.

.

Di India, roti berkenaan digelar “Kerala porotta” kerana berasal dari Kerala. Sebab itulah juga “roti canai” turut digelar “roti prata” di Singapura.

.

Walaupun istilah “canai” sedia wujud dalam Bahasa Malaysia, nama roti ini adalah variasi kepada “Chennai” kerana dibawa oleh pekerja dari Tamil Nadu ke Malaysia.

.

Azlan Bin Idris berkongsi pengalaman dengan memberi komen, “Dahulu kuah roti canai dimasukkan ke dalam bekas tin susu pekat tatkala teknologi plastik yang tahan panas belum/tidak digunakan secara meluas di Malaysia.”


Peter Blood bertanya maksud “poratta” dan saya menjelaskan bahawa “poratta” (Bahasa Malayalam) atau “paratta” (Bahasa Tamil) sudah pun menyerap ke dalam Bahasa Malaysia menjadi “canai” daripada nama “Roti Chennai” (roti canai). Malah, istilah “roti perata” juga sudah diterima dalam Bahasa Malaysia. Kesemua istilah itu mambawa makna “canai” seperti yang kita ketahui.

.

Vasantha Vivekananda berkongsi maklumat bahawa ada restoran India (di Malaysia) yang memasukkan Paratta dan roti canai dalam menu. Saya menjelaskan bahawa parata yang sebenarnya mereka maksudkan adalah capati (parata India utara).

.

Peter Blood menyatakan bahawa beliau sebelum ini menyangka “porotta” mungkin bermaksud “putar” atau “pintal” kerana “orang dulu-dulu kalau membuat roti canai biasanya akan memintal atau menggulung adunan itu sehingga bagaikan patka (anak serban Sikh) sebelum dilenyek semula dan dibakar”.

.

Apa yang diterangkan oleh Peter Blood memang benar kerana perbuatan itulah yang dinamakan “porata”. Akan tetapi, di Malaysia, memandangkan roti itu dinamakan “Roti Chennai”, maka aksi porata itu dinamakan “canai” dalam kamus.

.

Vijayaletchumy Vellasamy pula meluahkan rasa ingin tahu beliau selama ini sama ada roti canai berasal dari Malaysia atau India. Malah, katanya, roti canai yang beliau makan di Chennai, Tamil Nadu, India tidak begitu menarik dari aspek rupa, struktur dan rasa.

.

WADE”, “wadai” dan “vadei” sudah diterima sebagai istilah Bahasa Malaysia. Ia sering merujuk kepada sejenis makanan tradisional masyarakat India yang diperbuat daripada tepung kacang dal putih, berbentuk bulat dan berlubang di tengah.

.

Sebenarnya ada banyak jenis vadei. Vadei dengan lubang di tengah adalah “ullundhu vadei”. Satu lagi vadei yang biasa di Malaysia adalah “paruppu vadei” atau “aamei vadei” yang tiada lubang di tengah.

.

“Maddur vadei” atau “uli vada” pula menggunakan bawang, rangup, lebih besar dan tiada lubang di tengah. “Tayiru vadei” pula ulundhu vadei yang disajikan bersama tairu (susu masam).

.

Ada juga “Masala vadei”, “rava vadei”, “thavala vadei” dan “keerai vadei” yang popular di India.

.

Azlan Bin Idris mencatatkan, “Saya mengenali dan jatuh cinta dengan vadei daripada seorang penjual wanita bernama Kupu. Dia akan berjalan membawa bakul di sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di dalam bakulnya ada banyak cili hijau untuk dimakan bersama vadei. Itu sejarah sekitar 1975-76.”

.

Ravi Rathinam tampil menjelaskan, “Cili hijau bersama vadai, capati atau roti adalah menu biasa di New Delhi, India.”

.

Norpadilah Binti Afandi menceritakan, “Saya biasa makan vadei yang tiada lubang di tengah. Ia sudah menjadi kuih wajib kalau minum petang hujung minggu. Kakak ipar saya amat pandai membuat vadei dan dia pelajari daripada jiran kaum India.”

.

Vasantha Vivekananda menambah mengenai “kadalai vadei” dan mengatakan bahawa kini, pelbagai ramuan turut ditambah kepada proses menghasilkan vadei.

.

Lalith Shamshir Shamsul mengakui bahawa vadei memang makanan kegemarannya sejak zaman persekolahan.

.

Nur Amin meminta penjelasan mengenai vadei “yang ada kacang dhal yang direndam, bawang goreng, cili potong kemudian dibulat dan dileperkan sebelum digoreng” dan Ravi Rathinam menjelaskan mengenai ulunthu vadei dan paruppu vadei.

.

Perbincangan seterusnya antara Nur Amin, Ravi Rathinam dan Busran Masan berkisar mengenai “kuih tunjuk” iaitu kuih-muih yang dibeli. Menarik juga perbincangan topik itu.

.

AIR BANDUNG” atau “sirap bandung” yang popular di Malaysia dan Singapura sejak tahun 1960-an adalah air sirap yang dicampur dengan susu. Minuman ini tiada apa-apa kaitan dengan Bandung di Jawa Barat.

.

Dalam Bahasa Malaysia, “bandung” bermakna “dua benda yang dirangkaikan” atau “sepasang”. Maka, “air bandung” diberi nama sedemikian kerana menggabungkan susu dan sirap. Khabarnya, sirap bandung tidak dijual di Bandung, Jawa Barat.

.

Vasantha Vivekananda meminta kepastian apakah tiada apa-apa kaitan geografikal antara “air bandung” dengan “Bandung”. Saya menjelaskan bahawa tiada apa-apa kaitan antara kedua-duanya; sebagaimana juga “mi bandung” yang tiada kaitan dengan Bandung.

.

Amir Muhammad pula dengan nakal menulis, “Oh, I always assumed it was because many people from Malaysia used to go to Bandung for vacation, so the name was chosen to signify happy times!”

.

Amir Muhammad juga bertanya, “Apa kaitan coklat Mars dengan planet Marikh?” Sebenarnya, coklat Mars (Mars bars) tiada kaitan dengan planet Marikh (Mars). Coklat itu mendapat namanya sempena syarikat yang mengeluarkannya, iaitu The Mars Candy Factory (kini Mars Inc.) dan nama syarikat itu juga tiada kaitan dengan planet Marikh. Sebaliknya, sempena nama keluarga pengasasnya, Frank Clarence Mars.

.

Fadli Al-Akiti pula secara berjenaka juga bertanya kemungkinan Frank Clarence berasal dari Mars atau ada darah Romawi. Sebenarnya, seluruh keluarga jutawan Mars sering mengelak wartawan. Namun, saya pasti bahawa keluarga itu bukan makhluk asing dari planet Marikh (Mars) dan bukan juga keturunan Dewa Perang Roman (Mars).

.

Hajijah Jais berkongsi maklumat bahawa campuran air bandung dengan minuman 7-Up atau ais krim soda juga sedap.

.

Kalau di Malaysia ada teh tarik, di Indonesia pula ada “TEH BOTOL” yang mula diperkenalkan di Jawa Tengah pada 1940. Jenama asal “teh botol” adalah “Cap Botol”.

.

Pada 1965, teh jasmin jenama Cap Botol mula diperkenalkan di Jakarta dengan memberi sampel percuma kepada orang ramai. Masalahnya, masa yang lama diperlukan untuk menyediakan minuman ini.

.

Akhirnya, teh disediakan lebih awal dan dimasukkan ke dalam botol sebelum diedarkan. Maka, lahirlah jenama “Teh Botol” pada 1969. Botol khas dengan rekaan baru diperkenalkan pada 1972. Rekaan yang ada sekarang diperkenalkan pada 1974.

.

Vasantha Vivekananda menyatakan bahawa beliau mencuba “Teh Botol” di Bali tahun llau dan rasanya sedap.

.

Vijayaletchumy Vellasamy pula percaya minuman itu tentu ada ditambah perasa tiruan.

..

Ternyata perkara-perkara yang kurang penting tetapi menarik (trivia) boleh membuka laluan ke arah perbincangan santai tetapi penuh bermakna. Malah, membantu mewujudkan perasaan saling memahami dan mengenali.