22 Sept 2010

Mendengar Novel “Escape”

Saya selesai mendengar versi audio novel Escape (2008) pada jam 12:25 tengah hari, 18 September 2010 dan semakin membenci mana-mana pihak yang melakukan sebarang bentuk keganasan dengan alasan mereka menerima “arahan” daripada Tuhan.
.

Saya mula mendengar cakera padat (CD) audio yang disampaikan dengan penuh penghayatan dan intonasi oleh Charles Leggett pada jam 6:00 pagi, 4 September 2010 sewaktu memandu ke Taiping, Perak. Kisah di Taiping boleh dibaca DI SINI dan DI SINI.

.

Rakaman audio pada setiap CD panjangnya sekitar 75 minit. Maka, saya mendengar 2 CD dalam perjalanan ke Taiping pada pagi 4 September 2010 dan 2 CD dalam perjalanan dari Taiping pada petang 5 September 2010.

.

Charles Leggett turut menjadi pembaca bagi versi audio untuk novel-novel seperti Capture (Robert K Tanenbaum), City at the End of Time (Greg Bear), Diamondhead (Patrick Robinson), Heyday (Kurt Anderson) dan Too Many Murders (Colleen McCullough).

.

CD audio novel Escape karya Robert K Tanenbaum telah saya beli pada 9 Ogos 2010 di BookXcess, AmCorp Mall, Petaling Jaya; selepas memiliki CD audio novel To Kill A Mockingbird pada 17 Julai 2010. Kisah itu boleh dibaca DI SINI. Pada 19 September 2010, saya membeli CD audio novel The Hour I First Believed (Wally Lamb, 2008).

.

Edisi lengkap novel Escape dalam versi audio terdiri daripada 18 CD dan jumlah masa pendengaran selama 22 jam 30 minit. Selain mendengarnya dalam perjalanan pergi-balik Taiping, saya juga mendengarnya di dalam kereta dalam perjalanan pergi-balik Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

.

Kesesakan jalan raya memberi ruang dan peluang saya mendengar kisah yang penuh mendebarkan ini. Terima kasih, Malaysia!

.

Perjalanan sekitar 10 minit pergi-balik kerja (akhbar Sinar Harian) juga saya manfaatkan untuk mendengar CD audio ini dengan penuh minat. Begitu juga pada setiap kali saya memandu.

.

Sewaktu mendengar CD ke-17 pada pagi 18 September 2010, saya mula berasa sedikit sedih kerana kisah yang penuh mendebarkan itu akan berakhir dalam masa sekitar dua setengah jam!

.

Ada beberapa perkara menarik dalam novel ini yang pernah juga saya catatkan pada ruangan status di Facebook.

.

Pertama, paparan pada 13 September 2010: Ada watak “Azahari Mujahideen” dalam novel Escape (2008) dan digambarkan sebagai pengganas warga Filipina daripada “etnik Malaysia”. Satu: Mungkinkah watak ini ada kaitan dengan Azahari Husin (Pengeboman Bali, 2002)? Dua: Pengarang luar melihat kita sebagai satu etnik/bangsa tetapi kita masih mengamalkan konsep Melayu + Cina + India + Lain-lain.

.

Farah Harith memberi reaksi, “Maybe it’s the foreign authors who are ignorant for dumping us all into one ethnicity/background? When in truth, we come from various ethnicity? And isn’t it our duty to uphold our own identity instead of being referred to as Malaysians for both race and nationality? However, when I say ‘uphold’, I do not mean exercising superiority. Just my two cents worth on the blurry line between ‘ethnicity’ and ‘nationality’.”

.

Ghanthi Mathi turut memberi reaksi, “It’s very irony, because in some developed country with mixed ethnics, they only refer themselves by their nationality and stand firm with it. We are rushing to become a developed country, however fail to pursue it. How ironic.”

.

Sehari selepas membuat catatan itu pada ruangan status Facebook, saya menambah komen berdasarkan maklumat terkini dalam CD ke-13 novel Escape, iaitu kehadiran satu lagi watak “etnik Melayu yang bercakap bahasa Melayu”!

.

Sekadar makluman, pada awal pagi 19 September 2010, polis dan tentera Filipina berjaya menembak mati anggota militan Abu Sayyaf, Abdukarim Sali di Lantawan, Pulau Basilan. Pengganas itu terlibat dalam penculikan dan pembunuhan sekumpulan pelancong di pusat peranginan Dos Palmas, wilayah Palawan pada Mei 2001.

.

Kedua, paparan pada 14 September 2010 berdasarkan dialog dalam CD ke-13: “God made you as you are. Which means you are made perfect.”

.

Paparan kedua itu mendapat reaksi positif daripada Zahr Ilyani, Ghanthi Mathi, Nadia Ali, Suthina T Palan, Magaenthiran Periaswamy, Vijayaletchumy Vellasamy dan Hajijah Jais.

.

Untuk makluman, dialog di atas diucapkan seorang lelaki Yahudi (yang terselamat daripada dibunuh tentera Nazi pada tahun 1940-an) kepada seorang lelaki Afrika beragama Kristian yang kemudian memeluk agama Islam.

.

Sesungguhnya, saya tidak pernah mendengar nama Robert K Tanenbaum. Selepas memiliki CD audio Escape, saya membuat sedikit rujukan dan mendapat tahu bahawa beliau memang mempunyai pengalaman luas sebagai peguam selain terlibat dalam jawatankuasa penyiasatan berhubung pembunuhan Presiden J K Kennedy dan Dr Marthin Luther King. Jadi, Tanenbaum bukan calang-calang penulis.

.

Trivia menarik mengenai penulisan Tanenbaum adalah bahawa 15 novel awal beliau – yang terbit antara 1987 dan 2003 – khabarnya ditulis oleh sepupunya, Michael Gruber. Tujuh novel terkemudian yang dipercayai ditulis sendiri oleh Tanenbaum adalah Hoax (2004), Fury (2005), Counterplay (2006), Malice (2007), Escape (2008), Capture (2009) dan Betrayed (2010).

.

Kisah dalam Escape memang ada kesinambungan dengan 19 novel terdahulu. Pendakwa raya Butch Karp sedang mengendalikan kes pendakwaan terhadap seorang pensyarah sains politik di Universiti New York, Jessica Campbell, yang membunuh tiga anaknya dengan alasan “menerima arahan daripada Tuhan”.

.

Pada masa yang sama, isteri Karp, Marlene Ciampi dan anak mereka, Lucy (yang “lahir” dalam novel Material Witness, 1993), terlibat sama dalam usaha menghalang sekumpulan pengganas dan pengebom berani mati yang mahu memusnahkan Amerika Syarikat dengan alasan telah “menerima arahan daripada Tuhan” (atau dalam konteks ini, Allah).

.

Saya berpeluang mendapat banyak ilmu bantu mengenai pelbagai perkara melalui novel Escape yang memang padat dengan maklumat dan fakta yang disajikan dalam bentuk fiksyen.

.

Antaranya, mengenai cara mencari bukti kes dan membuktikan kes, cara licik yang digunakan pengganas dan pengebom berani mati, pembunuhan Yahudi oleh Nazi semasa Perang Dunia Kedua (sebagaimana digambarkan juga dalam filem Schindler’s List, 1993), teknik menghasilkan sebuah karya thriller yang berjaya, serta cara menyampaikan (membaca) sebuah karya dengan penuh gaya, penghayatan, intonasi dan suara.

.

Sambil mendengar novel ini, saya juga tertanya-tanya, mungkinkah seorang pengetua, Hajah Siti Inshah, yang dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan terhadap pelajar di sekolahnya di Kulaijaya baru-baru ini – BACA DI SINI – juga “menerima arahan” daripada mana-mana?

.

Saya tidak akan berasa hairan jika novel Escape sudah pun berada dalam senarai buku-buku yang diharamkan di Malaysia; mungkin atas alasan memuatkan maklumat-maklumat yang mengundang simpati terhadap orang Yahudi dan/atau memasukkan unsur-unsur yang mengundang rasa benci terhadap penganut agama tertentu yang menggunakan nama Tuhan untuk melakukan keganasan.

.

Cara Tanenbaum menyusun plot memang menarik kerana beberapa kisah (sub-plot) yang pada mulanya kelihatan seperti tidak ada apa-apa kaitan, sedikit demi sedikit mula bertemu dan (pada saya) membawa kepada persoalan besar:

.

Bolehkah kita membenarkan sesiapa melakukan keganasan dengan alasan mereka telah menerima “arahan” daripada Tuhan?

.

“Kita” yang dimaksudkan dalam konteks novel Escape adalah rakyat Amerika Syarikat tetapi soalan sama amat wajar diajukan sambil memandang anak mata individu yang berdiri di hadapan kita semasa kita menghadap cermin.