28 Jul 2025

Sastera Mahua Angkat Kisah Kaum Cina

Seingat saya, buku koleksi cerpen bahasa Cina (Mandarin) oleh penulis Cina tempatan dalam terjemahan yang mula-mula saya baca ialah antologi Gadis Dalam Gambar (1994).

Selepas itu, barulah saya membaca pula antologi Angkatan Ini (1990), Dalam Hujan Renyai (2000), dan Impian di Pelabuhan (2004). Buku Putik (2003) pula himpunan karya Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF).

Persatuan itu yang diasaskan pada 1986 memang aktif mengusahakan terjemahan karya bahasa Cina oleh pengarang di Malaysia, Singapura, Taiwan, dan China supaya mampu dinikmati pembaca pelbagai kaum di Malaysia.

Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) yang giat mengadakan acara membaca cerpen di pentas turut memberi perhatian kepada karya Tamil dan Cina yang sudah diterjemah kepada bahasa kebangsaan.

Misalnya, cerpen Tamil terjemahan dalam antologi Seruling di Persimpangan (1999) dijadikan teks bacaan pada acara di Kolej Antarabangsa S.I.T, Klang pada Julai 2004.

Cerpen bahasa Cina dalam antologi terjemahan PERSPEKTIF turut dijadikan teks acara membaca cerpen pentas. Misalnya, antologi Gadis Dalam Gambar bagi acara pada Mei 2004 di Klang dan antologi Kuda Emas bagi acara pada April 2007 di Bandar Sunway.

Apabila saya menyelenggara antologi Seruling Malam (2024), penulis Tamil dan Cina turut digalakkan mengirim karya terjemahan. Hasilnya, Chia Chen Eng menterjemah sendiri dua cerpennya.

Cerpen “Penyakit Bisu” dan “Telefon Bimbit” oleh penulis ini amat menarik serta membuktikan karya bahasa Cina tempatan memang bermutu.

Cerpen “Cermin di Jalan Pejalan Kaki” dan “Notis Mencari Jalan” oleh Duola @ Lim Guat See pula diterjemah oleh Liew Meng Seng dan membantu khalayak umum lebih mengenali kehidupan komuniti Cina. [Biodata mereka – di sini]

Untuk makluman, karya bahasa Cina yang dihasilkan penulis di Malaysia (termasuk Singapura sehingga 1965, serta Sabah dan Sarawak mulai 1963) dikenali sebagai karya “Mahua”.

Istilah itu digunakan secara rasmi dalam bidang sastera dan berasal daripada frasa bahasa Cina bagi “orang Cina di Malaysia”.

Pada Forum Penulis Pelbagai Kaum anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA) pada Januari 1994, saya berpeluang mendengar perihal sejarah sastera Mahua dari tahun 1919 hingga 1989 disampaikan oleh Tang Eng Teik dari Jabatan Pengajian Cina, Universiti Malaya.

Pada Ogos 1994 pula berlangsung Siri Ceramah Kesusasteraan Perbandingan di mana Yang Quee Yee menghuraikan citra sastera Mahua selepas Perang Dunia Kedua.

Peluang mendalami dunia sastera Mahua turut muncul menerusi buku The Chinese in Malaysia (2000) kerana Tang Eng Teik menulis tentang perkembangan sastera Cina di Malaysia.

Terdahulu, Lai Choy menulis rencana bertajuk “Sastera Mahua: Satu Pandangan ke Hadapan” di majalah Dewan Sastera (April 1989).

Buku Perkembangan Kesusasteraan Mahua Moden 1919-1965 (2000) oleh Yang Quee Yee dan Cerpen Mahua dan Cerpen Melayu: Suatu Perbandingan (2006) oleh Chong Fah Hing memudahkan saya mengetahui sejarah, perkembangan, dan kandungan sastera Mahua.

Usaha penuh dedikasi oleh PERSPEKTIF menterjemah sastera Mahua kepada Bahasa Malaysia diteruskan juga oleh Pusat Kebudayaan Han Malaysia tetapi lebih tertumpu kepada karya klasik dari negara China.

Pengarah Nusa Centre, Syed Mohd Zakir (SM Zakir) pula bekerjasama dengan Florence Kuek dari Jabatan Pengajian Cina, Universiti Malaya untuk menerbitkan Tasik Itu Bagai Cermin (2022) iaitu antologi cerpen Mahua dalam terjemahan.

Jika kita rajin membaca majalah Dewan Sastera dan Balai Muhibbah keluaran 1970-an dan awal 1980-an, maka dapat dilihat betapa karya Mahua turut diterjemah untuk siaran.

Akan tetapi, memang mengecewakan kerana tiada usaha mengumpul dan menerbitkan puisi, cerpen, dan rencana berkenaan dalam bentuk buku. Buku tulisan Yang Quee Yee dan Chong Fah Hing pula gagal dipromosi secara meluas oleh penerbit terbabit iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Terjemahan karya Mahua kepada bahasa Jepun mungkin sesuatu yang langsung tidak kita ketahui. Sebenarnya, kerja-kerja itu memang berlaku sejak 1970-an, khususnya kerana pembaca dan pengkaji di negara Jepun ingin mengetahui suasana hidup di Tanah Melayu semasa penjajahan Jepun (1941-1945).

Perkara ini turut diperkatakan oleh Akane Oikawa, seorang penterjemah dan pengkaji sastera Mahua, semasa sesi kuliah khas di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar pada Oktober 2018.

Kumpulan esei kajian yang membantu menambah pengetahuan ialah Translating Chinese in Malaysia (2024). Buku ini mencakup topik terjemahan karya sama ada daripada atau kepada Bahasa Malaysia dan Inggeris.

Satu lagi buku yang sedikit ilmiah dan penuh maklumat ialah Malaysian Crossings: Place and Language in the Worlding of Modern Chinese Literature (2022).

Usaha Han Suyin memperkenalkan sastera Mahua kepada komuniti bukan Cina diperincikan menerusi esei bertajuk “Language, Translation and (Chinese) Malaysian Literature” oleh Show Ying Xin dalam buku Paper & Text (2020).

Han Suyin juga menulis prakata bagi antologi Modern Malaysian Chinese Stories (1967) yang diusahakan oleh Ly Singko. Buku Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (1977) turut memuatkan tujuh cerpen Mahua yang diterjemah oleh Ding Choo Ming.

Terbukti, terjemahan karya Mahua kepada Bahasa Malaysia dan Inggeris bukan sesuatu yang baharu. Pelbagai pihak mengambil inisiatif melakukan terjemahan sejak puluhan tahun dahulu.

Dalam situasi ini, saya terkilan membaca antologi terjemahan cerpen Mahua berjudul Objects of Desire (2025) yang diusahakan Persatuan Penulis Berbilang Bahasa (PEN Malaysia).

Dikatakan bahawa walaupun sastera Mahua mendapat pengiktirafan dalam dunia berbahasa Cina, ia masih agak tidak diketahui pembaca bukan Cina.

Kononnya, hanya beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan peningkatan usaha menterjemah karya Mahua ke dalam bahasa Inggeris.

Seolah-olah segala usaha sejak 1960-an tidak ada apa-apa makna.

[Rencana ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 7 Mei 2025 dan disiarkan di Utusan Malaysia pada 10 Mei 2025.]