28 Feb 2013

Bissme’s Doubt

Umumnya golongan wartawan yang sudah terlalu biasa menulis berita berdasarkan fakta menggunakan bahasa komunikatif dikatakan menghadapi kesukaran menulis karya fiksyen menggunakan bahasa kreatif.
 
Bissme S yang saya kenali sejak sekitar 1995 tampil sebagai salah seorang daripada beberapa wartawan tempatan yang berjaya membuktikan bahawa tanggapan umum itu tidak tepat.
 
Wartawan berumur 45 tahun ini bekerja dengan sebuah akhbar Bahasa Inggeris tempatan sejak 1993 dan sudah mula menulis fiksyen sejak usia remaja.
 
Karyanya sering tersiar di majalah hiburan, selain dimuatkan dalam antologi. Antaranya dalam buku Aweks KL (2008) dan Orang Macam Kita (2010) di mana karya Bahasa Inggeris diterjemah ke Bahasa Malaysia.
 
Kini, Bissme yang merupakan bekas pelajar MBS Sentul muncul dengan kumpulan cerpen sulung berjudul Doubt (2013) terbitan Merpati Jingga. Buku berkenaan memuatkan 45 cerpen yang masing-masing panjangnya antara 300 dan 2,000 patah perkataan.
 
Kisah-kisah yang diketengahkan oleh penulis ini adalah lain daripada yang lain; khususnya dalam konteks negara kita. Apatah lagi jika dibandingkan dengan tema karya Bahasa Malaysia yang biasa menjadi sebutan ramai.
 
Cerpen “Wet” misalnya menampilkan kisah seorang pemuda yang diliwat seorang lelaki misteri. Selepas itu, mereka sering bertemu untuk memuaskan nafsu. Tidak lama kemudian, identiti dan jawatan sebenar lelaki misteri itu dalam dunia politik mula diketahui.
 
Saya sudah biasa membaca cerpen-cerpen yang ditulis oleh Bissme sejak dahulu. Beliau memang berani dalam menampilkan tema, persoalan dan kisah serta aksi yang dianggap “kurang sesuai” dengan norma masyarakat Malaysia.
 
Cerpennya sentiasa berisi unsur twist, pulp fiction, cinta yang lain daripada yang lain, kisah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), ganjil, pelik serta mengundang pembacaan yang penuh teliti untuk memahami kisah yang disampaikan.
 
Pada masa sama, Bissme jarang memberikan penerangan mengenai rupa fizikal (serta nama, kaum, agama) watak dan latar tempat di mana cerita berlaku. Maka, watak yang diketengahkan itu mungkin siapa sahaja dan kisah itu boleh berlaku di mana sahaja.
 
“Saya mahu pembaca menikmati cerita, bukan menumpukan dan membuat penilaian terhadap watak yang muncul dalam cerita,” katanya apabila kami bertemu untuk berbual mengenai buku Doubt di Kampung Kerinci – kini Bangsar South – pada 29 Disember 2012.
 
Cerpen “A Woman of Two Faces” pernah diterjemah sebagai “Wanita Dua Wajah” untuk dimuatkan dalam antologi Orang Macam Kita. Versi asal kisah watak lesbian ini boleh dibaca dalam Doubt.
 
Sebuah cerpen berjudul “The Blind Date” pula belum pernah tersiar di mana-mana. Cerpen-cerpen yang pernah disiarkan di blog pula disunting dan diperkemaskan bagi tujuan buku ini.
 
Bissme percaya bahawa khalayak pembaca Malaysia tidak akan terkejut apabila membaca kisah-kisah non-konvensional yang termuat dalam kumpulan cerpen ini. Baginya, penulis dan penerbit tidak patut memandang rendah (underestimate) golongan pembaca.
 
“Tidak timbul soal saya merosakkan pembaca kerana politikus sudah pun memikul tugas itu dengan penuh jaya. Saya tidak berdakwah atau cuba menyampaikan mesej dan moral menerusi cerita. Sebaliknya, saya hanya mahu bercerita dan saya berharap ada orang yang suka membaca apa yang saya ceritakan,” katanya.
 
Menurut Bissme, neneknya seorang yang buta huruf tetapi mempunyai bakat bercerita yang sangat hebat. Wartawan ini mengaku sangat teruja dan kagum dengan kisah-kisah yang didengar daripada neneknya. Bissme sedar bahawa bercerita adalah suatu seni dan dia berusaha menguasai seni itu menerusi cerpen-cerpen yang ditulis.
 
Walaupun judul buku ini adalah Doubt (sangsi), saya yakin bahawa kumpulan cerpen ini akan menarik perhatian serta minat khalayak untuk mengetahui pelbagai kisah yang disajikan. Kumpulan cerpen ini dilancarkan sempena Pesta Warung Buku di Jonker Walk, Melaka pada petang 5 Januari 2013.
 
[Ulasan ini ditulis pada 3 Januari 2013 dan disiarkan di  The Malaysian Insider pada 4 Januari 2013. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]