Sesungguhnya politik
adalah salah satu topik yang paling menarik, mudah, selesa dan sesuai
diperkatakan pada semua peringkat – dari kedai kopi
hingga ke lobi Parlimen.
Malah, saya sering mengatakan bahawa saya
amat “suka” akan politikus dan segala perkara yang berlaku di dalam dan di luar
parti-parti politik kerana semua itulah – Drama Paul Lathic – yang menjadi sumber
inspirasi yang berterusan bagi begitu banyak karya berbentuk satira dan parodi
yang saya hasilkan sejak 1992.
Bayangkan jika tidak ada ahli politik dan
parti politik. Pasti tidak ada apa-apa yang menarik untuk diperkatakan serta
tidak ada apa-apa untuk dilaporkan menerusi media cetak dan media elektronik
arus perdana.
Buku #BodohPolitik:
101 easy guides on how (not) to choose a Malaysian leader (2012) oleh Anas
Zubedy memberikan 101 lagi topik atau fakta menarik untuk dibicarakan berhubung
perkara sama.
Kelahiran buku ini juga ternyata amat kena
pada masa dan tempatnya kerana Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir dan
orang ramai (pengundi) perlu lebih bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab
memilih bakal pemimpin yang benar-benar berwibawa.
Buku ini memaparkan 101 perkara yang sesuai
dilabel sebagai “bodoh politik” serta ditulis dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin
dan Tamil. Saya berpeluang terlibat sama dalam menyemak dan memurnikan
sebahagian besar terjemahan Bahasa Malaysia. Individu lain yang terlibat ialah
Mu. Sangar, Fah Yen Yin, Chai Hong, Sharon, Aminah Poh, Rosa dan Soo How.
Penggunaan hashtag (#) pada setiap pandangan di dalam buku ini memberikannya “rasa”
seperti komentar yang sering dikongsikan kepada umum menerusi Twitter. Namun, perlu dinyatakan bahawa
ada pandangan yang terlalu panjang untuk paparan Twitter.
Setiap pandangan yang amat sinis – “siapa
yang makan cili, dia yang terasa pedasnya” – dikemukakan dalam empat bahasa
utama di negara ini. Sekali gus, mampu turut dinikmati oleh mana-mana politikus
dan pak turut yang hanya tahu satu bahasa.
Misalnya: “#BodohPolitik adalah apabila
kita andaikan orang India, Cina dan etnik lain yang miskin tidak layak mendapat
hak yang sama seperti golongan Bumiputera yang sama-sama miskin” dan
“#BodohPolitik adalah apabila kita sibuk memikirkan pilihan raya akan datang
berbanding apa yang perlu dibuat selepas pilihan raya – iaitu bekerja untuk
rakyat”.
Pada masa sama, Anas turut menyelar dan
mengkritik golongan masyarakat (pengundi) yang juga selalu bertindak tanpa
berfikir secara rasional dalam pelbagai perkara.
Misalnya: “#BodohPolitik adalah apabila kita
sanggup mengundi seseorang calon atau parti semata-mata kerana kita membenci
calon atau parti yang satu lagi” dan “#BodohPolitik adalah apabila kita pandai
merungut, mengeluh, mengkritik tentang politik tapi tidak mengambil inisiatif
mendaftar sebagai pengundi”.
Buku “pelbagai rasa” (pedas, manis, pahit,
kelat) ini baru sahaja terbit dan dijangka menarik perhatian pelbagai lapisan
masyarakat; sama ada sebagai bahan bacaan ringan atau bacaan serius yang
mencabar minda.
Anda pasti berasa bangga dilihat di tempat
awam bersama-sama buku ini kerana hanya orang yang “bodoh politik” akan
menjauhkan diri daripada buku seperti ini.
(Ulasan buku ini ditulis
pada 17 April 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 21 April 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila
KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)