Seperti juga Abdullah, cerpen-cerpen yang ditulis bukan berniat menjatuhkan maruah, jauh sekali menghina masyarakat India, sebaliknya sebagai sebahagian perjuangan menentang kewujudan kehidupan berkasta.
Felo Penyelidik, Pusat Penyelidikan Global Aminuddin Baki, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusof Hasan berkata, ada bukti menunjukkan pengarang India yang berkarya dalam bahasa Melayu memilih menulis masalah amalan kasta dalam masyarakat India sendiri.
Antara petikan dalam cerpen terbabit berbunyi:
“Setelah lelaki itu pulang, aku bertanya pada Tatha. Dia enggan menerangkan apa-apa padaku. Tatha menceritakan bahawa aku tidak akan faham. Akhirnya, nenek menceritakan padaku setelah aku berdegil juga. Lelaki itu dikatakan berkasta rendah, terlalu rendah hingga dia tidak boleh masuk ke rumah kami yang berkasta lebih tinggi daripadanya. Dia tidak boleh menyentuh pinggan makan kami! Aku diam. Aku mendengar segalanya tetapi aku masih tidak faham kenapa. Kini aku tahu kenapa dan mengapa Tatha bertindak demikian. Tetapi aku telah bebas daripada lingkungan pemahaman yang demikian. Kebebasan yang telah memberikan aku ketenteraman.”
Amalan menulis nama yang menggambarkan kedudukan kasta turut dapat dikesan dalam pemberian nama watak dalam cerpen Uthaya Shankar [Uthaya Sankar SB] dan satu contoh yang dapat dikesan Saravanan dalam cerpen pengarang itu berjudul ‘Nayagi’:
“Bagi Madhavi, sejak datuknya Kumara Kurunadhar datang ke sini dari Kerala sebagai kangani dahulu dan terlibat sama dalam pembangunan ekonomi Malaya, sejak itulah tanah ini menjadi tanah tumpah darahnya.”
Justeru, bagi Prof Emeritus Mohd Yusof, Abdullah menulis Interlok bagi memperjuangkan hak kemanusiaan sejagat, terutama dalam kehidupan manusia yang berbeza dan berkasta, sama seperti cerpen pengarang India yang disebutkan terdahulu.
Petikan di atas adalah laporan “Kasta dalam karya perkara biasa” oleh Hafizah Iszahanid seperti disiarkan di akhbar Berita Harian pada 27 Januari 2011.
Beberapa perkara menarik “ditonjolkan” di atas. Pertama, tokoh tertentu masih tidak dapat membezakan antara novel Interlok (1971) dan Interlok edisi murid (2010). [BACA JUGA DI SINI] Maka, sama seperti “tokoh-tokoh” sebelum ini, segala hujah adalah tidak revelan dan hanya membazir ruang di akhbar.
Malah, lebih menarik apabila nama “Kumara Kurunadhar” dalam cerpen ‘Nayagi’ dikatakan (dituduh) “menggambarkan kedudukan kasta”. Boleh sesiapa tolong jelaskan bahagian mana pada nama “Kumara Kurunadhar” membawa unsur “kasta”?