8 Nov 2010

Blindness: Novel ke Filem

Sebagai sambungan kepada CATATAN SEMALAM, berikut beberapa lagi reaksi ikhlas saya terhadap filem Blindness yang saya tonton pada 3 November 2010.
.

Penghuni di Wad Tiga dalam versi filem kurang “ganas” berbanding versi novel. Watak The Bartender mengisytiharkan dirinya ketua kumpulan (“The King”) yang mengeksploitasi penghuni lain. Seingat saya, bukan The Bartender yang menjadi ketua kumpulan itu dalam versi novel.

.

Malah, watak “The King” menggunakan sistem pembesar suara untuk menyanyikan lagu “I Just Called To Say I Love You”. Lagu itu yang ditulis dan dinyanyikan Stevie Wonder pertama kali muncul dalam filem The Woman in Red (1984). Perkara ini tentu sahaja mendedahkan latar masa kisah ini berlaku. The Bartender juga bercakap sedikit Bahasa Sepanyol semasa membuat pengumuman melalui pembesar suara.

.

Apa pun, versi filem tetap berjaya mevisualkan “whiteness” yang dialami watak-watak dalam novel. Malah, whiteness digunakan secara bijak untuk “menyembunyikan” perkara-perkara yang tidak sesuai dipertontonkan pada layar. Impak eksploitasi seksual yang dilakukan penghuni Wad Tiga terhadap wanita-wanita buta di Hospital Mental juga kurang berbanding versi novel; tetapi sudah cukup sadis untuk menggambarkan trauma yang dialami mangsa-mangsa itu.

.

DVD filem Blindness boleh ditonton sama ada dalam versi audio Bahasa Inggeris atau Bahasa Sepanyol. Tentu sahaja: Pastikan ori, baru beri. Pastikan asli, baru beli. [Iklan ini kononnya ditaja Jemaah Pemerintah Pulau Cinta; tetapi tentu sahaja tidak akan dibayar.]

.

Individu yang memulakan kebakaran di Wad Tiga juga berbeza dengan versi novel. Malah, kesan dramatik menjadi amat cair. Hal ini tentu sahaja berlaku kerana – seperti yang saya nyatakan awal tadi – sukar untuk menterjemah novel sepanjang 12 jam 32 minit (versi audio) ke dalam bentuk filem sepanjang 1 jam 58 minit (versi visual) dengan mengekalkan kesemua unsur yang ada dalam novel.

.

Perkara sama yang paling ketara antara versi novel dan versi filem adalah bahawa kesemua watak tidak ada nama. Namun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, watak-watak yang dipaparkan secara visual sedikit sebanyak “mencairkan” imaginasi yang kuat semasa saya mendengar versi audio.

.

Banyak juga babak yang terpaksa ditiadakan dalam versi filem. Antaranya, suasana huru-hara yang sepatutnya timbul sebaik The Doctor’s Wife memberitahu beberapa orang di dalam sebuah gereja mengenai keadaan patung-patung dan lukisan di dalam rumah ibadat itu.

.

Watak penjual ubat di kaunter farmasi tersilap jalan dan hilang semasa kumpulan manusia buta yang dipimpin The Doctor’s Wife sedang berjalan di bandar. Tiada apa-apa berita mengenainya selepas itu dan watak-watak lain juga nampaknya tidak berkata apa-apa mengenai kehilangan “ahli keluarga” itu. Saya tidak pasti jika watak itu turut hilang dalam versi novel.

.

Babak-babak menarik mengenai kunjungan ke rumah The Girl with the Dark Glasses juga langsung tiada dalam versi filem. Sayang! Begitu juga mengenai kunjungan ke rumah The First Blind Man dan The First Blind Man’s Wife yang kini dihuni seorang penulis yang cuba merakamkan pengalaman dalam bentuk novel/buku. Kunjungan ke rumah rumah The Girl with the Dark Glasses sangat “menarik” kerana berkait rapat dengan kisah watak seorang wanita tua yang juga penting dalam cerita ini.

.

Pada adegan The Old Man with a Black Eye Patch sedang mandi, ada tangan wanita yang membantu menggosok belakang bahunya. Dalam versi filem, walaupun “misteri” itu boleh dikekalkan, entah mengapa pengarah memilih untuk meletakkan watak The Girl with the Dark Glasses sebagai individu itu.

.

Pengakhiran cerita juga berlaku terlalu cepat, sebelum penonton sempat “merasai” apa yang sedang berlaku. Mujurlah babak terakhir filem tetap sama dengan versi novel; iaitu The Doctor’s Wife melihat whiteness.

.

Segala catatan ini tidak bermaksud untuk mengatakan versi filem Blindness tidak menarik. Sebaliknya, sekadar catatan berupa reaksi ikhlas saya selepas selesai mendengar versi audio (novel) pada 2 November 2010 dan menonton versi visual (filem) pada 3 November 2010; seperti mana reaksi terhadap filem Enthiran sebelum ini.

.

Saya tetap menasihatkan anda membaca versi novel – atau mendengar versi audio; unabridged tentunya – sebelum menonton versi filem Blindness. Percayalah. Jika anda memilih untuk tidak mendengar nasihat ini dan cuba melakukan sebaliknya, ... dissolve to whiteness.