Bagus juga bahawa saya hanya menemui dan segera membeli cakera video digital (DVD) filem Blindness pada 3 November 2010; iaitu sehari selepas selesai mendengar sepenuhnya versi CD audio. Dan seperti yang dapat dijangkakan, saya terus menonton DVD itu pada sebelah malam hari yang sama.
Sejak awal, saya memang dapat mengagak bahawa pasti akan ada perbezaan antara versi buku dan filem. Untuk makluman, CD yang saya beli dan dengar adalah versi lengkap (unabridged); maka kandungannya sama dengan versi buku. Tentulah sukar untuk mengharapkan keseluruhan kandungan novel sepanjang 12 jam 32 minit (versi audio) dimuatkan dalam versi filem sepanjang 1 jam 58 minit.
Nasihat ikhlas saya adalah supaya sesiapa yang berminat mengetahui kisah Blindness membaca versi novel – atau mendengar versi CD – sebelum menonton versi filem. Jika terus menonton versi filem, maka tindakan itu adalah suatu kerugian amat besar dan individu terbabit pasti akan menyesal sepanjang hayat. Percayalah.
Perbezaan paling ketara yang memang harus diterima akal rasional adalah bahawa watak-watak dalam versi filem tidak akan muncul separuh bogel seperti yang digambarkan dalam versi novel. Jangan salah anggap! Saya tidak mengatakan Jose Saramago menghasilkan novel berunsur lucah. Sebaliknya, keadaan watak-watak dalam novel itu memang diwajarkan menghadapi masalah mendapatkan pakaian.
Dalam versi novel (bercetak dan audio), kewarganegaraan watak-watak tidak dinyatakan dan tidak diketahui. Sebaliknya, dalam versi filem, watak The First Blind Man adalah lelaki Jepun yang banyak juga berdialog menggunakan Bahasa Jepun bersama isterinya, The First Blind Man’s Wife.
Kehadiran watak kulit hitam juga amat ketara; khususnya watak The Old Man with a Black Eye Patch dan penjual ubat di kaunter farmasi. Malah, perhatikan betul-betul pada babak penghuni Wad Satu menyerahkan barang-barang kemas/berharga dan kita dapat lihat watak sampingan, seorang wanita kaum India.
Versi novel (bercetak dan audio) dipercayai menggunakan latar masa 1930-an atau 1940-an, tetapi versi filem ternyata menggunakan latar masa leat 1980-an atau selepas itu. Hal ini nyata melalui kehadiran perkakas rumah moden yang nampak secara visual, kamera digital, farmasi yang moden. Malah, kalau dalam versi buku, pengumuman yang dilakukan setiap hari di Hospital Mental adalah melalui pembesar suara, dalam versi filem, siaran dilakukan melalui televisyen; dan tentulah pelik kerana semua penghuni tidak boleh melihat!
Semasa mendengar versi audio, saya membayangkan watak Menteri sebagai lelaki; mungkin kerana cara Jonathan Davis membawakan watak itu. Dalam filem, watak Menteri adalah seorang wanita dan dia juga kemudian menjadi buta serta sempat mengumumkan perkara itu melalui siaran televisyen.
Entah mengapa filem-filem Amerika Syarikat amat suka memasukkan istilah “F” secara berlebihan dan tanpa ada keperluan. Perkara sama berlaku pada filem Blindness. Jose Saramago yang meletakkan syarat bahawa versi filem tidak harus menyatakan latar negara di mana kisah ini berlaku serta watak The Dog of Tears mesti menggunakan anjing bersaiz besar nampaknya terlupa mengarahkan jangan menggunakan perkataan “F” dalam filem. Sayang!
Bercakap mengenai watak anjing yang dirujuk sebagai The Dog of Tears, kehadirannya tidak begitu terasa dalam versi filem. Malah, boleh ditiadakan sahaja kerana tidak memegang apa-apa peranan; berbeza dengan versi novel.
Unsur suspens serta pelbagai Unsur Sastera yang begitu nyata dalam versi novel menjadi amat cair – malah terlalu cair – dalam versi filem. Hal ini mungkin kerana kehadiran visual menjadikan kita “buta” untuk mampu menghayati kisah secara lebih mendalam dan pada tahap penghayatan serta imaginasi lebih tinggi. Maka, seseorang yang muntah semasa mendengar versi audio mungkin tidak terasa loya walau sedikit pun semasa menonton versi filem.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa lakonan Julianne Moore sebagai The Doctor’s Wife memang mantap dalam segala keterbatasan yang wujud dalam filem sepanjang hampir dua jam ini. Saya paling suka pada emosi yang dilahirkan apabila watak The Doctor’s Wife terlupa untuk mengunci jam tangan.
..