Saya menyambung mendengar versi audio novel karya penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 1998, Jose Saramago sebaik kembali dari Tawau pada 24 Oktober 2010. Saya juga mendengar novel yang dibacakan dengan penuh penghayataan oleh Jonathan Davis pada setiap kali memandu ke tempat kerja dan pulang dari kerja; atau lebih tepat lagi, setiap kali memandu di jalan raya.
Kesemua sebelas CD yang menyumbangkan masa pendengaran hampir 12 jam itu selesai saya dengar pada petang 2 November 2010. Untuk makluman, saya membeli CD audio itu di BookXcess, AmCorp Mall pada 1 Oktober 2010.
Berikut beberapa perkara (trivia) yang menarik perhatian saya sepanjang mendengar novel berkenaan dalam versi audio.
1. Saya tidak pernah mendengar nama Jose Saramago sebelum ini. Pada 4 Oktober 2010, semasa mengumpulkan senarai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, barulah saya mendapat sedikit maklumat mengenai pengarang itu. Sila maklum bahawa saya sudah pun membeli CD berkenaan pada 1 Oktober 2010.
2. Saya membeli CD audio itu pada 1 Oktober 2010 kerana tertarik pada judul, gambar kulit (lihat di atas, kiri), sinopsis di belakang kulit dan apabila tercatat bahawa karya itu turut difilemkan. Sila maklum bahawa saya sudah membeli beberapa novel lain dalam bentuk CD audio sebelum ini; misalnya To Kill A Mockingbird, The Hour I First Believed dan Escape.
3. Cara dan gaya pembacaan Jonathan Davis memang benar-benar menghidupkan cerita. Suaranya antara lain boleh didengar dalam versi audio The Chosen, The Stranger, Battlestar Galatica, Attack of the Clones, Night of the Jaguar, Shadow of the Wind dan The Brief and Wonderous Life of Oscar Wao.
4. Khabarnya, Jose Saramago suka menulis menggunakan ayat yang sangat panjang serta menggunakan tanda koma (,) menggantikan noktah (.) selain tidak menggunakan tanda kutip (“...”) pada dialog; ditambah pula ketiadaan nama bagi mana-mana watak, sehingga akhirnya mungkin menyukarkan pembacaan, namun mujurlah Jonathan Davis membaca teks novel Blindness dengan memasukkan tanda baca, intolasi dan penghayatan penuh.
5. Kisah dalam novel ini bermula dengan keadaan di jalan raya. Saya catatkan begini pada status Facebook pada 30 Oktober 2010: Lampu merah. Kereta berhenti. Lampu hijau. Kereta di hadapan tidak bergerak. Kemudian, pemandunya keluar dan mengumumkan, “Saya sudah buta!”
6. Saya masih belum membaca mana-mana novel Jose Saramago; kecuali mendengar versi audio Blindness.
7. Agak menarik bagaimana Jose Saramago mengangkat suatu kisah yang “terlalu biasa” sehingga tidak terfikir oleh pengarang lain; iaitu bagaimana jika semua orang tiba-tiba menjadi buta.
8. Orang ramai yang menjadi buta dalam novel ini melihat putih; berbeza dengan pandangan biasa bahawa kebutaan diwarnai hitam.
9. Hingga akhir cerita, kita tidak diberitahu mengapa watak wanita (isteri kepada doktor) tidak hilang penglihatan. Perhatikan bahawa saya menulis “tidak diberitahu” dan bukannya “tidak tahu”.
10. Pada banyak bahagian, pengarang akan menghentikan cerita seketika untuk berbicara secara langsung dengan pembaca (atau pendengar dalam situasi saya mendengar versi audio). Antara kata ganti yang digunakan oleh “suara” pengarang adalah “we” (kita; bukan kami), “I” (saya) dan “you” (anda; seorang atau kumpulan).