23 Nov 2010

Bertemu “Datin” dan “Lady Boss”

“Datin” Alina Isa, “Lady Boss” Amy Meenambigai dan Zarith Sophina yang tidak berpeluang menyertai Pertemuan Bekas Pelajar SMDR tetap tampil menghulur sumbangan ikhlas bagi menjayakan majlis berkenaan yang berlangsung pada 7 November 2010 di Taiping.
.

Sebagai tanda penghargaan, jawatankuasa penyelaras menyediakan Sijil Penghargaan yang ditandatangani lima guru yang turut menghadiri majlis tersebut.

.

Pada 20 November 2010, pukul 10:30 pagi, saya sampai di Sun Oli Curry House, Kompleks Kelana Centerpoint, Kelana Jaya berpandukan peta yang saya rujuk di Google Maps. Di sana, saya bertemu Amy dan suaminya, Balan, yang menguruskan restoran berkenaan. Sesungguhnya saya amat gembira dan bangga dengan kejayaan rakan-rakan.

.

Saya dan Amy berbual-bual pelbagai perkara – khususnya kisah lama SMDR – sambil minum teh tarik. Amy juga gembira menerima Sijil Penghargaan dan pelekat kereta SMDR serta buku Rudra Avatara dan Siru Kambam, selain majalh-majalah sumbangan Kumpulan Media Karangkraf.

.

Alina pula datang sejam kemudian kerana tersilap pergi ke tempat lain. Sebelum ini, saya merujuk kepada Alina sebagai “Kakak” tetapi sebaik melihatnya melangkah masuk penuh gaya, saya terus memanggilnya “Datin”.

.

Perbualan kami bertiga semakin rancak sambil makan vadei. Alina ternyata “berbeza” berbanding penampilan fizikalnya lebih 20 tahun lalu. Dia kini Timbalan Pengarah Kanan di Bahagian Akademik, Penyelidikan dan Penerbitan, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri. Maka, kalau saya ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bolehlah kami bertemu untuk minum teh dan berbual-bual.

.

Saya terpaksa meminta diri sekitar 12:15 tengah hari kerana bekerja pada hari berkenaan. Alina menawarkan diri untuk menyampaikan Sijil Penghargaan dan cenderamata lain kepada Zarith yang tinggal di Taman Tun Dr Ismail.

.

Pada sebelah petang, Alina mengirim SMS untuk memaklumkan bahawa barangan itu tidak dapat disampaikan kepada Zarith kerana dia sedang bercuti di Labuan. Ya, Zarith memang ada memaklumkan bahawa dia bercuti dan tidak dapat bertemu kami di Sun Oli Curry House.

.

Dua hari kemudian, komunikasi antara kami berempat menerusi Facebook mendedahkan bahawa Alina tersilap menelefon “Zarith” lain, sedangkan Zarith yang sebenar tertanya-tanya mengapa Sijil Penghargaan tidak dimasukkan ke peti surat di rumahnya seperti dijanjikan.

.

Tidak mengapa, Datin. Selepas ini kita ada alasan untuk singgah di Sun Oli Curry House sebelum pergi bertemu Zarith.