Masyarakat antarabangsa menanti dengan penuh debar untuk menyaksikan dan mendapat berita terkini mengenai 33 pelombong yang terperangkap di dalam runtuhan lombong emas dan tembaga di San Jose, Chile sejak 5 Ogos 2010.
.
Seorang demi seorang pelombong berumur 19 hingga 63 tahun dijadualkan akan dibawa keluar menggunakan kapsul khas yang mungkin mengambil masa sehingga dua jam untuk ditarik keluar.
.
Individu pertama dijadualkan dibawa keluar pada tengah malam waktu tempatan, bersamaan jam 11.00 pagi, 13 Oktober di Malaysia.
.
Menteri Perlombongan, Laurence Golborne berkata, kapsul khas sudah diuji keluar-masuk menggunakan syaf khas yang dikorek sejak Ogos lalu dan tidak ada apa-apa masalah untuk memulakan operasi menyelamat seperti dijadualkan.
.
Keseluruhan proses membawa keluar kesemua 33 pelombong yang terperangkap di dalam lombong yang runtuh sejak 5 Ogos lalu mungkin mengambil masa sekitar 48 jam.
.
Jangkaan itu dibuat selepas sesi ujian menghantar kapsul masuk dan kemudian keluar dari tempat kesemua pelombong berkenaan terperangkap.
.
Lubang khas dikorek sedalam 625 meter sejak 17 September lalu untuk membolehkan pelombong yang terperangkap dibawa keluar.
.
Empat ahli unit mencari dan menyelamat akan dihantar seorang demi seorang ke dalam lombong itu untuk membantu mangsa yang terperangkap membuat persiapan untuk dibawa keluar.
.
Mangsa termuda, Jimmy Sanches, 19, dalam nota yang dihantarnya kelmarin menulis bahawa dia tidak berasa gementar.
.
“Mungkin apabila tiba giliran saya untuk masuk ke dalam kapsul itu untuk ditarik keluar, barulah saya akan berasa sedikit gementar,” katanya.
.
Selepas terperangkap hampir 70 hari di dalam ruangan kecil yang gelap dan tidak melihat matahari, kesemua 33 pelombong yang dijadualkan mula dibawa keluar pada 13 Oktober 2010 memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
.
Kesemua mereka akan dibawa keluar seorang demi seorang menggunakan kapsul khas yang dinamakan Phoenix sempena burung mitos yang dipercayai mampu muncul semula selepas hangus terbakar.
.
Semasa dibawa naik, pelombong diarah menutup mata dan sebaik tiba di permukaan, mereka akan diberikan cermin mata gelap kerana mata mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan cahaya terang.
.
Mereka akan dibawa terus ke sebuah hospital di Copiapo untuk rawatan dan pemeriksaan, sebelum berehat.
.
Berikut kronologi insiden berkenaan:
.
5 Ogos - Runtuhan di lombong emas dan tembaga di San Jose, 800 kilometer dari Santiago, Chile menyebabkan 32 pelombong Chile dan seorang pelombong Bolivia terperangkap pada paras 700 meter di bawah tanah.
.
6 Ogos - Operasi mencari dan menyelamat dimulakan dengan harapan kesemua 33 pelombong masih selamat dan berada di ruang khas di mana makanan, air dan bekalan oksigen disediakan di dalam lombong itu.
.
7 Ogos - Runtuhan baru berlaku dan unit penyelamat terpaksa mencari jalan baru untuk masuk ke dalam lombong.
.
8 Ogos - Lubang-lubang berdiameter 12 sentimeter ditebuk dalam usaha mengesan lokasi pelombong yang terperangkap.
.
19 Ogos - Lubang kecil berjaya ditebuk ke terowong di mana mangsa dipercayai berada tetapi tiada tanda-tanda mereka ada di sana.
.
22 Ogos - Lubang sudah digali sedalam 688 meter dan pekerja mendengar bunyi ketukan. Kemudian, mangsa mengikat nota pada gerudi untuk memberitahu bahawa mereka semua selamat. Beberapa jam kemudian, kamera kecil dimasukkan melalui lubang untuk merakam visual pelombong berkenaan. Usaha membawa mereka keluar dijangka mengambil masa empat bulan kerana lubang dengan diameter 66 sentimeter perlu dikorek untuk mengeluarkan mereka.
.
23 Ogos - Makanan, air dan ubat-ubatan dihantar menggunakan kapsul khas melalui lubang kecil. Keluarga dan saudara mara berkhemah di sekitar lombong untuk memberi sokongan moral.
.
17 September - Lubang kecil dan lurus berjaya dikorek dan lubang khas itu mula dibesarkan sedikit demi sedikit untuk memudahkan operasi menyelamat.
.
4 Oktober - Ketua operasi menyelamat mengumumkan bahawa pelombong terbabit boleh dibawa keluar pada pertengahan bulan ini.
.
9 Oktober - Lubang yang akan digunakan untuk membawa keluar pelombong selesai dikorek sepenuhnya.
.
11 Oktober - Syaf besi berjaya dipasang sepenuhnya bagi memastikan runtuhan baru tidak berlaku semasa pelombong dibawa keluar.
.
13 Oktober - Pelombong dijadual dibawa keluar seorang demi seorang di dalam kapsul khas dinamakan Phoenix.
...
Skrip ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan pelbagai sumber rasmi untuk siaran di Halaman Global akhbar Sinar Harian pada 13 Oktober 2010. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat perjalanan operasi menyelamat pada 13 Oktober 2010.