29 Jun 2010

Meja Global

Pada 27 Jun 2010, genap sebulan saya ditugaskan sebagai pemangku Ketua Meja Global di akhbar Sinar Harian selepas saya menyertai akhbar berkenaan pada 1 Februari 2010.
.

Sebelum 27 Mei 2010, saya biasanya menguruskan halaman Mahkamah, Jenayah dan Bisnes. Tugas itu agak “mencabar” juga kerana skrip berita datang dari pelbagai sumber, khususnya wartawan, skuad dan Bernama.

.

Rasa-rasanya, tidak perlulah saya menyentuh mengenai apa-apa kekurangan pada skrip berita kerana umum (baca: pembaca akhbar Sinar Harian) sudah sedia maklum mengenainya.

.

Sejak menangani berita antarabangsa di Meja Global sejak 27 Mei, tugas saya menjadi amat mudah, secara relatif.

.

Farah Zamira yang lebih dahulu di Meja Global sebelum saya adalah “pakar” perkembangan di Gaza. Dia juga boleh menangani berita-berita Global dengan amat baik. Tidak perlu saya, selaku Ketua Meja Global, menyibukkan diri menyemak skripnya. Sebaliknya, saya pula yang banyak belajar daripada Farah.

.

Kerja di Meja Global juga menjadi amat “mudah” kerana saya sendiri yang memilih bahan berita antarabangsa yang sesuai untuk disiarkan. Biasanya, saya melakukan pemilihan awal pada pukul 2:00 petang. Farah pula memilih bahan-bahan perkembangan di Gaza. (Kalau salah seorang daripada kami tidak bekerja, maka orang yang sama menguruskan kedua-duanya.)

.

Pukul 3:00 petang, mesyuarat harian untuk membincangkan bahan-bahan liputan setiap negeri dan bahagian. Pada waktu itu, saya biasanya sudah pun merangka kedudukan berita mengikut kepentingan dan nilai berita.

.

Selepas mesyuarat, saya biasanya ke kafe untuk minum. Selepas itu, barulah memulakan tugas membaca skrip Bahasa Inggeris yang sudah dipilih sebelum menulis (nota: bukan sekadar menterjemah) skrip berita antarabangsa.

.

Sekitar 5:00 petang, selalunya keluar makan bersama rakan-rakan; biasanya dari Meja Johor. Kemudian, sambung kerja. Sambil itu, memantau berita-berita antarabangsa untuk mengetahui perkembangan mutakhir dan kemas kini berita.

.

Apabila pereka grafik sudah membuat reka letak, perlu disemak dan dibetulkan; jika perlu. Maka, selesailah kerja saya. Tenang, tidak pening dan tidak diganggu sesiapa.

.

Meja Global kini disertai Syakila dan Marlissa pada pertengahan Jun 2010. Buat permulaan, mereka berdua diminta menguruskan bahan berita berkaitan Singapura dan Indonesia untuk siaran Sinar Harian edisi Johor.

.

Ringkasnya, saya tidak menghadapi masalah (termasuk masalah bahasa) untuk menguruskan halaman Global. Malah, terasa seronok dan tidak sabar untuk bekerja! Sambil bekerja, saya juga melayari Internet; termasuk Facebook dan blog.
.
Beberapa skrip menarik - yang dikemas kini - akan saya masukkan di blog untuk tatapan umum dan sebagai dokumentasi.