28 Aug 2007

Ramai Ingkar Arahan Guna Istilah “Bahasa Malaysia”

Pada 3 September 2007, genap tiga bulan sejak Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin mengumumkan penggunaan semula istilah “Bahasa Malaysia” dalam segala urusan.
.

Malah, media melaporkan bahawa arahan berbentuk surat pekeliling berhubung keputusan berkenaan sudah diedarkan ke semua kementerian, jabatan, sekolah, pusat pengajian dan swasta pada awal Mei 2007.

.

Berikut beberapa pemerhatian yang dilakukan berkenaan penggunaan semula istilah “Bahasa Malaysia”, sekali gus menggambarkan reaksi masyarakat terhadap penggunaan Bahasa Malaysia itu sendiri:

.

1. Masih ada individu dan pertubuhan yang mempertikaikan keputusan kabinet yang sebulat suara menyokong dan meluluskan penggunaan semula istilah “Bahasa Malaysia”. Bantahan dan rasa tidak puas hati diluahkan secara penuh biadab di laman sesawang dan blog.

.

2. Masih ada akhbar yang sengaja tidak menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” sedangkan akhbar mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar dalam membentuk pemikiran khalayak.

.

3. Masih ada penerbit majalah yang sengaja tidak menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” sedangkan bahan-bahan bacaan itu tersebar luas dalam kalangan pelajar dan masyarakat umum.

.

4. Masih ada individu yang menafikan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia” dengan mengatakan bahawa istilah itu tidak terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

.

5. Masih terdapat kata-kata berbentuk hasutan yang disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab, bahawa kaum tertentu akan kehilangan identiti sekiranya istilah “Bahasa Malaysia” digunakan.

.

6. Masih tersiar pandangan di akhbar dan majalah bahawa “Bahasa Malaysia” merujuk pada Bahasa Tamil, Bahasa Mandarin, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazan. Malah, pandangan serong seumpama itu disuarakan secara lantang oleh beberapa individu yang sepatutnya arif tentang bahasa.

.

7. Masih ada pihak yang berusaha mengelirukan orang ramai dengan mempersoalkan mengapa perlu ada “Bahasa Malaysia” sedangkan tidak ada “Bahasa Amerika”; sekali gus membuktikan betapa Amerika Syarikat terus menjadi idola, model dan ikutan.

.

8. Masih ada guru subjek Bahasa Malaysia yang tidak menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” dan sebaliknya memberitahu pelajar bahawa arahan yang dikeluarkan oleh kabinet adalah salah dan tidak sah.

.

9. Berlaku sekurang-kurangnya satu insiden di mana seorang penyair yang diundang sebagai hakim pertandingan deklamasi sajak meninggalkan majlis semata-mata kerana seorang lagi hakim menyokong penggunaan istilah “Bahasa Malaysia”.

.

10. Berlaku sekurang-kurangnya satu insiden di mana suatu majlis ilmiah dibatalkan berikutan desakan beberapa “pejuang bahasa”, semata-mata kerana individu yang diundang sebagai perantara lebih selesa menggunakan istilah “Bahasa Malaysia”.

.

11. Masih ada menteri dan pemimpin yang tidak menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” dan hal ini nyata dalam pelbagai majlis yang dihadiri serta mendapat liputan media.

.

12. Masih ramai anggota masyarakat pelbagai kaum yang tidak sedar tentang penggunaan semula istilah “Bahasa Malaysia”.

.

13. Masih ada individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin bahawa penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” adalah agenda politik kerajaan menjelang pilihan raya umum.

.

14. Masih ada individu yang cuba mempengaruhi fikiran masyarakat dengan mengatakan bahawa penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” adalah semata-mata untuk menyedapkan hati pengundi Bukan Melayu.

.

15. Masih ada tanggapan bahawa penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” mencabar “ketuanan Melayu”.

.

Contoh-contoh yang dinyatakan ini hanyalah sebahagian daripada apa-apa yang sedang berlaku sejak 3 Jun 2007.

.

Ternyata ramai yang masih keliru, salah tafsir dan sengaja mempolemikkan keputusan penggunaan semula istilah “Bahasa Malaysia”.

.

Tidak mustahil bahawa segala polemik yang sengaja diada-adakan ini sedikit sebanyak melunturkan semangat dan keinginan untuk menguasai bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik. [LAGI]

.

Segala kekeliruan dan serangan berbentuk “perkauman” harus dileraikan segera kerana tindakan itu menjadi benteng dan penghalang ke arah usaha murni memartabat, memperkasa dan mendaulatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

.

Kerajaan, kementerian, jabatan dan agensi terbabit diharap segera melipat gandakan usaha memberi penjelasan serta menggalakkan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia”, selaras dengan keputusan kabinet pada akhir April 2007.

.

Selepas kekusutan mengenai istilah “Bahasa Malaysia” berjaya dileraikan, maka mudahlah usaha menggalakkan penghayatan dan penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan pemimpin dan masyarakat.