Utusan Malaysia, 8 Ogos 2007
SAYA tertarik kepada perhatian yang diberikan oleh orang ramai terhadap usaha memartabat dan memperkasa Bahasa Malaysia sejak kebelakangan ini.
Surat-surat pembaca yang disiarkan di Utusan Malaysia membuktikan keprihatinan pelbagai pihak.
Bagaimanapun saya terpanggil untuk memberi maklum balas terhadap keluhan yang disuarakan oleh Anak Dagang (Utusan Malaysia, 7 Ogos 2007).
Saya percaya beliau bukan satu-satunya individu yang tidak pernah mendengar mengenai pertubuhan kaum Cina atau India yang menjalankan gerakan mendaulatkan Bahasa Malaysia.
Bagaimanapun sukacita dimaklumkan bahawa Kumpulan Sasterawan Kavyan yang dinaungi oleh sekumpulan penulis kaum India di Malaysia melakukan gerakan memartabatkan Bahasa Malaysia secara aktif dan berterusan sejak awal penubuhannya pada tahun 1999.
Maklumat terperinci berkaitan aktiviti Kavyan boleh dibaca di laman sesawang http://www.kavyan.cjb.net/ di mana sekali gus Kavyan mendaulatkan Bahasa Malaysia di ruang siber.
Usaha yang dilakukan mungkin kecil dan kurang diketahui umum. Namun semangat yang ditunjukkan oleh Kavyan adalah bukti bahawa tugas mendaulatkan bahasa Malaysia adalah tanggungjawab setiap individu yang menggelar dirinya rakyat Malaysia.
Kavyan yang berpegang pada konsep "Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia" menyokong dan mengalu-alukan penyertaan semua pihak dalam memartabat, memperkasa dan mendaulatkan Bahasa Malaysia yang menjadi identiti Bangsa Malaysia.