Kita hampir berjaya, Raja. Semuanya berjalan seperti yang telah kau rancang. Betullah seperti yang telah kau katakan sejak awal: kau memang licik mengatur strategi. Kau memang bijak menjatuhkan kawan. Kau memang konspirator yang hebat.
“Saya sokong usaha kamu hendak mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Records. Saya adalah penyokong nombor satu bagi segala usaha kamu. Saya adalah peminat nombor satu kamu. Saya adalah sahabat karib kamu. Sayalah yang paling mengenali kamu.”
Demikian kau meluahkan kata-kata kepada pemuda berkenaan beberapa bulan lalu. Kau terus mendaftar nama untuk menjadi sukarelawan bagi membantu dia menjayakan usaha mencipta rekod bertaraf nasional.
Namun, pada masa yang sama, kau menghubungi aku. Kau luahkan kepada aku segala isi hati. Segala isi hati yang selalu kau lindungi dengan topeng kepura-puraan.
“Saya tidak sokong langsung usaha dia! Adakah dia fikir dia terlalu hebat? Saya rasa saya sebenarnya lebih hebat daripada dia,” kata kau dalam sepucuk (?) e-mel yang kau alamatkan kepadaku.
“Mengapa pula?” Aku tertanya-tanya. “Bukankah pemuda itu sahabat karib kau? Bukankah kau menyokong segala usahanya? Bukankah dia juga selalu membantu kau untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang kau ceburi?”
“Jahanam! Siapa kata dia sahabat karib saya? Itu tidak benar sama sekali. Saya sekadar mengenalinya. Itu sahaja. Titik. Kalau sesiapa memberitahu kau bahawa saya rapat dengannya, semua itu hanya andaian dan khabar angin. Penipuan semata-mata.”
Hairan aku memikirkan sikap kau, Raja. Tapi aku sudah sedar akan kehebatan kau berlakon dan berpura-pura. Entah berapa puluh – malah ratusan – topeng yang kau simpan di dalam almari persalinan.
.
(Petikan cerpen "Kita Sudah Gagal, Raja" yang disiarkan di akbar Mingguan Malaysia, 22 Februari 2004. Faksyen ini turut dimuatkan dalam Rudra Avatara. Sila KLIK DI SINI untuk membaca sumber/idea bagi karya ini.)