Selepas membaca catatan di blog mengenai “Kematian dan Panca Bootam dalam Budaya India”, seorang rakan bernama ‘Abang Long’ mengemukakan di Facebook:
“Mohon sedikit maklumat tambahan. Apakah pantang larang bagi kaum atau masyarakat bukan beragama Hindu yang menziarahi keluarga mendiang?”
Maka, berikut sedikit panduan umum yang mungkin dapat dimanfaatkan.
Dari segi pakaian, tiada syarat. Tapi, tentulah tidak manis berpakaian kurang sopan. Ini perkara logik secara am. Juga, elakkan pakaian yang terang-benderang dan terlalu ceria bagaikan pergi ke pesta. Ini juga pastinya logik secara am.
Jika anda beragama Islam, maka digalakkanlah memakai songkok (lelaki) dan bertudung/selendang (wanita); sebagaimana biasa dilakukan jika menziarahi keluarga Islam.
Malah, kalau sami Buddha sekali pun, amat digalakkan datang dalam pakaiannya yang lazim. Dalam budaya India-Hindu, kepelbagaian agama, budaya dan kaum diterima dan “diraikan”. Maka, jangan risau.
Semasa kaum keluarga beragama Hindu berdoa atau bersembahyang, individu bukan beragama Hindu boleh berada di tempat itu. Tiada siapa akan menghalang. Bolehlah berdoa atau bertafakur dalam hati mengikut anutan masing-masing.
Di rumah kaum India-Hindu yang ada kematian, secara tradisi, tiada makanan dan minuman disediakan atau dihidangkan. Maka, jangan kecil hati jika tiada layanan sebagai “tetamu”. Ini juga tentulah logik secara am.
Sewaktu menziarah, tidak perlu membawa apa-apa makanan. Dianggap kurang sopan. Boleh bawa bunga, misalnya.
Secara tradisi juga, makanan/minuman akan disediakan di rumah jiran sebelah. Namun, amalan ini juga mungkin sudah berubah mengikut peredaran zaman. Malah, atas “semangat” melayan orang yang datang ke rumah, tuan rumah mungkin menyediakan minuman.
Kalau minuman/makanan disediakan di rumah (dapur atau luar rumah), jangan tunggu dipelawa. Faham-faham sahaja dan boleh minum. Tuan rumah tidak akan mempelawa kerana ini bukan acara “meraikan tetamu”.
Kalau anda sudi, memang dialu-alukan membantu membancuh minuman untuk orang lain di dapur. Janganlah menjadi “tetamu”. Misalnya, jika anda wanita Islam, tentu baik jika anda membantu membancuh minuman dan tolong hidangkan kepada rakan-rakan Islam yang lain.
Namun, cadangan minuman ini hanya jika ada minuman disediakan. Maklumlah, ada kematian di rumah itu dan tidak sopan untuk mengharapkan tuan rumah wajib sediakan minuman untuk kita.
Apabila menziarah, digalakkan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Ada masanya tabung derma ikhlas disediakan. Boleh menyumbang jika mahu. Wang itu biasanya akan digunakan untuk membeli makan-minum atau belanja harian.
Kalau tiada tabung, ada kalanya orang serah duit terus kepada waris mendiang. Tapi bukan wajib. Kedatangan menziarah jenazah mendiang serta ucapan takziah kepada keluarga mendiang pun sudah memadai.
Secara logik, tentulah tidak manis jika gelak ketawa semasa di rumah mendiang. Tapi tidak bermakna perlu bermuka masam dan bersedih. Boleh berbual-bual dengan orang lain. Tidak menjadi masalah.
Oh, ya! Jaga juga deringan telefon. Letakkan pada mod senyap supaya lagu pop tidak berkumandang dengan kuat semasa berada di rumah mendiang!
Semasa ucapara keagamaan dilaksanakan oleh keluarga mendiang, tidak menjadi masalah untuk anda hadir sama. Tapi kalau anda berasa kurang selesa, maka bolehlah duduk di luar. Tidak menjadi masalah.
Apabila mahu pulang, tolong jangan ucapkan selamat tinggal kepada keluarga mendiang! Dibenarkan balik senyap-senyap.
Apa yang biasanya dilakukan adalah, sebelum pulang, berjumpa keluarga mendiang dan sekali lagi ucapkan takziah. Minta jaga diri dan tabahkan hati dengan takdir. Masa itu juga sesuai kalau nak hulurkan derma dari tangan ke tangan.
Biasa juga, kalau kita kenal keluarga mendiang, kita mintalah telefon/hubungi kita kalau perlukan apa-apa bantuan. (Misalnya, katakan mendiang itu kerja sama pejabat dengan kita; mungkin ada urusan yang boleh kita bantu nanti.)
Pada masa itu, keluarga mendiang tentulah akan ucapkan terima kasih. Maka, secara simbolik, mereka faham bahawa kita mahu pulang. Maka, bolehlah kita pulang tanpa mengucapkan “selamat tinggal”.
Apabila sampai di rumah sendiri, mengikut budaya India, biasanya renjis air pada kepala atau mandi. Ia sebagai simbol membersihkan diri.
Demikian antara perkara asas yang saya sempat terfikir. Boleh juga dirujuk pada rakan-rakan kaum India-Hindu. Apa pun, apa yang dinyatakan adalah perkara-perkara umum yang tentu sahaja anda sudah sedia tahu.
Sama-sama kita saling memahami dan menghormati sesama insan. Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali dan saling menghormati.