Dalam pada meraikan kepelbagaian bahasa, budaya, adat dan agama di negara ini, kita sebenarnya sering berpura-pura. Misalnya mempersoalkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Atau menyebarkan fitnah bahawa istilah ‘Bahasa Malaysia’ sebenarnya merujuk kepada bahasa-bahasa selain ‘bahasa Melayu’.
.
Dalam bidang penulisan sastera pula, tanpa menafikan kedudukan fiksyen bahasa kebangsaan, kita sering mempersoalkan kewujudan karya dalam bahasa-bahasa lain. Sedangkan hak itu sebenarnya termaktub dan terpelihara dalam Perlembagaan.
.
Berbicara lebih khusus mengenai penulisan di negara ini, kita juga masih berpolemik mengenai siapa yang boleh dan layak dipanggil ‘penulis Malaysia’ – dari aspek kewarganegaraan dan bahasa yang digunakan untuk melahirkan idea secara kreatif.
.
Buku Readings from Readings: New Malaysian Writing (2011) selenggaraan Bernice Chauly dan Sharon Bakar lari daripada segala polemik dan persoalan yang berlarutan sekian lama.
.
Hasilnya, buku berkenaan yang dilancarkan pada 25 Februari 2011 menampilkan sajak, fiksyen dan prosa daripada kelompok yang pelbagai: warganegara Malaysia, pemastautin tetap dan bukan warganegara Malaysia.
.
Walaupun kebanyakan karya adalah dalam Bahasa Inggeris, turut dimuatkan sajak dan cerpen Bahasa Malaysia. Malah, agak lumayan juga dialog dan frasa Bahasa Malaysia yang digunakan dalam karya-karya Bahasa Inggeris dalam koleksi ini.
.
Karya 34 penulis termuat dalam antologi ini; antaranya Lydia Teh, Saras Manikam, Dina Zaman, Jerome Kugan, Karl Hutchison, Kam Raslan, Brian Gomez, Muslin Abdul Hamid, Shanthini Venugopal, Chiew-Siah Tei dan Jordan MacVay. Nama-nama ini pasti amat asing bagi khalayak yang sekadar berpuas hati mengikuti perkembangan ‘sastera Melayu’ serta jarang menjenguk dunia penulisan dan aktiviti ‘sastera Inggeris’ di negara ini.
.
Apa yang lebih istimewa, karya-karya yang dipilih dan dimuatkan dalam antologi ini pernah dibacakan/dipersembahkan pada sesi Readings bulanan yang dianjurkan bersama oleh Bernice dan Sharon di Bangsar sejak Januari 2005.
.
Penulis (atau bakal penulis) yang mengambil bahagian dalam sesi Readings datang daripada latar yang pelbagai, sekali gus menjadikan acara sastera itu amat istimewa, unik dan tersendiri.
.
Segala keunikan dan kepelbagaian turut terpancar dalam karya-karya yang terpilih untuk dimuatkan dalam Readings from Readings. Secara paling asas, tema-tema yang diangkat untuk diperkatakan dalam karya-karya ini bersifat lebih menyeluruh, mewakili dan merangkumi masyarakat pelbagai kaum, etnik, budaya dan agama di Malaysia.
.
Kisah-kisah yang mustahil boleh dibaca dalam akhbar dan majalah arus perdana Bahasa Malaysia juga boleh ditemui dalam koleksi ini. Misalnya ‘Waiting’ oleh Nora Adam, ‘How To Stay Married’ (Dina Zaman), ‘Misteri Zakar’ (Azwan Ismail), ‘a/p’ (Brian Gomez), ‘Eh, Saya Orang Islam! Tak Boleh!’ (Reza Rosli), ‘Why Malaysian Cats Have Kinky Tails’ (Ellen Whyte) dan ‘Blackmail’ (Peter G Brown).
.
Langkah Bernice dan Sharon mengusahakan dokumentasi siri Readings melalui buku ini seharusnya dipuji. Selain daripada membantu memperkaya koleksi bahan bacaan, antologi ini membantu ke arah membuka mata kita semua terhadap kepelbagaian yang sedia wujud di negara ini.
Perlu diakui bahawa karya dalam Bahasa Inggeris mempunyai khalayak yang lebih luas – di dalam dan di luar negara – berbanding karya Bahasa Malaysia. Sekali gus membantu mengangkat sastera Malaysia ke peringkat antarabangsa.
.
Malah, atas kesedaran itulah juga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) melakukan kerja-kerja terjemahan karya Bahasa Malaysia ke bahasa-bahasa dunia.
.
Maka, usaha menyemarakkan aktiviti pembacaan karya Bahasa Inggeris serta penerbitan karya Bahasa Inggeris seperti dilakukan Sharon dan Bernice sepatutnya diterima secara positif; bukan dipandang serong dan penuh curiga.
.
Pembacaan karya-karya yang termuat dalam Readings from Readings memberi kita peluang mengenali ‘sisi lain’ Malaysia. Khususnya suara hati, pemikiran, pandangan, komen dan pengalaman kelompok penulis dan penggiat sastera di luar lingkungan ‘sastera Melayu’ yang sering mendapat perhatian dan liputan meluas.
.
Wajar juga dinyatakan bahawa novel Devil’s Place karya Brian sudah diterjemahkan ke Bahasa Itali, novel Little Hut of Leaping Fishes karya Chiew-Siah pernah disenarai pendek bagi Man Asian Literary Prize dan Best Scottish Fiction Prize, manakala Clarissa Tan menang Shiva Naipaul Memorial Prize.
.
Dipika Mukherjee kini pensyarah di Shanghai International Studies University, Haseena Abdul Majid adalah pengasas Godspeed Magazine, Liyana Dizzy pernah membuat persembahan pada Singapore Writers Festival, Lydia Teh adalah penulis buku Honk! If You’re Malaysian dan Nicholas YH Wong penerima Academy of American Poets Award.
.
Ringkasnya, Readings from Readings menjanjikan suatu pengalaman pembacaan yang benar-benar mampu mendewasakan kita dari pelbagai segi.
..
(© Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini disiarkan di portal berita Free Malaysia Today pada 28 Februari 2011 sebelum didokumentasikan di blog ini pada 2 Mac 2011. Sila baca juga: Readings from Readings 2)