Saya membuat sedikit pencarian maklumat mengenai tokoh pengarang itu dan menulis sebuah makalah yang disiarkan dalam ruangan “Sastera Antarabangsa” di majalah Dewan Sastera pada Februari 2007 dengan judul “Kalki – Perintis Sastera Moden Tamil”. Apa yang dipaparkan di sini adalah versi penuh makalah itu yang terpaksa diringkaskan semasa disiarkan di Dewan Sastera.
Bagi peminat sastera di Malaysia, sehingga kini, hanya mereka yang menguasai Bahasa Tamil berpeluang membaca karya-karya beliau. Tidak hairanlah nama Kalki tidak semasyhur V. S. Naipul, R.K. Narayan, Anita Desai, Arundhati Roy, Rabindranath Tagore dan sejumlah lagi pengarang yang mana karya mereka terdapat dalam Bahasa Inggeris. Penulis pula pernah berpeluang mendengar sejumlah cerpen Kalki dibacakan oleh rakan-rakan sejak hampir sepuluh tahun lalu.
Bagi para penulis karya Bahasa Tamil di Malaysia, nama Kalki tentu tidak asing langsung bagi mereka. Malah, golongan penulis Tamil dianggap tidak sah jika tidak pernah membaca dan mengkaji karya-karya (khususnya novel dan cerpen) oleh pengarang berkenaan.
Sekiranya dikaji sejarah perkembangan sastera Bahasa Tamil di negara ini, pengaruh pengarang dan karya dari Tamil Nadu memang sangat menonjol. Selepas zaman pendudukan Jepun – selepas tahun 1945 – muncul ramai pengarang tempatan yang berusaha menghasilkan karya berjiwa Malaya. Namun, pengaruh dari Tamil Nadu masih kuat khususnya kerana bahan-bahan bacaan masih diimport dari sana.
Dr Krishanan Maniam dalam kajian beliau terhadap perkembangan sastera Tamil tempatan menjelaskan bahawa akhbar-akhbar Bahasa Tamil di Malaya pada zaman selepas penjajahan Jepun masih ketara menyiarkan cerpen-cerpen yang terbit dalam akhbar dan majalah di Tamil Nadu. [BACA JUGA DI SINI]
Dua majalah yang cukup siknifikan adalah Ananda Vikatan dan Kalki kerana kedua-duanya mempunyai hubungan secara langsung dengan pengarang bernama Kalki yang diakui sebagai perintis sastera moden Tamil.
Nama sebenar Kalki adalah R. Krishnamurthy. Beliau lahir pada tahun 9 September 1899 dalam sebuah keluarga Brahmin yang agak miskin di kampung Puttamangalam, daerah Mayuram, Tamil Nadu. Pendidikan awal beliau adalah di kampung kelahiran serta di Manalmedu yang terletak di sebelah kampung asal.