6 Dec 2010

30 Cerpen Kanak-kanak: Khas Untuk Adik-adik

Kategori: Fiksyen
Penerbit: Buku Prima Sdn Bhd
ISBN: 978-967-5234-64-4
Harga: RM7.00
..

Jika saya seorang kanak-kanak, saya akan berusaha memiliki buku ini yang khusus memuatkan 30 cerpen kanak-kanak yang pernah disiarkan dalam majalah e-baca terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd. Saya tidak mahu melepaskan peluang menikmati pelbagai kisah yang disajikan.

..

Kalau saya seorang ibu/bapa, saya akan berusaha mendapatkan buku ini untuk dihadiahkan kepada anak-anak saya kerana saya mahu menggalakkan mereka menjadikan amalan membaca suatu budaya. Malah, saya juga akan mengambil peluang membaca cerpen-cerpen ini bersama anak-anak.

..

Kalau saya seorang guru, saya akan berusaha mendapatkan buku ini untuk dijadikan bahan bacaan tambahan di kelas. Malah, saya akan menjadikannya hadiah sebagai galakan kepada murid-murid supaya berminat membaca, menambah perbendaharaan kata, mengasah bakat penulisan kreatif serta memupuk perpaduan melalui cerpen-cerpen yang terhidang dalam buku ini.

..

Jika saya seorang penulis, saya akan berusaha membaca cerpen-cerpen di dalam buku ini untuk memahami apa yang dimaksudkan “cerpen kanak-kanak” serta teknik menghasilkan cerpen kanak-kanak. Saya juga mungkin cuba menimba pengetahuan berkaitan tema, persoalan dan kisah-kisah yang sesuai ditulis untuk siaran majalah kanak-kanak.

..

Jika saya seorang penerbit, saya akan berusaha mendapatkan buku ini untuk mengkaji apa kelebihan buku ini sehingga menyebabkan ia begitu laris dalam pasaran. Saya juga akan membuat pertimbangan sama ada buku yang akan syarikat saya terbitkan nanti memuatkan hanya satu ilustrasi bagi setiap cerpen atau perlu ditambah supaya lebih menarik. Saya akan turut memikirkan sama ada saiz fon perlu dibesarkan sedikit supaya sesuai dengan pembaca berumur 7-12 tahun.

..

(Uthaya Sankar SB, Mutiara Minda, November 2010)