20 Nov 2010

Marigold Menyambung Cerita

Pada 21 Oktober 2010, semasa Bengkel Penulisan Cerpen di Tawau, salah satu aktiviti yang diadakan latihan menyambung cerita.
.

Saya membacakan petikan perenggan awal cerpen “Yang Aneh-aneh” seperti berikut:

.

Benar-benar di luar dugaan saya, wanita itu meluru ke arah tingkap lalu melompat keluar. Tingkap yang terbuka telah memungkinkannya berbuat begitu dengan mudah. Jika tidak, tentu tubuhnya tercalar oleh kaca yang pecah.

.

Kemudian, peserta diminta menggunakan kreativiti dan imaginasi untuk menyambung cerita berkenaan secara ringkas. Catatan mengenai proses berkenaan boleh dibaca DI SINI. Peserta tidak pernah membaca cerpen “Yang Aneh-aneh” dan tidak tahu jalan ceritanya.

.

Walaupun sepuluh cerita terbaik dipilih dan saya berpesan kepada mereka supaya mengirimkan cerita itu kepada saya melalui e-mel, sehingga 19 November 2010, hanya Marigold Lim Ee Fei yang mengirimkannya.

.

Marigold Lim ternyata seorang remaja yang ceria, aktif dan berminat mengikuti bengkel dengan sempurna. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Apas, Tawau, Sabah juga mengirim manuskrip cerpen untuk dinilai. Malah, Marigold Lim antara “Penulis Harapan” yang saya kesan sepanjang bengkel di Tawau.

.

Berikut sambungan cerpen yang ditulis oleh Marigold Lim:

.

Saya mendengar jeritannya yang amat lantang. Saya segera menghampiri tingkap dan terlihat wanita itu sedang berpaut pada antena televisyen yang usang.

.

“Tunggu, saya akan mencari tali.”

.

Saya segera mencari tali tetapi tidak juga saya jumpai. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk mengambil kain langsir dan mengoyakkannya lalu mengikatnya sehingga kelihatan seperti tali.

.

Saya segera menghulurkannya kepada wanita itu. Akan tetapi, ternyata saya terlambat kerana dia sudah terjatuh ke bawah.

.

Jika anda merasakan hasil tulisan Marigold menarik dan beliau layak dianggap “Penulis Harapan”, sila klik pada butang “Menarik” di bawah. Terima kasih.
.
Untuk makluman, Marigold Lim juga menghasilkan cerpen "Misteri di Sebalik Wajah" berdasarkan pengalaman sebenar keluarganya tetapi diolah semula secara kreatif. Manuskrip cerpen itu sudah saya semak dan sunting pada 16 November 2010 serta dikirim kepada editor sebuah majalah dan kini sedang dinilai untuk penyiaran. Sama-sama kita nantikan peluang membaca cerpen Marigold Lim di majalah arus perdana!