18 Oct 2010

Asal-usul Simbol Aman

Simbol “aman” (peace) yang kini dikenali di seluruh dunia diperkenalkan seorang pereka tekstil pada 1958 untuk dipaparkan pada sepanduk dan kain rentang oleh penunjuk perasaan dari London ke Aldermaston yang menjadi pusat kajian bom atom.
..

Gerald Holtom mencipta lambang yang terdiri daripada bulatan dan beberapa garis yang kurang difahami orang ramai sewaktu simbol itu dibawa penunjuk perasaan dari Jawatankuasa Tindakan Langsung Menentang Perang Nuklear (DAC).

.

Lambang yang dicipta Holtom sebenarnya berdasarkan semafor bendera iaitu isyarat mekanik yang digerakkan dalam satah menegak mewakili abjad tertentu. Semafor bendera itu digunakan dalam bidang maritim pada 1800-an untuk menghantar isyarat.

.

Holtom menggunakan simbol semafor 'N' (nuclear) dan 'D' (disarmament) yang apabila digabungkan menjadi frasa yang membawa makna “pelucutan senjata nuklear”.

.

Simbol yang dicipta pereka tekstil itu segera digunakan mewakili Kempen Pelucutan Senjata Nuklear (CND) di Britain.

.

Pada 1960, Philip Altbach yang mula belajar di Universiti Chicago, Amerika Syarikat (AS) membawa butang besar yang ada simbol “aman” itu, sekali gus memperkenalkan simbol yang unik itu kepada penduduk AS.

.

Altbach juga berjaya memujuk Kesatuan Keamanan Mahasiswa menggunakan logo itu sebelum ia mula turut digunakan kumpulan penunjuk perasaan antiperang.

.

Hari Keamanan Sedunia disambut pada 21 September setiap tahun.

...

Skrip ini ditulis berdasarkan pelbagai sumber dan disiarkan di Halaman Global, akhbar Sinar Harian pada 16 Oktober 2010.