11 Jul 2010

Mogok Lapar

Mahatma Gandhi (2 Oktober 1869 – 30 Januari 1948) dikenali umum sebagai pengamal ahimsa dan beberapa kali mengadakan mogok lapar demi menuntut kemerdekaan negara India daripada penjajahan.
.

Seorang aktivis di Cuba pula mengakhiri mogok lapar selepas 134 hari berikutan janji kerajaan untuk membebaskan 52 tahanan politik dalam masa terdekat.

.

Guillermo Fariñas Hernández, 48, mengakhiri mogoknya di sebuah hospital berhampiran rumahnya di Santa Clara, pada 8 Julai 2010, dengan meneguk segelas air.

.

Jurucakapnya, Licet Zamora berkata, keadaan Fariñas agak membimbangkan berikutan masalah pembekuan darah di lehernya baru-baru ini.

.

Ahli psikologi dan wartawan bebas itu memulakan mogok lapar berikutan rakannya, Orlando Zapata Tamayo, meninggal dunia pada 23 Februari 2010 selepas mengadakan mogok lapar di penjara tempat dia ditahan.

.

Mogok lapar bukan sesuatu yang baru bagi Fariñas, lelaki kelahiran Santa Clara ini, kerana dia sudah 23 kali berbuat demikian sebagai membantah pelbagai perkara di negara komunis itu.

.

Pada 2006, Fariñas mengadakan mogok lapar kerana membantah penapisan Internet oleh kerajaan. Mogok itu terpaksa ditamatkan tujuh bulan kemudian berikutan masalah kesihatan.

.

Presiden Raul Castro, dalam kenyataan yang siarkan media tempatan pada 8 Mac 2010, berkata, jika Fariñas meninggal dunia, kerajaan tidak akan mengaku bertanggungjawab terhadap kematiannya.

.

Melalui mogok lapar terbaru ini, Fariñas menuntut pembebasan 52 tahanan politik, aktivis masyarakat dan wartawan yang dipenjarakan sejak Mac 2003.

.

Pada 11 Mac 2010, Fariñas pengsan di rumahnya dan sejak itu, terpaksa menerima rawatan di sebuah hospital berhampiran rumahnya di Santa Clara.

.

Aktivis pembangkang yang lahir pada 2 Januari 1962 menamatkan mogok lapar selepas rundingan terbaru yang dilakukan Menteri Luar Sepanyol, Miguel Angel Moratinos, pada Rabu, membuahkan hasil.

.

Kerajaan Cuba bersetuju membebaskan lima tahanan politik dalam masa terdekat, manakala baki 47 lagi akan dibebaskan dalam masa dua atau tiga bulan lagi.

..

(Sinar Harian, 10 Julai 2010)