“Tumpuan saya adalah untuk menyelesaikan masalah ini. Saya akan mencari penyelesaian dan bukan hanya melaungkan slogan,” katanya di Sydney pada 3 Julai 2010.
Kemasukan pendatang asing yang mencari perlindungan politik menjadi isu yang amat besar tetapi sensitif di Australia sejak sekian lama.
Kebanyakan pelarian pergi ke sana dari negara-negara Asia, khususnya Afghanistan dan Sri Lanka, berikutan pergolakan politik dan perang saudara.
Pada 1999, sejumlah 86 bot yang membawa 3,722 pelarian mendarat secara haram di Australia manakala sepanjang 2000 pula, 51 bot membawa 2,939 pendatang mendarat.
Pada 26 Ogos 2001, 438 pelarian mendarat di Chrismas Island tetapi Perdana Menteri waktu itu, John Howard, tidak membenarkan mereka masuk ke Australia.
Pada 6 Oktober 2001, bot membawa 223 pelarian karam manakala sebuah lagi bot membawa 353 pelarian karam pada 19 Oktober 2001.
Sepanjang 2000 dan 2001, 54 bot yang membawa 4,141 pelarian dilaporkan mendarat di Australia.
Pada 10 Februari 2007, sekumpulan 85 pelarian warga Sri Lanka ditahan berhampiran Christmas Island, sementara pada 19 November 2008, bot yang membawa 12 pelarian karam di Kepulauan Ashmore.
Pada 19 Januari 2009, sekumpulan 20 pelarian ditahan; 54 warga Afghanistan ditahan pada 16 Mac 2009; 53 pelarian ditahan pada 2 April 2009; 63 pada 6 April 2009; 32 pelarian mendarat di Christmas Island pada 8 April 2009; 47 pelarian Afghanistan ditahan pada 15 April 2009; dan bot keenam pada tahun berkenaan ditahan pada 16 April 2009.
Bekas Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd, membekukan permohonan kemasukan pelarian Sri Lanka selama tiga bulan dan kemasukan pelarian Afghanistan selama enam bulan.
“Tempoh pembekuan akan berakhir pada 8 Julai dan saya berjanji akan membuat pengumuman lanjut mengenai isu ini dalam masa terdekat,” kata Gillard yang mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 Jun lalu.
(Sinar Harian, 4 Julai 2010)