Sejak itu, kami saling menghubungi melalui Facebook dan SMS. Pada 14 Julai 2010, saya sedang berbual bersama Devishi mengenai Uthaya Shankar (“Romeo”) dan Uthaya Shankar (“Junior”).
Lalu, saya mengirim SMS kepada mereka berdua untuk mengatakan bahawa kami bertiga belum lagi berpeluang untuk bertemu; biasanya saya bertemu Romeo atau saya bertemu Junior. Romeo belum bertemu Junior dan kami bertiga belum berpeluang duduk semeja.
Romeo terus menghubungi saya dan mencadangkan kami bertiga bertemu pada 17 Julai 2010. Malangnya, apabila saya menghubungi Junior, dia pula beraral untuk datang pada tarikh berkenaan.
Selepas rundingan menerusi SMS, pada 16 Julai 2010, kami bertiga memutuskan untuk bertemu pada 24 Julai 2010. Perkara itu saya kongsikan juga di Facebook dan Nur Amin melahirkan rasa terkejut melalui catatan komen “Goodness, there’s a clan?” dan “Saya juga bertuah hari ini kerana dapat bertemu dengan tiga Uthaya sekali gus”.
Maka, akhirnya, ketiga-tiga Uthaya S(h)ankar akan bertemu dan duduk semeja. Pada petang 23 Julai 2010, saya mengirim SMS untuk mengingatkan Junior dan Romeo. Malangnya, Junior memaklumkan bahawa dia beraral kerana ada urusan penting yang tidak dapat dielakkan.
Saya memaklumkan “berita sedih” itu kepada Romeo dan menyatakan bahawa saya tetap akan berada di tempat pertemuan yang dijanjikan (The Summit USJ) tetapi terpulang kepada Romeo sama mahu datang; kerana rancangan asal adalah untuk kami bertiga bertemu.
Romeo mengesahkan akan datang. Maka, pada pagi 24 Julai, saya ke The Summit USJ dan melihat buku-buku baru di MPH sementara menunggu ketibaan Romeo.
Kami makan sambil berbual-bual di Garden Cafe. Saya cuba menelefon Junior tetapi tidak berjawab; mungkin terlalu sibuk. Saya dan Romeo berkongsi kisah kerana banyak yang berubah sejak pertemuan terakhir kami tahun lalu.