12 Jan 2010

tanda baca sangat penting ...

Pada sekitar pukul 6:30 pagi, 10 Januari 2010, saya mengundang rakan-rakan di Facebook membetulkan petikan yang diberikan pada ruangan status dengan tanda baca yang sesuai. Jawapan paling betul yang terawal akan diberi hadiah buku.
.

tanda baca sangat penting jika anda tidak tahu menggunakannya tentu pembaca malah anda sendiri sukar memahami apa yang anda cuba ceritakan uthaya sankar sb menasihati rakan rakan di facebook bagaimana kalau kita tidak tahu tanya seorang rakan tidak tahu uthaya membalas belajar

.

Saiee Driss menyifatkan apa yang saya lakukan sebagai “suatu usaha yang baik”.

.

Individu yang memberikan kerjasama dengan cara tidak serik mencuba ialah Mohd Tarmizi Bin Hasran, Ilhami Hisham, Shamsinor Zaman, Amin Ahmad, Sinaganaga Lan Hussain dan Hafizi Radzi.

.

Jawapan yang saya kemukakan akhirnya adalah seperti berikut;

.

“Tanda baca sangat penting. Jika anda tidak tahu menggunakannya, tentu pembaca - malah anda sendiri - sukar memahami apa yang anda cuba ceritakan,” Uthaya Sankar SB menasihati rakan-rakan di Facebook.

.

“Bagaimana kalau kita tidak tahu?” Tanya seorang rakan.

.

Tidak tahu?” Uthaya membalas. “Belajar!”

.

Sebagai menghargai kerjasama keenam-enam sahabat berkenaan, saya akan mengirim senaskhah buku Rudra Avatara: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia (2008) sekiranya mereka memberikan saya alamat sebelum 15 Januari 2010 sebagaimana diminta.