Berikut bahan berita yang disiarkan di www.bernama.com:
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Malaysia dipilih menjadi tuan rumah Festival Keamanan Global 2008 yang bertujuan memupuk keamanan dan keharmonian di negara pelbagai kaum.
Perhimpunan keamanan terbesar dunia itu, yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil dari 17 hingga 19 Okt, dijangka menarik kehadiran 20,000 peserta dari dalam dan luar negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadualkan merasmikan festival itu.
.
Festival itu dianjurkan bersama Persekutan Keamanan Universal Malaysia (UPF), Persatuan Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM) dan Pure Love & True Family Malaysia for World Peace (PLTFMWP).
Pengerusi Persekutuan Keamanan Universal Malaysia Tan Sri Zaleha Ismail berkata festival itu akan diisi dengan pelbagai acara, termasuk sukan keluarga, pertandingan nyanyian lagu keamanan, pameran kebudayaan global, pameran tentang keamanan dan pameran seni tempatan yang bertujuan memupuk keamanan.
"Festival Keamanan Global akan menjadi penghubung antara rakyat dari seluruh negara. Ia akan menampilkan Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum kepada dunia melalui bidang pendidikan, sukan, kesenian, perkhidmatan dan keharmonian antara agama," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya wakil dari 14 negara, termasuk Filipina, Amerika, Korea, Kenya, Jepun dan Mongolia dijangka menyertai acara itu.
* Versi Bahasa Inggeris berita ini turut disiarkan dalam Daybreak di RTM2 pada pukul 7:30 pagi, 17 Julai 2008. Maklumat lanjut mengenai festival ini boleh diperoleh di laman sesawang www.gpfmalaysia.org