Utusan Malaysia, 16 April 2007
Oleh: Wartawan Utusan
TIDAK ada sesuatu yang istimewa pada petang 6 April lalu di Dewan Kuliah Kolej The One Academy. Tanpa kain rentang yang gah atau sebarang pengumuman tertentu di papan-papan kenyataan kolej tersebut.
Namun, tanpa disedari oleh sebahagian besar pelajar kolej berkenaan, sedang berlangsung Baca Cerpen Mahua 3, Kuda Emas oleh 50 pelajar yang sebahagian besarnya bukan berketurunan Melayu.
Cerpen-cerpen yang dibaca ialah Lembaran Tahun Baru, Tupai, Baju Hujan, Kuda Emas dan Ketika Rambutan Masak.
Baris demi baris dalam cerpen tersebut dilantun secara bergilir-gilir dalam sekitar satu jam di bawah kelolaan pensyarahnya, Uthaya Shankar SB yang juga merupakan Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).
Meskipun hanya membaca beberapa perenggan daripada cerpen tersebut, ia mempunyai makna yang tersendiri kepada perkembangan kesusasteraan berbahasa Melayu di negara ini.
‘‘Kita setidak-tidaknya memperkenalkan sastera Malaysia khususnya dalam genre cerpen. Ia ditulis oleh penulis-penulis bukan Melayu kepada pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
‘‘Memang tidak ada yang istimewa dalam majlis ini tetapi kita membawa mesej Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia bahawa sastera serta bahasa Melayu itu milik semua kaum di negara ini,’’ katanya.
Baca Cerpen Mahua 3 tersebut dijayakan oleh pelajar program Bahasa Malaysia kolej berkenaan sempena Hari Buku Kanak-Kanak Antarabangsa pada 2 April lalu.
Cerpen-cerpen Mahua (karya berbahasa Mandarin oleh penulis kaum Cina) yang diterjemahkan ke bahasa Malaysia pernah dijadikan teks bacaan oleh pihak Kavyan melalui Baca Cerpen Mahua yang berlangsung pada 6 Mei 2004 di Kolej Antarabangsa SIT, Klang.
Cerpen-cerpen yang termuat dalam antologi Gadis Dalam Gambar (DBP:1994) tersebut dijadikan teks bacaan oleh peserta pelbagai kaum.
Sementara itu, antologi Kuda Emas memuatkan 13 cerpen. Cerpen "Lembaran Tahun Baru" misalnya mengisahkan tentang Zhi Ren yang terpaksa berpindah dari bandar ke kampung kerana masalah keluarga.
Cerpen "Tupai" pula mengisahkan tentang Zhi Xing yang mendapat pengajaran yang amat bermakna akibat perbuatannya mengurung binatang hingga dia mendapat balasan yang setimpal.
Dalam pada itu, "Kuda Emas" mengisahkan pula mengisahkan tentang Ah Fang yang menemukan rantai kunci berbentuk kuda emas. Dia begitu menyukai barangan itu dan mahu menyimpan.
Bagaimanapun, pelbagai kejadian pelik menimpanya termasuk kehilangan dompet. Ia dikaitkan dengan misteri penemuan rantai kunci kuda emas itu.
‘‘Kita berharap Baca Cerpen Mahua dapat memperluaskan cakrawala sastera Malaysia dengan melibatkan penyertaan penulis serta khalayak pelbagai kaum.
‘‘Semoga dengan pengenalan melalui pembacaan cerpen seperti ini, kita memulakan langkah pertama untuk mencapai objektif tersebut,’’ ujarnya.