1 Mar 2007

Tunas di Sebuah Ladang

Apabila Cikgu Sharmini bertanya, tidak ada seorang pun murid yang memberikan jawapan.

Sebenarnya, saya ingin mencuba tetapi saya masih takut. Lalu, saya cuba memandang rakan-rakan sekelas di sekeliling untuk melihat reaksi mereka. Masing-masing memandang ke arah Cikgu Sharmini dengan pandangan kosong.

Sebentar kemudian, Nimalan mula berbual dengan Kishnu di sebelahnya. Bermula dari situ, murid-murid lain juga mula membuat kerja masing-masing.

Ternyata pertanyaan Cikgu Sharmini tidak mendapat jawapan yang diharapkan. Lalu, guru muda itu melangkah keluar dari kelas kerana waktu kelas sudah berakhir. Wajahnya kelihatan sayu.

Mata pelajaran seterusnya adalah Bahasa Tamil. Sebaik sahaja Cikgu Akilan melangkah masuk, murid-murid diam. Masing-masing bersedia untuk belajar.

Memang Cikgu Akilan seorang guru yang amat tegas. Selain daripada itu, murid-murid di kelas saya juga amat berminat untuk belajar subjek Bahasa Tamil.

“Apa yang ditanya oleh Cikgu Sharmini tadi? Cikgu lihat kamu semua hanya membisu. Adakah itu budaya yang kita ajar di sekolah ini? Apabila guru bertanya, kamu mesti bersedia untuk menjawab,” Cikgu Akilan berkata dengan tegas menggunakan Bahasa Tamil yang jitu.

Tanpa menanti sebarang jawapan, guru yang berpengalaman mengajar lebih lima belas tahun itu memulakan pelajaran. Saya berusaha memberi tumpuan terhadap topik ilakanam, iaitu tatabahasa Tamil.

Namun, fikiran saya masih pada soalan yang dikemukakan oleh Cikgu Sharmini. Saya merasakan seolah-olah soalan itu ditanya khusus kepada saya!
.
(Petikan cerpen "Tunas di Sebuah Ladang" yang disiarkan dalam majalah Dewan Pelajar, Mac 2007)