Persidangan anjuran Yayasan Kannadasan dan Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya ini dirasmikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu yang juga Presiden MIC.
Para pengkaji sastera Tamil telah membentangkan kertas-kertas kerja mengenai teks “Ramayana” dan penyair agung Kamban yang menghasilkan “Ramayanam” versi bahasa Tamil.
Antara pembentang kertas kerja pada persidangan ini ialah Dr M. Rajendran, Dr S. Singaravelu, Dr V. Sababathy dan Dr Krishanan Maniam yang merupakan pengkaji sastera Tamil tradisional dan moden.
Ramayana adalah sebuah epik India yang agung. Ia ditulis dalam bahasa Sanskrit iaitu bahasa sastera dan agama yang dibaiki dan diperhalusi daripada bahasa Arya. Tarikh sebenar Ramayana ditulis sukar dikesan, tetapi dipercayai ia ditulis antara abad ke-4 SM dan abad ke-2 M.
Karya ini dialih bahasa serta diubahsuai mengikut keadaan setempat. Ramayana terdapat dalam bahasa Tamil, Telegu, Malayalam serta bahasa-bahasa lain di India. Ia juga ditemui di negara-negara Asia, terutamanya Malaysia, Thai, China, Jepun, Tibet, Fiji, Surinam, Indonesia dan Burma.
Epik ini sentiasa diubahsuai dan diberi interpretasi baru. Misalnya dalam versi di Tibet, Sita dikatakan anak Ravana. Hikayat Seri Rama (Malaysia) dan Ramajataka (Thai) pula menyebut Hanuman sebagai anak Rama.
Ramayana juga menjadi bahan cerita bagi drama tari Kutiyattam, Kathakali, Yakshgana, Ramlila dan Therukuttu di India. Di Kerala dan Mysore, India, ia menjadi sumber pertunjukan wayang kulit; seperti di Malaysia, Indonesia dan Thai.
Bentuk-bentuk seni persembahan seperti Wayang Wong dan Tari Puteri di Indonesia serta Nang Yai, Nang Talung dan Khon di Thai turut mengambil kisah daripada epik Ramayana.
Epik Ramayana sentiasa diberi interpretasi baru dari masa ke semasa oleh para pengkaji di seluruh dunia yang peka dan berfikiran kritikal.
Memandangkan kisah dan persoalan yang ditampilkan dalam teks “Ramayana” masih diperkatakan pada zaman moden, adalah bertepatan sebuah persidangan peringkat kebangsaan dianjurkan untuk mengkaji teks berkenaan secara terperinci.
Namun, apa yang agak mengecewakan adalah bahawa keseluruhan persidangan dikendalikan dalam bahasa Tamil. Maka, hanya peminat sastera yang menguasai bahasa itu hadir untuk menimba ilmu. Ilmu yang dicurah tidak dapat disalurkan kepada masyarakat umum secara lebih menyeluruh.
Tentulah lebih baik sekiranya sebuah persidangan kebangsaan mengenai Ramayana dikendalikan dalam bahasa kebangsaan supaya dapat disertai oleh seluruh rakyat Malaysia.