Setiap kali menjelang perayaan Krismas, ayah akan meminta kami adik-beradik menyenaraikan hadiah yang kami ingin dapatkan daripada Santa.
“Ingat,” ayah akan memberi arahan sewaktu mengedarkan kertas dan pensel kepada kami. “Tulisan kamu mestilah kemas dan mudah dibaca. Jangan minta hadiah yang terlalu mahal. Kasihan Santa Claus.”
Sebaik sahaja ayah selesai mengedarkan kertas dan pensel kepada kami, beliau akan keluar dari bilik lalu menutup pintu. Tinggallah kami empat adik-beradik yang segera akan mencatat hadiah yang kami impikan pada tahun berkenaan.
“Bolehkah kau dapat hadiah tu?” tegur Shaun sambil menjeling pada kertas saya. “Kau kan budak nakal.”
Saya masih ingat pesan ayah dan ibu bahawa Santa Claus hanya akan memberi hadiah kepada kanak-kanak yang berkelakuan baik sepanjang tahun.
Menurut abang saya, Shaun, perbuatan saya tidak mendengar kata-katanya pasti membuatkan Santa Claus menganggap saya budak nakal.
Tetapi saya percaya bahawa saya tidak perlu risau memikirkan semua itu. Walaupun usia saya pada waktu itu hanya tujuh tahun, saya sudah dapat meneka misteri di sebalik kehadiran Bapa Krismas yang membawakan hadiah untuk kami adik-beradik.
“Saya rasa ayah sendiri yang membelikan kita hadiah-hadiah yang kita minta,” saya memberitahu Shaun, Susan dan Mary.
“Eh! Merepeklah. Santa Claus yang membawa hadiah tu,” pintas Mary yang selalu meminta hadiah anak patung.
“Ya lah. Mana ayah ada duit untuk membeli hadiah yang mahal? Semua hadiah yang kita terima dibawa oleh Santa Claus pada malam sebelum Krismas. Santa akan masuk ke dalam rumah kita dan meletakkan hadiah di bawah pokok krismas di ruang tamu. Takkan kau tak tau,” tegas kakak pula.
Saya tersenyum sendiri mengenangkan kisah silam. Ayah kini sudah tiada. Namun, sepanjang hayat beliau, kami empat adik-beradik tidak pernah ketinggalan menerima hadiah yang kami impikan sempena Krismas.
(Petikan cerpen "Bapa Krismas" yang disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia, 26 Disember 2004. Turut dimuatkan dalam Kathakali. Sila KLIK DI SINI untuk senarai cerpen Uthaya Sankar SB.)