Kami sudah dapat menjangkakan bahawa kami tidak akan mampu memperoleh markah penuh bagi tugasan ini. Mustahil kami boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai sebuah dramatari yang hampir tidak wujud di negara ini.
“Kathakali merupakan ikon bagi negeri Kerala. Akan tetapi, tarian tradisional ini kurang dikenali di negeri-negeri lain di Benua Kecil India sendiri. Jadi, saya percaya kumpulan kamu akan menghadapi masalah untuk menyiapkan tugasan ini,” pesan pensyarah kami pada hari terakhir kolej sebelum cuti pertengahan semester bermula.
“Jadi, kenapa tidak Sir berikan sahaja topik lain untuk kumpulan kami?” tanya Fairuz. “Bagaimana dengan wayang kulit atau bharatanatyam? Tentu kami boleh mewawancara tokoh berkaitan dengan lebih mudah.”
“Tidak. Saya tidak mahu kamu mengambil jalan mudah. Anggaplah ini sebagai cabaran. Cuba adakan temu janji dengan tokoh yang saya nyatakan semalam. Saya percaya beliau akan sudi memberi maklumat yang perlu.”
Kami sesungguhnya kecewa dengan sikap pensyarah kami. Apakah beliau sedar bahawa kami datang ke Kolej Siru Kambam bukan untuk mengkaji budaya dan tarian tradisional. Malah kami kurang senang dengan subjek Pengajian Malaysia yang diwajibkan ke atas kami.
“Ah! Agaknya Sir dulu mengajar di Akademi Seni Kebangsaan,” rungut Balwinder selepas kuliah terakhir sebelum cuti pertengahan semester bermula.
“Tak guna kita merungut sekarang,” kata Venkatasayee. “Tempoh hari, kita yang bersemangat dan menyatakan kesanggupan untuk menerima cabaran daripada pensyarah kita.”
“Benar. Akan tetapi, aku tak pernah sangka Sir akan berikan tugasan yang hampir mustahil dapat dilakukan,” aku berterus terang. “Kita perlu cari maklumat terperinci tentang kathakali, dapatkan visual demonstrasi, tulis kertas projek yang menyarankan secara praktikal cara-cara untuk memperkenalkan kathakali kepada khalayak di negara ini dan membentangkannya di kelas. Bukan mudah tu.”
.
(Petikan cerpen "Kathakali" yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa, April 2003 dan dimuatkan dalam buku Kathakali.)