16 Jul 2021

Tuhan dalam Quran dan Bhagavad Gita

Semasa menekuni kesemua 43 ayat dalam Surah Ar-Ra’d — dalam beberapa versi terjemahan sahih Bahasa Malaysia, Indonesia, dan Inggeris — yang terkandung dalam kalamullah (Quran), saya sebagai pengamal multifaith tidak dapat tidak, teringat akan kandungan Bhagavad Gita yang merupakan sebahagian daripada epik Mahabharata.

Tambahan pula, saya menekuni puluhan teks berkaitan karya Hindu berkenaan dalam pelbagai versi dan pelbagai bahasa sepanjang mengusahakan penceritaan semula buku Bhagavad Gita (2021).

Secara ringkas, Surah ke-13 itu antara lain menjelaskan bagaimana Allah tiada pilih kasih dalam menentukan hukuman kepada umat manusia. Segalanya bergantung kepada sikap manusia sendiri, sama ada mentaati atau mengingkari perintah-Nya.

Saya sebut “umat manusia” dan bukan “umat Islam” sahaja kerana orang kafir juga dinyatakan secara khusus dalam Surah Ar-Ra’d. Konsep “sebab akibat” yang terkandung dalam Surah ini bolehlah dibandingkan — melihat persamaan dan perbezaan — oleh umat Hindu dengan kitab-kitab Veda dan Bhagavad Gita.

Sementara Bhagavad Gita asalnya dalam Sanskrit, firman Allah yang diwahyukan dan terkandung dalam Quran pula disampaikan dalam bahasa Arab; sebagaimana disebut juga oleh Allah dalam Ayat 37.

Surah Ar-Ra’d yang sedang saya tekuni membawa makna “guruh”. Akan tetapi, jangan pula orang menyangka bab ini berkaitan guruh, petir, hujan, dan pelbagai unsur alam yang seringkali dikaitkan pula dengan malapetaka alam. Bab ini mendapat nama daripada Ayat 13 di mana Allah memberitahu bahawa guruh turut bertasbih memuji-Nya.

Orang Islam yang beriman kepada Allah tahu bahawa ada malaikat yang bergilir-gilir menjaga manusia pada setiap masa. Apabila Allah memutuskan untuk menurunkan bala kepada suatu komuniti atau individu, tidak ada sesiapa yang boleh mengubah keputusan itu.

Satu frasa yang sering menjadi sebutan dalam kalangan orang Islam dan Bukan Islam di Malaysia ialah “Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang selagi mereka tidak berusaha mengubah nasib diri sendiri”. Frasa ini sebenarnya terkandung dalam Ayat 11 dan bersifat universal.

Sejak awal-awal lagi dalam Surah Ar-Ra’d, Allah sudah memaklumkan kepada kekasih-Nya bahawa “kebanyakan manusia” tidak akan meyakini serta patuh (beriman) kepada Quran yang merupakan kalamullah.

Allah turut mengingatkan Nabi Muhammad bahawa kedudukan baginda hanyalah sebagai “seorang pemberi peringatan” (Ayat 7) dan “tugasmu hanya menyampaikan” (Ayat 40).

Maka, tidak timbul soal Muhammad perlu dikurniakan mukjizat untuk membuktikan baginda utusan Allah. Malah, diingatkan menerusi Ayat 38 bahawa seorang rasul tidak boleh memiliki dan mempamerkan apa-apa mukjizat “melainkan dengan izin Allah”.

Dalam Ayat 27: Orang kafir berkata, “Mengapa tidak diturunkan kepadanya (Muhammad) tanda (mukjizat)?” Muhammad sudah diberitahu sejak awal oleh Allah bahawa orang kafir yang mempersoalkan ketiadaan mukjizat pada dirinya akan turut mempertikai kerasulan baginda.

Dalam hal ini, Rasulallah sudah disediakan jawapan yang perlu diberi menerusi Ayat 43 iaitu ayat penutup bab: “Cukuplah Allah dan orang yang menguasai ilmu al-Kitab menjadi saksi antara aku dan kamu.”

Alangkah Hebat Seksaan Allah!

Dilakukan perbandingan dalam Ayat 19-20 antara “orang yang buta” dengan “orang yang berakal” iaitu “orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosakkan perjanjian”. Allah menyeru Muhammad bertanya kepada orang kafir: “Samakah orang yang buta dengan yang dapat melihat?” (Ayat 16).

Mungkin ada orang yang bertanya dan tertanya-tanya mengapa Allah tidak memberi terus keimanan kepada seluruh umat manusia. Allah menjawab kemusykilan itu dalam Ayat 31: “… seandainya Allah mengkehendaki semua manusia beriman, tentu Allah memberi petunjuk kepada manusia semuanya.”

Sebaliknya, orang kafir sentiasa ditimpa bencana dan kemudian Allah membinasakan mereka: “Alangkah hebatnya seksaan-Ku itu!” (Ayat 32). Umat Hindu yang membaca firman ini berhak untuk rasa terkejut kerana gambaran Tuhan dalam kitab-kitab Veda dan Bhagavad Gita adalah amat berbeza.

Namun begitu, segala bencana berkenaan dikatakan terpaksa dihadapi kerana orang kafir menyekutukan Allah; suatu amalan bersifat syirik dari perspektif Islam. Menurut Allah menerusi Ayat 33 dalam Surah Ar-Ra’d yang sedang saya teliti, sebenarnya syaitan yang mempengaruhi dan membuatkan orang kafir merasakan seolah-olah tipu daya yang mereka lakukan itu baik-baik belaka.

Syaitan jugalah yang menghalang atau menyekat orang kafir daripada menemui jalan Allah. Apabila Allah memutuskan untuk menyesatkan mereka (orang kafir), maka mereka tidak akan diberi petunjuk untuk kembali beriman kepada-Nya.

Sepertimana saya nyatakan, fakta dalam Quran amat berbeza dengan gambaran Tuhan dalam kitab-kitab Veda, Bhagavad Gita, dan purana yang menjadi rujukan umat Hindu di seluruh dunia.

Lebih menggerunkan apabila dalam Ayat 34 diputuskan bahawa orang kafir pasti terseksa dan menerima azab di dunia. Malah, hukuman dan seksaan yang lebih teruk menanti mereka di akhirat, dan tidak ada sesiapa yang boleh tampil melindungi atau menyelamatkan mereka (orang kafir) daripada segala azab berkenaan.

Apabila saya selaku pengamal multifaith mengkaji kitab-kitab Veda, Mahabharata, Bhagavad Gita, serta pelbagai purana dalam tradisi Hindu sewaktu mengusahakan penceritaan semula teks Bhagavad Gita (2021) dalam Bahasa Malaysia — baca di sini — saya menemui gambaran yang amat berbeza. Sesiapa yang sudah membaca buku berkenaan — maklumat di sini — akan lebih memahami maksud saya.

Umat Hindu mempercayai konsep kelahiran semula. Akhirnya, atma (roh) akan mencapai moksha iaitu kembali bersatu dengan Paramatma (Pencipta). Perkara ini diceritakan secara terperinci dalam Bhagavad Gita yang kini boleh dibaca dalam versi Bahasa Malaysia.

Orang Islam yang wajib berpegang teguh kepada Rukun Iman bolehlah merujuk Ayat 5 dalam Surah Ar-Ra’d jika timbul kemusykilan. Diceritakan bagaimana orang kafir bertanya, apakah mereka akan lahir semula selepas meninggal dunia.

Allah berfirman bahawa golongan kafir yang ingkar itu merupakan penghuni Jahanam (neraka) dan mereka akan kekal di sana buat selama-lamanya. Segala doa dan ibadah mereka (orang kafir) sepanjang hidup “hanyalah sia-sia belaka” (Ayat 14).

Orang Islam yang bertakwa dan beriman kepada Allah akan mendapat tempat di syurga (Ayat 35). Ada lapan jenis syurga dalam Islam, iaitu Firdaus daripada emas, Adnin daripada mutiara putih, Na’im daripada perak putih, Makwa daripada zamrud hijau, Darussalam daripada yakut merah, Darul Muqamah daripada permata putih, Al-Maqamul Amin daripada emas, dan Khuldi daripada merjan.

Orang kafir yang mendapat kutukan Allah pula akan masuk neraka (Ayat 25 dan Ayat 35), walaupun sebenarnya Allah yang menyesatkan sesiapa yang Dia hendaki (Ayat 27). Fakta seperti ini dijangka menghairankan sesiapa yang memahami agama Hindu kerana Tuhan dalam ajaran Hindu tidak bersikap demikian.

Tambahan pula, dalam Ayat 29, dijelaskan bahawa orang yang beriman dan beramal soleh  (mengerjakan kebajikan) akan masuk syurga. Dalam konteks Hinduisme, syurga dan neraka hanyalah persinggahan sementara dalam perjalanan atma untuk kembali bersatu dengan Paramatma.

Dalam ajaran Hindu, kebajikan (dharma) akan membantu manusia (tanpa mengira agama) semakin mendekati Tuhan dan akhirnya bersatu dengan-Nya. Sepertimana Muhammad diminta membuat seruan menerusi Ayat 36: “Hanya kepada-Nya aku kembali.”

Baca juga — Mendalami Quran: Catatan 1 Mendalami Hadis: Catatan 1Catatan Quran 2: Cinta Muhammad dan ZaydCatatan Hadis 2: Muhammad, Balu, dan JandaTuhan dalam Quran dan Bhagavad GitaMengapa Rasulullah Perintah Anjing Dibunuh?Apabila Langit Terbelah; Allah BersajakHadis Palsu Lemahkan Orang MelayuPerlunya Dialog Antara Agama