12 Aug 2012

Tentang Hak Penulis

[Usaha memperjuangkan hak royalti penulis secara serius bermula dengan perbincangan bersama seorang rakan peguam.]

Saya, Nisah Haron dan Zamri Mohamad antara penulis yang diundang menghadiri pre council bagi Mesyuarat Anggota Majlis, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) Sesi 2010-2012 di Bangunan Mustapha Kamal, Cyberjaya pada 5 Julai 2010.

Ya, saya tahu bahawa ini adalah kisah lama tetapi amat menarik untuk meneliti beberapa perkara berkaitan isu hak cipta dan royalti melibatkan golongan penulis.

Kami bertiga secara tidak langsung, antara lain, mewakili penulis, penggiat sastera, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penulis-penerbit-aktivis dalam mesyuarat itu; walaupun saya beraral untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat seterusnya.

Apabila memperkatakan mengenai Dasar Perbukuan Negara (Dasar Buku Negara), terdapat wakil bagi penerbit, pengedar buku dan pelbagai pihak yang terlibat dalam perusahaan perbukuan. Bagaimanapun, tidak demikian halnya dengan kelompok penulis.

Selepas mesyuarat berkenaan, saya dan Nisah sempat duduk berbual mengenai perkara itu kerana kami sama-sama “bimbang” memikirkan soal kebajikan dan hak golongan penulis di negara ini.

Memandangkan kod dan etika penggiat perusahaan perbukuan turut disentuh dalam mesyuarat pada hari berkenaan, saya dan Nisah sependapat bahawa belum ada pihak – setahu kami – yang benar-benar mewakili kelompok penulis dalam isu-isu berkaitan kod, etika, hak cipta, royalti, harta intelek, penterjemahan dan pelbagai isu yang dekat dengan jiwa penulis.

Saya tidak menafikan wujud begitu banyak persatuan penulis; malah Nisah “orang kuat” Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) manakala saya bersama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 1999.

Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa kebanyakan persatuan penulis tidak sepenuhnya diterajui “penulis” (dan yang masih “menulis”) sebagai jawatankuasa. Hal ini tidak salah dan langsung tidak dipersoalkan kerana selaras Perlembangaan masing-masing persatuan berkenaan.

Bagaimanapun, saya dan Nisah sependapat bahawa perlu ada kelompok “penulis” yang boleh dipertanggungjawabkan mewakili golongan “penulis” untuk bersuara dan menangani isu-isu yang berkait secara langsung dengan penulis dan kerja-kerja penulisan.

Misalnya (dan tidak terhad kepada) isu hak cipta, royalti, plagiat, undang-undang, ditipu penerbit, ditipu penganjur aktiviti, proses menerbitkan buku sendiri, promosi dan pengedaran.

Dalam isu-isu berkaitan perundangan, golongan penulis amat bertuah kerana kita mempunyai Nisah yang boleh dijadikan pakar rujuk. Malangnya, kepakaran beliau kurang dimanfaatkan. Atau sekurang-kurangnya boleh merujuk buku “Karya Kita Hak Kita” (2008) yang beliau hasilkan berdasarkan kepakaran dalam bidang undang-undang.

Apabila Dr Othman Puteh meninggal dunia pada 19 Oktober 2003, isteri Allahyarham menghadapi masalah berhubung pembayaran royalti yang tertagguh. Mujurlah beberapa penulis tampil membantu Puan Timah Baba menyelesaikan isu itu dengan pihak berwajib.

Pada tahun lalu, Timah Baba memberitahu saya bahawa bayaran royalti arwah tersangkut lagi. Maka saya sendiri menghubungi bahagian harta intelek di penerbitan terbabit dan meminta jasa baik merungkaikan masalah. Malangnya saya diberitahu bahawa Timah Baba perlu pergi sendiri untuk bertemu mereka bagi urusan lanjut.

Berbalik pada perbincangan antara saya dan Nisah di Cyberjaya pada 5 Julai 2010, kami bersetuju untuk memulakan usaha “mengesan” apakah masalah-masalah utama yang dihadapi oleh “penulis” secara individu; bukan mewakili persatuan yang dianggotai.

Kami juga tentu sahaja mengharapkan kerjasama, sokongan dan penglibatan lebih ramai penulis yang berpengalaman untuk sama-sama “membantu” rakan-rakan penulis yang menghadapi masalah. Konsep yang mahu kami berdua terapkan adalah amat mudah: “Penulis membantu penulis”.

Apabila masalah-masalah yang dihadapi sudah dikumpulkan, senanglah untuk mendapatkan maklumat lanjut dan bertindak. Mudah juga untuk penulis “bersuara” mewakili golongan penulis.

Perlu dinyatakan bahawa usaha itu tidak membelakangkan mana-mana persatuan penulis atau mana-mana organisasi. Malah, sekiranya perlu, kami memang mahu menghubungi persatuan dan organisasi terbabit untuk membantu kami menyelesaikan masalah yang dihadapi rakan-rakan penulis.

Saya dan Nisah sependapat dalam hal ini: “Kalau bukan kita yang memulakan usaha ini, siapa lagi?” Demikian kami berdua berbincang sekitar dua tahun lalu.

Dua hari kemudian, saya mencatatkan topik itu di blog saya dan meminta mana-mana penulis (tanpa had umur dan latar belakang) yang menghadapi sebarang masalah supaya mengirimkan maklumat ke alamat e-mel saya dan Nisah untuk tindakan lanjut. [BACA DI SINI]

Tentu sahaja kami berdua juga mengalu-alukan penyertaan rakan-rakan penulis yang berpengalaman dan sudi tampil menjayakan usaha “melindungi” hak penulis. Saya turut menyatakan di blog bahawa kami bukan menjadi “pembangkang” tetapi berusaha menjadi “pembantu”.

Maka, setahun kemudian – Julai 2011 – apabila Rohani Deraman menghubungi saya menerusi Facebook untuk mengadu mengenai kes karyanya yang dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) tetapi dia tidak menerima royalti, terbukti apa yang dibimbangi oleh saya dan Nisah sudah benar-benar berlaku.

Beberapa penulis lain turut tampil mengemukakan masalah sama selepas saya menulis artikel mengenai kes Rohani pada Ogos 2011. Kesemua mereka melantik saya selaku pemilik tunggal “Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya” untuk mewakili mereka dalam mencari penyelesaian terbaik dalam isu royalti teks Komsas.

Segala maklumat berhubung isu royalti teks Komsas boleh dirujuk di blog saya. Apa yang menarik, sejak awal, saya sudah memaklumkan kepada “mangsa royalti teks Komsas” bahawa mungkin sahaja mereka tidak akan berjaya mendapat royalti bagi teks berkenaan kerana pasti ada pihak yang menggunakan pelbagai taktik kotor untuk menggagalkan usaha menuntut hak itu.

Bagaimanapun, saya memberitahu mereka sejak awal bahawa biarlah perjuangan mereka itu menjadi titik permulaan ke arah memberi kesedaran kepada golongan penulis di negara ini mengenai isu-isu kod, etika, hak cipta, royalti, harta intelek, penterjemahan dan pelbagai isu yang dekat dengan jiwa penulis.

Satu lagi perkara yang saya nyatakan secara hitam-putih dalam e-mel balasan saya kepada semua penulis terbabit adalah bahawa tiada apa-apa bayaran dikenakan untuk “khidmat” yang diberikan dalam membantu mereka menuntut hak royalti berkenaan.

Walaupun Nisah tidak terlibat secara langsung dalam membantu saya dan Kavyan sepanjang menangani isu royalti teks Komsas, buku “Karya Kita Hak Kita” menjadi sumber rujukan yang sangat membantu. Apa yang saya bincangkan bersama-sama Nisah di Cyberjaya pada 5 Julai 2010 juga menjadi “panduan” dan “penguat semangat” bagi saya.

Pelbagai pihak yang terlibat dalam industri penerbitan, perbukuan, penulisan, perundangan dan sebagainya – serta peminat karya sastera tempatan – turut tampil membantu usaha menuntut hak royalti secara langsung dan tidak langsung.

Memanglah ada puak tertentu yang cuba mempolitikkan usaha murni itu dan mencuba pelbagai taktik kotor untuk menggagalkan apa yang dilakukan. Mereka ternyata ada agenda tersendiri – misalnya mengharapkan komisyen 50 peratus – apabila berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalang lima penulis terbabit dalam usaha menuntut hak royalti teks Komsas.

Pada masa sama, ada juga individu yang mengirim e-mel kepada penulis tertentu dan “menghasut” mereka supaya tidak meminta bantuan daripada saya; walaupun individu terbabit (orang kuat sebuah persatuan penulis) mengaku “tidak berani tampil membantu”.

Antara ayat yang digunakan oleh seorang pegawai kerajaan pula adalah “saya harap penulis dapat beri kerjasama tanpa melibatkan Uthaya Sankar SB” dan “saya yakin Allah akan bersama-sama kita berbanding orang kafir”.

Frasa-frasa seperti “anti-Melayu”, “pengkhianat”, “keling”, “kafir”, “p****” dan bermacam-macam lagi fitnah disebarkan oleh golongan tidak bermaruah menggunakan pelbagai media dalam usaha mereka memastikan perjuangan menutut hak royalti menemui kegagalan.

Anehnya, sejumlah individu yang menggelarkan diri mereka sebagai “penulis” juga terlibat dalam perbuatan terkutuk menafikan hak golongan penulis. Lebih pelik apabila golongan itu yang secara terang-terangan bersikap etnosentrik (dan rasis) tidak pula berusaha membantu kaum sendiri.

Seorang individu bernama “Rozais Al-Anamy” (mungkin nama samaran) tampil memberi amaran kepada para penulis di Facebook pada 13 September 2011. Katanya, “Siapakah si Kitul dalam rumah sastera sekarang? Awas dengan ‘perjuangannya’ yang kononnya mahu membela nasib rakan seperjuangan.”

Di pihak saya dan Kavyan pula, semuanya bermula pada Ogos 2011 sebagai usaha murni menuntut dan memperjuangkan hak penulis (tanpa mengira kaum dan agama). Bagaimanapun, apabila isu sudah berjaya dibawa hingga kepada perhatian menteri terbabit di Putrajaya, ada pula pihak yang tiba-tiba masuk campur dan menggunakan unsur-unsur perkauman dan “penghinaan agama” semata-mata untuk menggagalkan usaha itu.

Mujurlah Nisah tidak terlibat sama secara langsung dalam membantu Rohani Deraman, Amy Suzani Ainuddin, Hazama Harun, Mohd Izan Abd Hazes dan Zaihanim Zainal Abidin menuntut hak royalti teks Komsas. Kalau tidak, tentu dia turut dihina, difitnah, dituduh dan dilabel sebagai “pengkhianat” dan “kafir”.

(Catatan ini ditulis pada 1 Jun 2012 berdasarkan catatan di blog pada 5 Julai 2010 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 18 Jun 2012. Maklumat lengkap berhubung isu royalti teks Komsas boleh dirujuk DI SINI. © Uthaya Sankar SB)