27 May 2011

Uthaya Lapor Polis Kes Fitnah

Saya terbaca berita bertajuk “PIBG lapor polis kes fitnah” di akhbar Sinar Harian bertarikh 25 Mei 2011 di mana Yang Dipertua PIBG SMK Taman Sri Muda, Shah Alam, Anita Atan dilaporkan berkata bahawa beliau pada 11 Mei 2011 menerima salinan risalah fitnah daripada seorang individu dalam kumpulan yang menyebarkan risalah fitnah dan provokasi itu.

Pada tarikh berkenaan, saya selaku pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya (SA0184670-H) turut menerima satu salinan dokumen yang dimaksudkan itu semasa membuat liputan perhimpunan aman di hadapan SMK Taman Sri Muda. Saya yang kemudian menyerahkan salinan dokumen itu kepada Anita Atan di hadapan orang ramai.

Kenyataan beliau di akhbar Sinar Harian (25 Mei 2011) adalah salah dan berunsur fitnah serta berniat jahat untuk mencemarkan imej, maruah dan reputasi saya sebagai perunding media dan blogger kerana secara langsung menuduh saya sebagai “seorang individu daripada kumpulan tersebut” iaitu kumpulan yang dikatakannya “menyebarkan risalah fitnah serta provokasi” terhadap anggota jawatankuasa PIBG SMK Taman Sri Muda.

Laporan polis ini dibuat untuk membetulkan fakta serta membersihkan imej dan maruah saya yang tercemar berikutan kenyataan berbentuk fitnah yang dikeluarkan oleh Anita Atan dan disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 25 Mei 2011.

Kandungan laporan yang dibuat di Balai Polis Taman Sri Muda, Shah Alam pada jam 1:00 tengah hari, 26 Mei 2011

Nota: Saya telah cuba menghubungi Puan Anita Atan pada 25 Mei 2011 untuk membincangkan perkara ini secara baik tetapi beliau tidak membalas SMS saya dan tidak juga menjawab panggilan telefon saya.