6 May 2011

PIBG Senyap, Ibu Bapa Hairan

Susulan insiden pelajar sekolah dibuli dan dicederakan pada 13 April 2011 dan insiden pergaduhan di kawasan sebuah sekolah kebangsaan di Shah Alam pada 20 April 2011, ibu bapa hairan mengapa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) belum mengambil sebarang langkah wajar.

Seorang ibu, Quah Saw Choon melahirkan rasa hairan mengapa PIBG tidak mengadakan sebarang pertemuan atau perbincangan untuk meneliti perkara itu serta memberi penerangan kepada ibu bapa dan penjaga.


“Oleh kerana saya bekas AJK PIBG sekolah itu, ramai ibu bapa yang hubungi saya untuk meminta penjelasan tapi saya rasa Yang Dipertua (YDP) PIBG harus memikul tugas itu.


“Tapi semua ibu bapa berkata, mereka tidak dapat maklumat atau berita tentang apa-apa sesi perjumpaan dan taklimat anjuran PIBG bagi memberi penjelasan,” katanya, hari ini.


Saw Choon yang juga Timbalan Ketua Wanita MCA Bahagian Kota Raja mengulas insiden seorang pelajar Tingkatan 3 yang dibuli dan dibelasah lapan pelajar Tingkatan 4 pada 13 April lalu dan insiden pergaduhan besar di kawasan sekolah sama, seminggu kemudian.


Pada 22 April, Kia Ooi Meng (ibu mangsa) bertemu Saw Choon kerana kecewa terhadap insiden yang berlaku serta sikap lepas tangan yang ditunjukkan oleh pengetua dan YDP PIBG.


Bekas YDP PIBG, Sivaprakasam turut meluahkan rasa kecewa atas kelewatan PIBG bertindak memberi penerangan serta menjawab pertanyaan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga.


“Puan YDP PIBG ada memberitahu media (Malaysiakini) pada 21 April lalu bahawa pergaduhan itu bukan tercetus oleh perbuatan kata-mengata antara pelajar terbabit tetapi ada punca lain.


“Jadi, ibu bapa dan penjaga ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku tetapi tidak ada apa-apa sesi PIBG diadakan sehingga kini untuk tujuan itu,” katanya.


Media (Utusan Malaysia) pada 27 April lalu memetik Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob sebagai berkata, laporan pertama pada 13 April lalu melibatkan seorang pelajar tingkatan tiga yang didakwa cedera dipukul di dalam kelas disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan sengaja.


Beliau juga dilaporkan berkata, kes kedua melibatkan pergaduhan dua kumpulan pelajar tingkatan empat dan lima yang dilaporkan pada 20 April lalu pula disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rusuhan.


“Jadi, tentulah ibu bapa dan penjaga para pelajar di sekolah ini ada sebab untuk mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku supaya mereka lebih tenang.


“Puan pengetua memilih untuk berdiam diri dan mengelak daripada bertemu ibu bapa; jadi harap YDP PIBG akan melakukan sesuatu sebelum terlambat,” kata Sivaprakasam.


YDP PIBG berkenaan, sewaktu dihubungi oleh Uthaya Sankar SB menerusi telefon sebentar tadi (6 Mei 2011) berkata, AJK PIBG akan bermesyuarat pada Sabtu, 7 Mei 2011.


“Kami akan berbincang beberapa isu, bukan hanya terhad pada kes pergaduhan pelajar,” katanya sambil menambah bahawa beliau tidak mahu mendedahkan apakah isu-isu yang bakal dibincangkan (“I’m not willing to share”).


Pada 26 April lalu, sekitar 30 ibu bapa, penjaga dan bekas pelajar mengadakan perhimpunan aman di luar sekolah sebagai meluahkan rasa kecewa atas tindakan pengetua sekolah berkenaan yang bersikap ‘lepas tangan’ berikutan pelbagai insiden yang berlaku di sekolah itu sejak empat tahun lalu.


Mereka seterusnya menyerahkan petisyen yang ditandatangani lebih 700 orang kepada Menteri Pelajaran pada 3 Mei 2011.