28 Apr 2011

Ibu bapa berdemonstrasi depan sekolah

SHAH ALAM 26 April - Seramai 30 ibu bapa yang kecewa dengan kegagalan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini menangani kes pergaduhan pelajar di sekolah itu baru-baru ini, mengadakan perhimpunan aman semalam.

Perhimpunan selama 20 minit itu diadakan di luar pagar utama sekolah berkenaan bermula pukul 12.45 tengah hari.


Seorang ibu kepada pelajar terbabit, Kia Ooi Meng, 50, berkata, dia tidak berpuas hati dengan sikap 'lepas tangan' pentadbiran sekolah dalam menyelesaikan kes pukul melibatkan anaknya yang juga seorang pengawas.


Katanya, dalam kejadian 13 April lalu, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan tiga cedera akibat dibelasah oleh sekumpulan lapan pelajar tingkatan empat.


“Saya risau keselamatan anak saya kerana lapan pelajar terlibat masih ada di sekolah,” katanya ketika ditemui di sini.


Dia mendakwa, sikap lepas tangan itu telah menyebabkan satu pergaduhan yang lebih besar berlaku melibatkan dua kumpulan pelajar pada 20 April lalu sehinggakan 23 pelajar diambil keterangan.


Sementara itu, Stephen Perumal Velu pula berkata, dalam insiden pergaduhan pada 20 April lalu, anaknya merupakan salah seorang daripada 23 pelajar yang dibawa ke balai polis untuk diambil kenyataan.


Dia mendakwa, semasa kesemua pelajar termasuk anaknya dibawa ke balai polis, pihak sekolah langsung tidak memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa.


Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mahmud Karim berkata, insiden pergaduhan di SMK Taman Sri Muda sedang dalam perhatian pihaknya.


Sementara itu, polis membuka dua kertas siasatan berhubung kes pergaduhan melibatkan dua kumpulan pelajar di sekolah itu.


Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, laporan pertama pada 13 April lalu melibatkan seorang pelajar tingkatan tiga yang didakwa cedera dipukul di dalam kelas disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera dengan sengaja.


Beliau berkata, kes kedua melibatkan pergaduhan dua kumpulan pelajar tingkatan empat dan lima yang dilaporkan pada 20 April lalu pula disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rusuhan.


(Utusan Malaysia, 27 April 2011)