5 Nov 2010

Blindness: Pancawarna Kebutaan

Sebagai sambungan kepada CATATAN SEMALAM, berikut beberapa lagi perkara yang menarik perhatian saya mengenai Blindness:
.

11. Kehadiran pengarang bercakap secara langsung dengan pembaca tidak pula mencacatkan cerita. Walaupun ada waktunya kisah kedengaran seperti sebuah esei, jangan lupa bahawa judul asal novel ini dalam Bahasa Portugis adalah Ensaio sobre a Cegueira (1995) yang bermakna “Essay on Blindness” sebelum diterjemah ke Bahasa Inggeris sebagai Blindness (1997).

.

12. Hadir satu watak penulis dalam satu babak novel ini. Watak penulis itu berusaha membuat catatan supaya boleh dijadikan novel apabila manusia boleh kembali melihat.

.

13. Kisah dalam novel Blindness berlaku di sebuah negara yang langsung tidak disebutkan namanya. Tiada apa-apa penanda atau petanda yang menunjukkan latar negara.

.

14. Malah, watak-watak dalam novel ini juga tidak dinyatakan nama mereka. Sepanjang novel, watak-watak hanya dikenali sebagai, antaranya, The Doctor, The Doctor’s Wife, The Girl with the Dark Glasses, The Car Thief, The First Blind Man, The Boy with the Squint dan The Old Man with a Black Eye Patch.

.

15. Jose Saramago lahir pada 16 November 1922 di Azinhaga, Portugal dan meninggal dunia pada 18 Jun 2010 di Lanzarote, Sepanyol. Antara karya beliau termasuk O Evangel Segundo Jesus Cristo (1991) yang diterjemahkan sebagai The Gospel According to Jesus Christ (1993); Todos os Nomes (1997) yang dijadikan All the Names (1999); A Caverna (2001) sebagai The Cave (2002); As Intermitencias da Morte (2005) sebagai Death with Interruptions (2008); dan A Viagem do Elefante (2008) sebagai The Elephant’s Journey (2010).

.

16. Watak The Doctor dan The Doctor’s Wife muncul dalam sambungan Blindness iaitu Ensaio sobre a Lucidez (2004) yang bermakna “Essay on Lucidity” dalam Bahasa Portugis; serta diterjemahkan ke Bahasa Inggeris sebagai Seeing (2006) di mana The Doctor’s Wife dikenali sebagai The Seeing Woman.

.

17. Saya suka pada cara Jose Saramago memberi ruang seluas-luasnya kepada pembaca/pendengar membayangkan apa yang diceritakan. Unsur-unsur Sastera ternyata hadir sepenuhnya dari mula hingga akhir. Malah, bersedialah untuk muntah sambil mendengar CD audio Blindness dengan penuh penghayatan!

.

18. Selain daripada latar tempat (negara) yang tidak didedahkan, latar masa juga tidak diketahui. Ada pandangan mengatakan latar masa adalah pada tahun 1930-an atau 1940-an. Apa yang pasti, belum ada telefon bimbit dan Internet. Malah, semacam tiada alat perakam kaset; walaupun ada radio.

.

19. Versi filem Blindness terbit pada 2008. Khabarnya, seawal 1997, apabila dihubungi pengarah, Fernando Meirelles, Jose Saramago enggan memberikan hak penerbitan filem berdasarkan novel berkenaan. Begitu juga apabila dihubungi Whoopi Goldberg dan Gael Garcia Bernal.

.

20. Pada 1999, penerbit, Niv Fichman dan penulis skrip, Don McKellar berjaya memujuk Jose Saramago supaya membenarkan novel Blindness difilemkan. Dua syarat utama yang ditetapkan pengarang: Satu, khalayak tidak harus tahu latar belakang negara yang dipaparkan dalam filem. Dua, seekor anjing yang besar perlu digunakan untuk watak The Dog of Tears dalam karya berkenaan.

.

21. Filem Blindness yang menampilkan Julianne Moore (The Doctor’s Wife) dan Mark Ruffalo (The Doctor) pertama kali ditayangkan semasa Festival Filem Cannes pada 14 Mei 2008 sebelum diedarkan di Amerika Syarikat pada Oktober 2008.

.

22. Khabarnya filem Blindness mendapat bantahan beberapa persatuan mewakili orang buta di Amerika Syarikat; kononnya apa yang dipaparkan mengenai “orang buta” dalam filem itu tidak menyamai realiti, sebaliknya merupakan penghinaan kepada golongan berkenaan.

.

23. Saya suka cara Jose Saramago mengakhiri novel Blindness.

..
Saya selesai mendengar versi audio Blindness pada petang, 2 November 2010 dan pada tengah hari, 3 November 2010, saya berjaya membeli cakera video digital (DVD) filem Blindness di AmCorp Mall, Petaling Jaya. [BACA LAGI DI SINI]