2 Aug 2010

Puntianak/Harimau Bulan Baru

Sebelum ini, saya menonton filem Twilight (2008) dan menemukan lapan alasan – yang bagi saya secara peribadi – menjelaskan mengapa ramai remaja lelaki kurang meminati filem berkenaan. Catatan itu boleh dibaca DI SINI.
.

Pada tengah malam 29 Julai 2010 – secara teknikal, 30 Julai 2010 – saya menonton DVD New Moon (2009) iaitu bahagian kedua dalam siri filem berkenaan.

.

Tidak berapa lama selepas filem bermula, saya terasa amat bosan dan mengantuk – sama seperti yang biasa saya alami jika terpaksa menonton filem Malaysia (baca: filem Melayu).

.

Malah, formula yang digunakan dalam New Moon amat sesuai bagi filem Malaysia. Si betina cinta akan dua jantan. Si jantan pertama suka akan si betina; si jantan kedua juga suka akan si betina. Si betina ditinggalkan si jantan pertama kerana tidak rela kehilangan si betina; lalu si jantan kedua datang untuk mengisi kekosongan. Si jantan kedua diterima dengan tangan terbuka oleh si betina yang memang perlukan si jantan – tidak kira siapa! Asal ada pasangan sudahlah.

.

Ringkasnya, jika filem New Moon diterbitkan dalam versi filem Malaysia, tidak perlu bersusah payah “menyesuaikan” jalan cerita dengan “budaya” peminat filem Malaysia. Boleh diterima seadanya.

.

Cuma, apabila dijadikan filem Malaysia, wajib ditambah sekurang-kurangnya sepuluh adegan si betina dan si jantan (pertama dan kedua) bersarapan, makan tengah hari, minum petang atau makan malam. Wajib! Sama wajib dengan beberapa perkara “wajib” yang pernah saya kemukakan dalam cerpen “Pesona Kad Cinta Kita” (Surat Dari Madras, 1999). Tentulah minuman “fresh orange” mesti kelihatan dalam semua babak berkenaan kerana ia minuman rasmi filem-filem Malaysia. Kalau tidak percaya, tanyalah mana-mana penerbit/pengarah filem Malaysia.

.

Bagi menyesuaikan kisah New Moon dengan “budaya” filem Malaysia, tentulah watak vampire perlu diubah kepada “hantu Melayu”. Kamus Inggeris-Melayu Dewan menterjemahkan “vampire” sebagai “puntianak” tetapi “puntianak” atau pun “langsuir” sebenarnya adalah “hantu yang kononnya suka menghisap darah dan mengganggu orang bersalin” dan “biasanya muncul menyerupai perempuan”.

.

Watak si jantan kedua iaitu werewolf tidak perlu kekal sebagai “serigala jadian”; sebaliknya boleh dijelmakan sebagai “harimau jadian” memandangkan kewujudannya sudah diterima dalam budaya Melayu dan diluluskan Lembaga Penapis Filem.

.

Masalahnya, mampukah khalayak filem Malaysia menikmati filem versi tempatan itu nanti? Rasa-rasanya tidak akan menjadi masalah. Filem-filem seperti Putera (1994) dan Zoo (2010) – sekadar contoh spontan, kerana ada puluhan lagi sebenarnya – menjadi bukti bahawa formula filem-filem “Barat” tetap boleh diulang 1008 kali dan akan tetap berjaya menambat hati peminat filem Malaysia.

.

Kita nantikan kemunculan filem “Puntianak/Harimau Bulan Baru”!