21 Jun 2010

Hari Bapa

Pada 21 Jun 2009, saya melakukan sedikit “pembetulan” pada tarikh lahir saya di Facebook. Sebenarnya, pada 10 Jun 2009, saya sudah mengambil keputusan untuk melakukan “pembetulan” itu [BACA DI SINI] tetapi terpaksa menunggu sehingga 21 Jun 2009 untuk melakukannya.
.

Sebenarnya, saya lebih bahagia meraikan Hari Bapa berbanding Hari Jadi (atau Hari Lahir). Saya tidak menghalang sesiapa meraikan Hari Jadi mereka tetapi pada masa yang sama, janganlah pula ada yang cuba menghalang saya tidak meraikan Hari Jadi saya!

.

Pada 10 Jun 2009, anak-anak buah di Rumah Eksekutif RTM mengadakan sambutan kecil-kecilan selepas berpakat sesama mereka. Saya terharu dengan apa yang mereka lakukan tetapi saya tetap lebih suka menyambut Hari Bapa.

.

Apabila saya menyatakan pendirian – atau cadangan– di Facebook, ramai juga yang memberikan pelbagai alasan dan hujah bahawa saya sepatutnya menyambut Hari Lahir kerana bla bla bla bla.

.

Hasil segala hujah itu, tidak pula timbul situasi yang mewajibkan sambutan Hari Jadi. Apa yang diberikan hanyalah alasan, rasional dan sokongan untuk mewajarkan sambutan diadakan.

.

Tarikh lahir (Hari Lahir) menandakan tarikh kita dilahirkan; di mana kelahiran itu bukan atas pilihan kita. Sebaliknya, bagi saya, tarikh yang lebih bermakna adalah tarikh kita menjadi ibu bapa. Tarikh itulah yang diraikan sebagai Hari Ibu dan Hari Bapa.

.

Ya, saya lebih suka meraikan tarikh yang dipilih untuk menikmati kewujudan (“kelahiran”) saya sebagai seorang ayah – pada Hari Bapa – berbanding meraikan tarikh saya dilahirkan (“mula wujud”).

.

Untuk makluman, Hari Bapa diraikan pada Ahad ketiga bulan Jun di 55 negara seluruh dunia. Lithuania menyambutnya pada Ahad pertama, manakala Austria dan Belgium menyambut pada Ahad kedua. Sambutan di Haiti pula pada Ahad keempat.

.

Malah, sebenarnya, Hari Bapa disambut sepanjang tahun – pada tarikh yang berbeza – di seluruh dunia.

.

Berbalik pada persoalan pokok, terpulang kepada setiap individu untuk memutuskan pendirian masing-masing. Sebagaimana saya tidak menghalang pendirian mana-mana pihak yang mahu meraikan Hari Jadi, begitulah juga sepatutnya tidak akan “pejuang” tertentu yang cuba menghalang pilihan saya untuk meraikan “kelahiran” saya pada Hari Bapa.

.

Terima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan kepada saya pada 10 Jun dan 20 Jun. Tahun depan, sambutan Hari Bapa pada 19 Jun.