3 May 2010

Filem Bukan Hobi Saya!

Menonton filem bukan hobi saya. Begitu juga menulis dan membaca.
.

Saya katakan demikian kerana “hobi” merujuk pada apa yang kita lakukan “apabila ada masa terluang”.

.

Dalam soal menonton filem, membaca dan menulis, saya “mencari masa” untuk melakukannya; bukan “mengisi masa lapang”.

.

Saya pernah memperkatakan mengenai novel-novel yang diadaptasi ke filem Inggeris [BACA DI SINI], filem Tamil yang saya anggap “filem wajib tonton” [BACA DI SINI] dan filem Melayu [BACA DI SINI].

.

Beberapa novel karya Dennis Lehane sudah diadaptasi menjadi filem yang ternyata amat berkesan. Mystic River dan Gone, Baby, Gone memang amat menarik dalam versi novel (bertulis) dan filem (audio-visual) bagi pembaca/penonton berfikiran matang (baca: pembaca/penonton berotak). Kedua-duanya “filem wajib tonton” dan perlu diikuti dengan sangat teliti kerana dipenuhi unsur luar biasa, kejutan, perubahan plot luar jangkaan dan suspens dari mula hingga akhir.

.

Perkara yang sama dijanjikan dalam novel/filem Shutter Island. Kalau semata-mata kerana lakonan Leonardo DiCaprio, saya tentu tidak akan membazir masa dan tenaga menonton filem itu. Memandangkan filem berkenaan merupakan adaptasi novel Shutter Island (2003), maka saya menontonnya pada 1 Mei 2010 – sewaktu orang lain sedang sibuk bercakap mengenai Iron Man 2.

.

Harus saya akui bahawa akhirnya, melalui Shutter Island (2010) arahan Martin Scorsese, Leonardo DiCaprio berjaya membuktikan (sekurang-kurangnya kepada saya) bahawa dia sebenarnya boleh berlakon.

.

Leaves of Grass (1855) adalah judul buku koleksi puisi Walt Whitman. Bagaimanapun, filem Leaves of Grass (2010) tulisan dan arahan Tim Blake Nelson bukan adaptasi puisi Walt Whitman. Buku berkenaan tetap ditunjukkan pada babak terakhir filem ini yang turut menampilkan Tim Blake Nelson memegang watak Rick Bolger.

.

Edward Norton membawakan watak kembar seiras Bill dan Brady Kincaid dengan berkesan. Tentu sahaja tidak buruk dan mengaibkan seperti watak kembar seiras yang dilakonkan dengan penuh kaku oleh Prasanth dalam filem Tamil/Hindi Jeans (1998, bersama Aishwarya Rai).

.

Dalam kebersahajaan filem ini, Leaves of Grass tetap dipenuhi falsafah, kasih sayang, puisi, pengorbanan dan realiti kehidupan. Susan Sarandon dan Richard Dreyfuss juga memegang peranan kecil (tetapi tetap berkesan) dalam filem ini.

.

Seperti biasa, saya tidak akan mendedahkan sinopsis novel/filem terbabit kerana saya tidak mahu menanggung “dosa” dengan menafikan hak khalayak bermentaliti tinggi menikmati novel/filem bermutu dan mencabar minda.